Rupanya isu kegagalan komitmen pemberian nafkah pada anak-anak, bukan sahaja berlaku pada orang kebanyakan malah turut melibatkan selebriti antarabangsa, bekas pasangan romantis Angelina Jolie dan Brad Pitt.
Terbaru, Angelina Jolie menuduh Brad Pitt gagal memberi nafkah kepada anak mereka di tengah perceraian panjang bekas pasangan terkenal Hollywood itu. Peguam kepada aktres berusia 43 tahun itu mendakwa semalam, aktor berusia 54 tahun itu tidak membayar nafkah ‘relevan’ anak mereka selama 18 bulan, menurut dokumen mahkamah dilihat laman web DailyMail.com.
“Sehingga sekarang, Pitt belum membayar wang nafkah anak sejak mereka berpisah,” kata peguam Jolie, Samantha Bley DeJean.
Aktres tersebut mendakwa, suami ketiganya itu gagal memenuhi kewajipan kewangan dan menuntut mahkamah memaksanya menjelaskan bayaran.
“Oleh kerana perkiraan tidak rasmi berhubung pembayaran perbelanjaan anak-anak gagal dipenuhi Pitt selama setahun setengah, Jolie bercadang memfailkan satu arahan sekatan (RFO) bagi mengaktifkan arahan nafkah anak,” kata dokumen itu.
Beliau meminta hakim menguruskan satu pertemuan bagi membincangkan isu berkenaan. Sokongan ‘relevan’ tidak dijelaskan dalam tuntutan itu dan pasukan Pitt belum menjawab secara rasmi. Sumber Pitt yang biasa dengan situasi itu memberi bayangan kepada Dailymail.com, aktor berkenaan kemungkinan menentang dakwaan, mengulas: “Brad sentiasa memenuhi komitmennya.”
Dokumen itu juga menuntut perceraian mereka dimuktamadkan tahun ini, dengan Jolie dilihat tergesa-gesa mahu menamatkan hubungan mereka.
Kekayaan bersih Jolie dianggarkan AS$160 juta (RM652.40 juta), menurut Celebrity Net Worth dan pada 2014, beliau berada pada kedudukan ke-74 selebriti dengan pendapatan tertinggi menurut Forbes manakala Pitt diisytiharkan memiliki kekayaan bersih AS$240 juta (RM978.59 juta).
Perpisahan mengejutkan mereka diumumkan dua tahun lalu apabila Jolie memfailkan perceraian pada September 2016, memetik tiada persefahaman. Keputusan diambil di tengah dakwaan Pitt berkasar dengan seorang daripada anak mereka dalam pesawat peribadi namun dibebaskan daripada salah laku.
Menerusi laporan sebelum ini, perbalahan antara pasangan pelakon Brad Pitt dan Angelina Jolie semakin memuncak apabila Pitt dilaporkan enggan membayar nafkah anak sebanyak AS$100,000 (RM442,000) kepada bekas isterinya itu. Menurut sumber, Pitt tiada masalah menjaga enam anak mereka, Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, dan pasangan kembar, Vivienne dan Knox, tetapi tidak akan membayar nafkah anak kepada Jolie.
Sumber berkata, AS$250,000 (RM1.1 juta) akan dimasukkan ke dalam tabung amanah setiap seorang anak mereka setiap tahun, yang dihadkan AS$5 juta (RM22 juta).
“Itu merangkumi semua perbelanjaan anak mereka selain mewujudkan tabung amanah bagi setiap seorang kanak-kanak itu,” kata sumber kepada majalah In Touch.
Jolie pula dikatakan berharap perceraian dapat dipercepatkan dalam masa 90 hari.
“Angie mahu perceraian mereka rasmi dalam masa 90 hari, termasuk hak penjagaan dan harta sepencarian.Namun dengan apa yang dimintanya, ia mungkin sukar. Beliau membuat tuntutan kewangan tidak masuk akal,” kata sumber.
Jolie dan Ptt mengejutkan dunia apabila aktres itu memfailkan perceraian pada 19 September 2016, memohon hak penjagaan tunggal enam anak mereka.
Moga semuanya dapat mencapai persetujuan bersama dan dapat diselesaikan dengan baik. Buat suami yang bergelar ayah, walaupun telah berlaku penceraian dengan isteri dan terputus hubungan namun perlu ingat kewajipan nafkah anak-anak tetap perlu diteruskan dan merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Sumber: bharian & Daily Mail