Apa Gunanya Berhijrah Pakai Tudung, Tapi Tak Hijrah Hati!

Setelah bertudung dan berhijrah daripada kehidupan yang penuh maksiat, bertubi-tubi ujian datang seakan mahu menarik anda semula ke lembah jahiliyah lama.

Dituduh Munafik

Kawan-kawan mula memaki, menyoal niat sebenar anda berhijrah, mereka tak segan-segan menuduh anda munafik, berlagak suci. Cerita dan skandal lama yang memalukan sengaja dibuka kembali untuk mencacatkan karakter anda sebagai hijaber.

Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, juga penulis tetap ruangan Keluarga Sakinah, di dalam majalah Mingguan Wanita.

Ini zaman netizen menggila, mencemar maruah perkara biasa. Bagaimana kita melalui kehidupan dengan tenang selepas berhijrah? Apakah kesilapan dan kelemahan wanita berhijab yang menyebabkannya tersungkur semula ke jurang maksiat?

1. Manis bertudung tapi hati gersang

Bertudung bukan jaminan anda ahli syurga, ia hanya satu permulaan untuk menerima hidayah Allah SWT. Selepas bertudung jangan biarkan jiwa kita kosong, kerana ramai muslimah baru berhijrah hanya fokus pada kesalehan luaran sehingga lupa pada kesolehan dalaman iaitu hati.

Hati adalah perkara yang paling penting untuk dihijab dari segala dosa. Hati itu segala-galanya bagi diri kita, Rasulullah s.a.w bersabda:“sesungguhnya Allah tidak melihat pada tubuh badan, rupa dan harta kalian. Tetapi sesungguhnya dia hanya melihat kepada hati dan amal kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Hatilah yang membezakan antara orang mukmin dan munafik, betapa perlunya wanita yang telah berhijab  mempelajari bagaimana mendapatkan hati yang selamat, yang penuh dengan cahaya ilmu daripada-Nya kerana si pemilik hati itu amat gemar menyelami makna al-Quran dan hadis Rasul s.a.w.

IKLAN

Dia mahu memiliki hati yang segar disirami ibadah syukur, reda, sabar, sangka baik kepada Allah SWT. Hati yang lunak bila mendengar nasihat agama, cinta akhirat dan risau dunia menipunya. Hati yang jauh daripada penyakit dengki, bukan hanya indah dengan hijab yang syarie, halus juga budi pekerti. Tidak pernah gersang dibakar maksiat keji.

Apa Gunanya Berhijrah Pakai Tudung, Tapi Tak Hijrah Hati!2. Berhijrah tanpa bekal ilmu

Ramai yang kembali ke jalan lama bahkan lebih teruk lagi derhaka dan maksiatnya kepada Allah, mereka tidak sabar dihina, dicaci dengan sebutan perempuan munafik, hijabnya dibuka kerana marah dengan orang-orang yang berlidah syaitan.

Semoga Allah memberi hidayah semula, kalaulah mereka teguh menapaki jalan allah ini dengan hati yang sentiasa dibimbing ke jalan Allah sudah tentu Allah akan menguatkan iman mereka. Kekuatan iman itu mesti dengan ilmu, hati yang kosong dari ilmu akan mudah dipengaruhi hasutan iblis naklatullah. Syaitan gembira bila kita benci ilmu dan ulama!

IKLAN

Rasulullah s.a.w tidak pernah minta ditambahkan harta, tapi nabi s.a.w sentiasa minta ditambahkan ilmu. Bukankah baginda telah diampuni dosanya dan dijamin syurga? Nabi s.a.w tetap meminta tambahan ilmu, kerana dengan ilmu atau hidayah itulah kita mampu menjawab semua tantangan dan ujian dalam kehidupan.

Ilmu juga akan menambah keyakinan, memperteguh iman, jika kita rasa goyah kerana maksiat sesungguhnya kita belum cukup ilmu untuk menepis keinginan-keinginan syahwat. Jika kita rasa putus asa kerana dimaki, diperlekeh, dituduh yang bukan-bukan sebenarnya kita belum cukup ilmu untuk menghadapi tipu daya syaitan yang berbentuk manusia.

Oleh itu wanita berhijab perlu duduk menelaah al-Quran, mengkaji hadis-hadis Rasul s.a.w, bertanya pada sarjana-sarjana islam, mengikuti majlis ilmu para ulama, duduk bersama para penuntut ilmu, setia di jalan Allah menjaga hidayah dan menambah lagi cahaya dalam hatinya dengan nasihat agama secara berterusan, tidak pernah bercuti daripada menuntut ilmu, setiap saat hatinya sentiasa haus, dahagakan ilmu Allah SWT.

IKLAN

3. Bercakap ikut nafsu

Syaitan akan menipu manusia dengan pelbagai cara, adakalanya ketika iman kita menipis langkah kita terjerat oleh dosa-dosa sendiri. Antara kesilapan wanita berhijab adalah tidak bijak mengawal lidah, mereka terlalu bersemangat mahukan semua orang menjadi seperti mereka.

Di sinilah kesilapannya, bila kita menyakiti manusia dengan lidah kita maka mereka akan membalas lebih teruk dari yang kita jangka. Mengapa ramai yang jatuh tersungkur kerana lidah, bukankah disebabkan lidah ramai manusia diheret wajahnya ke neraka?

Begitu juga mereka yang baru berhijrah, mereka kerap dibelit oleh belitan syaitan. Mereka sesuka hati melontarkan kritikan pada orang yang belum berhijrah, mereka menampakkan kesombongan dengan lidah fasihnya padahal baru beberapa hari kenal huruf al-Quran, mereka mula menyalahkan orang ini dan mengkritik orang itu, mereka rasa Islam yang mereka faham saja yang akan masuk syurga, akhirnya kesombongan pun bertakhta!

Syaitan menipu manusia, jika dilihatnya kita sudah baik maka akan dihasutnya hati kita untuk merasa diri paling baik! Kesombongan inilah yang menjerumuskan wanita berhijab ke alam maksiat yang baru. Untuk itu berwaspadalah wahai wanita yang baru berhijab, sediakan bekalan yang cukup, jalan anda masih panjang sampai nanti bertemu tuhan!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI