Dengan keadaan ekonomi sekarang, macam-macam cara perlu dilakukan untuk menambah sumber pendapatan demi kelangsungan hidup. Salah satunya dengan berniaga kecil-kecilan.
Masih ingat dengan penyanyi era 90an, Shima atau pemilik nama sebenar Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman,49 yang cukup popular dengan lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki. Malah, dia juga pernah menerima pengiktirafan besar dalam kerjaya seninya sebagai penyanyi, namun semakin dilupakan pada awal tahun 2000 kerana tidak lagi aktif menyanyi.
Berpenampilan manis bertudung labuh, Shima kini telah membuka warung menjual nasi campur berhampiran rumahnya demi mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Namanya kembali menjadi sebutan selepas menyertai Gegar Vaganza musim pertama (GV1) pada 2014.Sayang seribu kali sayang, mengharapkan kerjaya kembali bersinar, namun ia tidak pernah berlaku.Malah, penyanyi yang juga pernah bersama band The Boys ini mengakui tidak banyak menerima undangan nyanyian usai program tersebut.
“Pelik juga sebenarnya. Nasib saya tidak sama seperti rakan lain yang menyertai GV. Selepas program tersebut saya tidak banyak menerima undangan nyanyian.
“Malah, tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencari saya untuk memberi tawaran sebagai artis rakaman atau merakamkan single. Ibaratnya kerjaya saya tertutup selepas menyertai GV.
“Memanglah ada rasa sedikit kecewa, namun saya anggap tiada rezeki untuk terus bersaing dalam dunia seni. Mungkin juga disebabkan saya tidak keluar dengan lagu baharu, peminat zaman sekarang tidak sedar tentang kewujudan saya,” ujar Shima perlahan.
Meskipun pahit apa yang dihadapi, itu adalah hakikat yang harus ditelan. Shima akur dengan putaran dunia yang kini tidak lagi berpihak kepadanya.Dia sendiri menganggap dunia glamor yang pernah dikecapi dahulu sudah bertemu titik penamat.
“Sepanjang 30 tahun menjadi penyanyi sudah pelbagai cabaran yang dilalui. Sudah menjadi adat sebagai anak seni, perjalanan kerjaya ada naik dan turunnya. Saya terima hakikat yang dihadapi sekarang.
“Saya sudah merasai dunia glamor pada awal kerjaya dahulu. Pernah menang Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, rasanya apa yang pernah saya capai sebelum ini adalah satu kebanggaan buat diri sendiri.
“Sejak mula menyanyi saya sudah tanamkan dalam hati bahawa perkara sebegini akan berlaku. Janganlah terlalu kecewa sehingga tidak boleh meneruskan kehidupan harian. Saya perlu jalan ke hadapan.
“Malah, saya tidak pernah rasa dengki melihat rakan-rakan artis lain yang masih atau kembali mencipta nama dalam industri. Semua itu rezeki mereka. Tuhan telah tetapkan apa yang dilalui sekarang adalah rezeki untuk saya,” luah Shima dengan reda.
Di sebalik wajah ceria bercerita dan mengenang kembali kisah silam, ada sesuatu yang disorokkan oleh penyanyi ini. Ramai yang tidak tahu Shima kini bergantung kepada bekalan ubat hospital kerana menghidap sakit belakang atau slip disc.
“Rasanya sudah lima tahun saya menghidap sakit ini. Sekarang memang bergantung kepada ubat dan akan berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk rawatan lanjut.
“Ketika zaman muda saya terlalu aktif dan di bangku sekolah pernah menyertai sukan peringkat kebangsaan. Saya juga pernah dua kali terjatuh di rumah. Sekarang barulah menanggung akibatnya.
“Doktor pernah memberi cadangan untuk melakukan pembedahan. Namun, risikonya amat tinggi kerana sakit ini sudah terlalu lama sehingga memberi kesan pada urat saraf. Jika buat pembedahan harapan untuk hidup hanya 50 peratus,” katanya.
Apabila ditanya tentang survival kehidupan, Shima tidak mahu kisahnya mengundang simpati orang lain. Malah, dia juga tidak terlalu mengharap mana-mana persatuan seni datang menghulurkan bantuan.
“Kalau boleh saya tidak mahu sentiasa bercerita tantang sakit. Syukur masih mampu meneruskan kehidupan harian. Biarlah keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu penderitaan yang saya alami.
“Biasanya persatuan seni akan datang berjumpa apabila seseorang artis itu sudah terlantar sakit di hospital. Jadi saya tidak mahu terlalu mengharap diberi bantuan.
“Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Sebab itu jika ada tawaran persembahan saya akan sentiasa beringat. Duit yang diterima harus disimpan sedikit untuk tujuan perubatan. Apa lagi saya tidak punya insurans perubatan untuk menanggung segala kos rawatan dan ubat,” ceritanya lagi.
Penyanyi ini yang pernah melahirkan sebuah album Inggeris berjudul More Than Your Girl pada 1993 memberitahu kini bahagia dengan perkahwinan kelima bersama Abdullah Rusli, 49, yang dinikahi dua tahun lalu.
Selain sibuk menguruskan rumah tangga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur.
“Sebenarnya idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu saya sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk saya memulakan perniagaan. Tetapi, dek kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.
“Malah, rencana untuk membuka restoran juga tidak berlaku. Banyak proses yang perlu dilakukan dan saya tidak jumpa rakan niaga yang sesuai.
“Sekarang rasanya masa yang tepat untuk memulakan perniagaan. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jika usaha ini menjadi, siapa tahu satu hari nanti impian untuk membuka sebuah restoran akan tercapai,” katanya.
Sekalipun akur kerjaya seni semakin perlahan, tidak bermakna Shima mahu terus berhenti. Dia juga tidak pernah kisah jika ada beranggapan memulakan perniagaan di tepi jalan dek kerana sudah `sendu’ dan tidak laku.
“Biarlah apa orang nak kata sekali pun. Mereka tidak tahu untuk memulakan perniagaan ini juga memerlukan modal. Jadi tidak perlulah saya kongsikan jika ada masalah kewangan sekali pun.
“Rindu untuk menyanyi sememangnya ada. Sebagai anak seni, saya mahu terus menyanyi. Jika diberi kesempatan saya mahu merakamkan lagu baharu,” jelas Shima yang memulakan perniagaan Warung Teringin di hadapan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor.
MW: Semoga warung nasi campur yang diusahakan penyanyi ini, mendapat sambutan yang menggalakkan.Pedulikan apa orang kata, yang penting mencari rezeki yang halal untuk kelangsungan hidup tanpa perlu mengharapkan belas ihsan orang lain itu adalah lebih mulia.
Sumber: Utusan & Shimagegarvaganza