Angau Cinta Dengan Lelaki Seusia Ayah Sendiri

Share

Angau cinta, rela korbankan apa saja. Malah cinta tak mengenal usia. Cinta juga mampu membuatkan seseorang itu seolah-olah ‘buta hati’, tidak dapat berfikir dengan waras dan rasional.

Atika, 23 tahun, telah jatuh cinta yang seusia bapanya dan dia ingin ingin mengahwini lelaki itu namun takut ditentang keluarga. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.

Hidup Sederhana

Aku dilahirkan dalam kalangan keluarga yang sederhana. Ayah seorang kaki tangan kerajaan dan ibu seorang suri rumah tangga. Mempunyai adik beradik seramai enam orang membuatkan kehidupan kami sederhana saja. Emak perlu bijak mengatur perbelanjaan keluarga.

Sebagai anak sulung, aku sering terpaksa mengalah demi adik-adik. Aku tak kisah kerana sedar kesusahan mak dan ayah. Bahkan aku sanggup membantu emak berniaga pisang goreng di depan rumah setiap petang dan ketika cuti sekolah. Kesusahan keluarga juga mencetuskan  semangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

Sambung Pengajian Di IPTA

Aku bersyukur kerana mendapat keputusan SPM yang agak cemerlang dan melayakkan aku untuk sebuah universiti. Aku mengambil jurusan perakaunan. Aku berjimat-jimat di universiti kerana sedar keadaan kewangan mak dan ayah.

Selepas tamat diploma, aku mengambil keputusan menangguhkan hasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah kerana memberi ruang kepada adik kedua yang mendapat tawaran ke sebuah universiti di utara tanah air. Aku tak mahu bebankan mak dan ayah. Sementara dapat kerja yang sesuai, aku membantu mak dan ayah di gerai.

Detik Perkenalan

Ketika membantu emak di gerai goreng pisang, aku perasan ada seorang lelaki yang sering datang ke gerai kami. Kadangkala duduk minum di situ dan kadangkala bungkus sahaja. Walau pun sudah berusia 40 tahun namun orangnya cukup segak.

Kadangkala datang menaiki kereta mewah, kadangkala dengan bermotorsikal besar. Kata mak, dia seorang kontraktor besar. Walau pun berpangkat tetapi baik dan tak sombong orangnya. Aku bahasakan dia Uncle K sahaja. Jika aku ada, aku perasan dia sering memerhatikan aku. Tapi aku tak ambil kisah kerana bukan dia kacau aku pun.

Baca lain di sini:

Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang

Tanda-Tanda Suami Rasa Diri Tak Lagi Dicintai, Isteri Kena Take Note!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Pelawaan Kerja

Pada satu hari, uncle K bertanya kepadaku sama ada hendak bekerja dengannya atau tidak. Salah seorang stafnya baru sahaja berhenti kerja selepas berkahwin kerana mengikut suaminya berpindah ke negeri lain.

Pucuk dicita ulam mendatang. Pasti aku terima memikirkan aku boleh membantu keluarga. Mak dan ayah juga tidak menghalang. Lagi pun hanya di bandar yang tidak jauh dari rumahku. Dengan menaiki satu bas sahaja sudah sampai ke pejabat.

Mulanya Hanya Bos Dan Pekerja

Pada mulanya hubungan kami seperti pekerja dan bos sahaja. Aku sangat menyenangi sifat mengambil beratnya. Dia juga suka bergurau dan memanjakan aku. Mungkin kerana aku staf yang paling muda, kata hatiku waktu itu.

Namun tidak pernah terdetik untuk jatuh cinta dengan uncle K lebih-lebih lagi aku baru saja putus cinta dengan teman lelaki yang sama tempat belajar. Belum terfikir hasrat untuk kembali bercinta.

Tak diduga

Entah bila aku mula menyukai uncle K. Seingat aku apabila aku sakit teruk dan terpaksa MC selama dua minggu. Saban hari pasti ada mesej bertanya khabar darinya. Entah mengapa, hatiku rasa selesa dengannya.

Selepas masuk kerja, aku ditugaskan sebagai PA uncle K kerana kebetulan PA lamanya cuti bersalin. Ketika itu kami mula rapat. Dia mula menghadiahi aku bermacam-macam barangan mewah. Puas kutolak tapi dia pula merajuk bila ingin ku kembalikan hadiah-hadiah itu.

Akhirnya aku mula pandai merajuk dan dia juga cukup pandai memujuk dan mengambil hati. Maklumlah lelaki berpengalaman. Walau pun aku sedar aku sedang bermain dengan api, namun aku biarkan sahaja diri hanyut dengan perasaan itu.

Percutian Di Bali

Uncle K mempelawa aku menemaninya menghadiri satu mesyuarat di Bali. Pucuk dicita ulam mendatang bagiku. Yelah, seumur hidup aku tidak pernah ke luar negara. Kata uncle K, kami akan pergi bersama  beberapa orang  staf lain. Jadi, tidaklah aku rasa segan dan bimbang. Mak dan ayah juga membenarkan aku pergi kerana atas urusan kerja.

Tiba hari yang dijanjikan, di lapangan terbang barulah aku sedar bahawa hanya kami berdua sahaja terbang ke Bali. Tapi keterujaan untuk ke luar negara membuatkan aku tidak berfikir apa risikonya bila berduaan dengan Uncle K nanti.

Di Bali kami tinggal di sebuah hotel mewah. Tapi uncle K tempahkan dua bilik berasingan untuk kami. Gadis kampung seperti aku cukup seronok dengan pengalaman itu. Bahkan, berada di tempat asing, membuatkan kami berani berjalan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih. Dalam hati, aku sudah menganggap Uncle K sebagai kekasih.

Makin Angau

Berada di negara membuatkan kami bebas bergerak. Aku bahagia dan tak langsung memikirkan tanggapan orang lain terhadap kami. Lebih-lebih lagi apabila aku dilayan bagai seorang puteri. Dibawa makan di romantis di tepian pantai, dibelikan pelbagai barangan. Walau pun aku tidak minta, Uncle K yang beria-ia membelikan itu dan ini untukku. Bahkan untuk ibu dan ayahku juga dibelikan cenderahati.

Malam terakhir  di Bali, Uncle K mengadu sakit badan. Maklum sajalah seharian kami berjalan sebelum akan pulang ke Malaysia keesokan harinya. Lewat malam, uncle K menghantar whatsApp meminta aku ke biliknya. Dia minta aku ke biliknya. Tanpa syak apa-apa, aku turutkan kehendaknya.

Jangan salah sangka, kami tak melakukan apa-apa. Uncle K hanya meluahkan perasaannya padaku ketika itu dan ingin mengambilku sebagai isteri. Dia sendiri rasa tak percaya dia boleh jatuh cinta dengan gadis sebaya anak gadisnya tapi itu yang terjadi. Aku? Rasa gembira, bingung dan risau. Namun aku gembira. Ternyata aku tak bertepuk sebelah tangan.

Hati Tekad Menyayangi

Pulang ke Malaysia, hubungan aku dan Uncle K berjalan seperti biasa dan masih tak dapat dihidu oleh sesiapa pun kecuali driver peribadinya. Berkali-kali dia mengajakku berkahwin namun aku menolak kerana tidak sanggup hidup bermadu. Hendak menyuruh Uncle K menceraikan isterinya, mustahil bukan. Zalim sangat rasanya jika aku buat begitu kepada wanita lain. Namun, perasaan sayangku semakin membuak-buak padanya.

Aku juga takut hendak berterus terang dengan keluargaku. Tentu mereka tak merestuinya. Jangan tanya sampai bila hubungan ini akan berterusan. Yang aku tahu, aku sangat mencintai lelaki itu! Aku dah angau cinta padanya!

 

 

Published by
Nurul Azwa