Mulianya sikap terpuji dan rasa tanggungjawab yang dimiliki oleh lelaki ini. Selayaknya digelar wira apabila lebih mengutamakan keselamatan nyawa orang ramai berbanding diri sendiri. Beliau memastikan tugasan dilaksanakan dengan sempurna meskipun terpaksa bergadai nyawa.
Seorang pengawal trafik udara diangkat sebagai hero kerana sanggup mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan ratusan nyawa ketika gempa berkekuatan 7.5 menggegar Lapangan Terbang Palu, baru-baru ini.
Sewaktu gempa bumi di Pulau Sulawesi, Anthonius Gunawan Agung, 21, kekal berada di menara kawalan,ditempat duduknya untuk memastikan pesawat yang sedang dan bakal berlepas itu selamat terbang. Walaupun rakan sekerjanya lari bertempiaran meninggalkan bangunan itu selepas berlaku goncangan kuat.
Gegaran tersebut telah menyebabkan rekahan besar di landasan yang mana ketika itu sebuah pesawat membawa ratusan penumpang sedang bersedia untuk berlepas.
Anthonius tidak menghiraukan keselamatannya dan dia terus membantu pesawat 6321 Batik Air berlepas dengan selamat. Gunawan sempat mengucapkan “Safe flight.Take care”, sebaik sahaja kapal terbang tersebut selamat berlepas di udara.
Dia kemudiannya melompat dari tingkat empat selepas bangunan tersebut terus bergoncang seperti mahu runtuh untuk menyelamatkan diri. Nasib tidak menyebelahi diri beliau, dia mengalami kecederaan organ dalaman dan patah anggota badan. Akibat cedera parah beliau meninggal dunia.
Sebuah helikopter dikerah untuk membawanya ke hospital untuk rawatan pakar, namun Anthonius meninggal dunia sebelum helikopter tiba.
Dia yang akan menyambut ulang tahun ke-22 pada 24 Oktober depan diberi penghormatan terakhir oleh tentera dan pangkatnya turut dinaikkan sebagai menghargai pengorbanannya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah kepada mangsa-mangsa gempa bumi dan Tsunami di kepulauan Sulawesi.Semoga roh Gunawan bersemadi dengan tenang.Kisah yang menjadi inspirasi buat semua, sikap terpuji mengutamakan keselamatan orang ramai hingga diri sendiri sanggup terkorban.
Sumber: Sinar Harian