Kebelakangan ini ramai yang mencuba mengurangkan berat badan dengan mengamalkan diet protein. Tetapi apakah yang akan berlaku kepada badan kita sekiranya mengambil makanan berprotein secara berlebihan?
Penjelasan Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin ini boleh dijadikan panduan sebelum anda mengamalkan diet makanan berprotein.
Pada asasnya, protein merupakan makronutrien yang memainkan peranan penting dalam membina jisim otot serta tisu badan.
Menurut Institusi Kesihatan Nasional (NIH), protein terdiri daripada asid amino yang merupakan sebatian organik di mana ianya terdiri daripada karbon, hidrogen, nitrogen, oksigen atau sulfur.
Asid amino adalah blok asas protein dan protein dapat membantu membina dan mengekalkan kesihatan otot, tulang dan kulit.
Protein dalam pemakanan terdiri daripada 2 sumber utama iaitu protein haiwan dan protein tumbuhan.
Ikan, daging, telur, susu, keju adalah contoh protein daripada haiwan. Manakala protein tumbuhan seperti kekacang, dan produk soya.
Secara biologi, protein haiwan adalah lebih lengkap berbanding protein tumbuhan di mana ianya mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Manakala, protein tumbuhan yang tidak lengkap merujuk kepada sumber makanan berprotein yang kekurangan satu atau asid amino penting.
Namun begitu, makanan berprotein yang tidak lengkap ini dapat diubah menjadi protein lengkap dengan cara memakan pelbagai jenis protein tumbuhan setiap hari untuk mendapatkan semua asid amino yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Artikel berkaitan:
Kalau Betul-Betul Nak Diet Elak Ambil 6 Bahagian Ayam Ini
Ada Sebab Orang Perempuan Tak Boleh Minum Kopi Lebih 2 Cawan Sehari
Menurut Pakar Perundingan WHO/FAO/UNU (2007), terdapat beberapa komplikasi akibat pengambilan sumber makanan protein secara berlebihan.
Individu yang mengamalkan diet tinggi protein dalam jangka masa yang panjang boleh mengakibatkan penyingkiran kalsium secara berlebihan iaitu sebanyak 50% kalsium akan dikumuhkan melalui air kencing.
Akibatnya, individu tersebut akan mengalami kehilangan kalsium dari tulang dan meningkatkan risiko pembentukkan batu karang pada buah pinggang.
Hal ini telah dibuktikan menerusi beberapa kajian yang telah dijalankan bagi individu yang telah mengambil sumber protein yang melebihi 45% daripada jumlah tenaga pada tahun 2002/2005.
Pengambilan protein yang tinggi terutamanya daripada sumber haiwan menggalakkan kenaikan aras lemak tepu di dalam darah. Lemak tepu yang tinggi dalam tubuh akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
Diet tinggi protein untuk jangka masa yang lama akan memberi bebanan kepada buah pinggang dan hati. Kedua-dua organ ini perlu bekerja lebih untuk menyingkirkan ketone dan lebihan protein yang terhasil untuk dikumuhkan melalui urin.
Diet tinggi protein boleh mengakibatkan dehidrasi. Oleh kerana buah pinggang anda bekerja terlalu keras untuk membuang lebihan protein yang anda makan, ia akan menjadikan badan anda mengalami dehidrasi.
Individu yang ingin menurunkan berat badan selalunya akan berhadapan dengan masalah protein berlebihan dalam badan kerana mereka sering mempraktikkan diet tinggi protein dan rendah karbohidrat.
Hal ini kerana mereka akan merasa kenyang lebih lama disebabkan protein akan berada di dalam perut lebih lama berbanding karbohidrat dan lemak. Amalan diet ini telah terbukti mampu menurunkan berat badan untuk jangka masa pendek.
Walau bagaimanapun, jika terus diamalkan untuk jangka masa panjang, dikhuatiri akan mengakibatkan beberapa komplikasi seperti yang dinyatakan di atas.
Kesimpulannya, pengambilan diet tinggi protein dibolehkan untuk jangka masa yang pendek bagi individu yang ingin menurunkan berat badan iaitu 3 hingga 6 bulan. Selepas itu, individu tersebut mestilah mengamalkan diet yang seimbang iaitu berbalik kepada Konsep Suku-Suku Separuh.
Sumber: Artikel ini disumbang oleh Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin
Baca ini juga: