Angau cinta, rela korbankan apa saja. Malah cinta tak mengenal usia. Cinta juga mampu membuatkan seseorang itu seolah-olah ‘buta hati’, tidak dapat berfikir dengan waras dan rasional.
Atika, 23 tahun, telah jatuh cinta yang seusia bapanya dan dia ingin ingin mengahwini lelaki itu namun takut ditentang keluarga. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.
Hidup Sederhana
Aku dilahirkan dalam kalangan keluarga yang sederhana. Ayah seorang kaki tangan kerajaan dan ibu seorang suri rumah tangga. Mempunyai adik beradik seramai enam orang membuatkan kehidupan kami sederhana saja. Emak perlu bijak mengatur perbelanjaan keluarga.
Sebagai anak sulung, aku sering terpaksa mengalah demi adik-adik. Aku tak kisah kerana sedar kesusahan mak dan ayah. Bahkan aku sanggup membantu emak berniaga pisang goreng di depan rumah setiap petang dan ketika cuti sekolah. Kesusahan keluarga juga mencetuskan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.
Sambung Pengajian Di IPTA
Aku bersyukur kerana mendapat keputusan SPM yang agak cemerlang dan melayakkan aku untuk sebuah universiti. Aku mengambil jurusan perakaunan. Aku berjimat-jimat di universiti kerana sedar keadaan kewangan mak dan ayah.
Selepas tamat diploma, aku mengambil keputusan menangguhkan hasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah kerana memberi ruang kepada adik kedua yang mendapat tawaran ke sebuah universiti di utara tanah air. Aku tak mahu bebankan mak dan ayah. Sementara dapat kerja yang sesuai, aku membantu mak dan ayah di gerai.
Detik Perkenalan
Ketika membantu emak di gerai goreng pisang, aku perasan ada seorang lelaki yang sering datang ke gerai kami. Kadangkala duduk minum di situ dan kadangkala bungkus sahaja. Walau pun sudah berusia 40 tahun namun orangnya cukup segak.
Kadangkala datang menaiki kereta mewah, kadangkala dengan bermotorsikal besar. Kata mak, dia seorang kontraktor besar. Walau pun berpangkat tetapi baik dan tak sombong orangnya. Aku bahasakan dia Uncle K sahaja. Jika aku ada, aku perasan dia sering memerhatikan aku. Tapi aku tak ambil kisah kerana bukan dia kacau aku pun.
Pada satu hari, uncle K bertanya kepadaku sama ada hendak bekerja dengannya atau tidak. Salah seorang stafnya baru sahaja berhenti kerja selepas berkahwin kerana mengikut suaminya berpindah ke negeri lain.
Pucuk dicita ulam mendatang. Pasti aku terima memikirkan aku boleh membantu keluarga. Mak dan ayah juga tidak menghalang. Lagi pun hanya di bandar yang tidak jauh dari rumahku. Dengan menaiki satu bas sahaja sudah sampai ke pejabat.
Mulanya Hanya Bos Dan Pekerja
Pada mulanya hubungan kami seperti pekerja dan bos sahaja. Aku sangat menyenangi sifat mengambil beratnya. Dia juga suka bergurau dan memanjakan aku. Mungkin kerana aku staf yang paling muda, kata hatiku waktu itu.
Ads
Namun tidak pernah terdetik untuk jatuh cinta dengan uncle K lebih-lebih lagi aku baru saja putus cinta dengan teman lelaki yang sama tempat belajar. Belum terfikir hasrat untuk kembali bercinta.
Tak diduga
Entah bila aku mula menyukai uncle K. Seingat aku apabila aku sakit teruk dan terpaksa MC selama dua minggu. Saban hari pasti ada mesej bertanya khabar darinya. Entah mengapa, hatiku rasa selesa dengannya.
Selepas masuk kerja, aku ditugaskan sebagai PA uncle K kerana kebetulan PA lamanya cuti bersalin. Ketika itu kami mula rapat. Dia mula menghadiahi aku bermacam-macam barangan mewah. Puas kutolak tapi dia pula merajuk bila ingin ku kembalikan hadiah-hadiah itu.
Akhirnya aku mula pandai merajuk dan dia juga cukup pandai memujuk dan mengambil hati. Maklumlah lelaki berpengalaman. Walau pun aku sedar aku sedang bermain dengan api, namun aku biarkan sahaja diri hanyut dengan perasaan itu.
Percutian Di Bali
Uncle K mempelawa aku menemaninya menghadiri satu mesyuarat di Bali. Pucuk dicita ulam mendatang bagiku. Yelah, seumur hidup aku tidak pernah ke luar negara. Kata uncle K, kami akan pergi bersama beberapa orang staf lain. Jadi, tidaklah aku rasa segan dan bimbang. Mak dan ayah juga membenarkan aku pergi kerana atas urusan kerja.
Ads
Tiba hari yang dijanjikan, di lapangan terbang barulah aku sedar bahawa hanya kami berdua sahaja terbang ke Bali. Tapi keterujaan untuk ke luar negara membuatkan aku tidak berfikir apa risikonya bila berduaan dengan Uncle K nanti.
Di Bali kami tinggal di sebuah hotel mewah. Tapi uncle K tempahkan dua bilik berasingan untuk kami. Gadis kampung seperti aku cukup seronok dengan pengalaman itu. Bahkan, berada di tempat asing, membuatkan kami berani berjalan berpegangan tangan seperti pasangan kekasih. Dalam hati, aku sudah menganggap Uncle K sebagai kekasih.
Makin Angau
Berada di negara membuatkan kami bebas bergerak. Aku bahagia dan tak langsung memikirkan tanggapan orang lain terhadap kami. Lebih-lebih lagi apabila aku dilayan bagai seorang puteri. Dibawa makan di romantis di tepian pantai, dibelikan pelbagai barangan. Walau pun aku tidak minta, Uncle K yang beria-ia membelikan itu dan ini untukku. Bahkan untuk ibu dan ayahku juga dibelikan cenderahati.
Malam terakhir di Bali, Uncle K mengadu sakit badan. Maklum sajalah seharian kami berjalan sebelum akan pulang ke Malaysia keesokan harinya. Lewat malam, uncle K menghantar whatsApp meminta aku ke biliknya. Dia minta aku ke biliknya. Tanpa syak apa-apa, aku turutkan kehendaknya.
Jangan salah sangka, kami tak melakukan apa-apa. Uncle K hanya meluahkan perasaannya padaku ketika itu dan ingin mengambilku sebagai isteri. Dia sendiri rasa tak percaya dia boleh jatuh cinta dengan gadis sebaya anak gadisnya tapi itu yang terjadi. Aku? Rasa gembira, bingung dan risau. Namun aku gembira. Ternyata aku tak bertepuk sebelah tangan.
Hati Tekad Menyayangi
Pulang ke Malaysia, hubungan aku dan Uncle K berjalan seperti biasa dan masih tak dapat dihidu oleh sesiapa pun kecuali driver peribadinya. Berkali-kali dia mengajakku berkahwin namun aku menolak kerana tidak sanggup hidup bermadu. Hendak menyuruh Uncle K menceraikan isterinya, mustahil bukan. Zalim sangat rasanya jika aku buat begitu kepada wanita lain. Namun, perasaan sayangku semakin membuak-buak padanya.
Aku juga takut hendak berterus terang dengan keluargaku. Tentu mereka tak merestuinya. Jangan tanya sampai bila hubungan ini akan berterusan. Yang aku tahu, aku sangat mencintai lelaki itu! Aku dah angau cinta padanya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri itu sifatnya penuh emosi. Baik ketika menguruskan anak-anak mahupun menguruskan keperluan suami, isteri akan uruskan dengan perasaan. Sebab itu kadangkala ada merungut sikit, menegur sikit, luahan hati sikit. Kalau suami yang tak faham dikatakan isteri membebel. Walhal itulah kasih sayang isteri yang prihatin.
Tugasan isteri ini mencabar sebenarnya. Baik yang bekerja mahupun yang duduk rumah sepenuh masa. Sampai 24 jam tak berhenti dan rehatnya cuma sekejap saja.
Balik kerja pun masih nak kena sediakan makan minum suami dan anak-anak. Isteri yang baik, dia tak merungut. Buat saja, tapi keletihannya kalau tak dibalas dengan rasa cinta suami memang boleh makan dalam.
5 Rutin Ini Bila Suami Buat Dengan IKHLAS, Kasih Sayang Isteri Makin Mendalam
PERTAMA : Tolong Basuh Baju Dan Sidai
Kalaulah dari kecil mak tak ajar suami memasak, cubalah ajar diri jadi tukang cuci keluarga yang hebat. Belajarlah sabun mana yang perlu diguna, punat mana yang perlu ditekan nak bagi baju bersih ikut standard keluarga.
Lakukan sampai isteri anda kata ‘Tak tahulah nak guna mesin basuh tu macam mana, sebab selama ini abang yang buat’.
KEDUA : Belanja Pelukan Dari Belakang
Masa isteri tengah penat memotong bawang ke, basuh pinggan mangkuk ke, peluklah isteri dari belakang. Penuh kasih agar pelukan kasih sayang itu dapat meredakan rasa lelah isteri.
Sesekali buat kejutan begini memang membahagiakan. Nanti bila gaduh-gaduh kecil, isteri akan kenang tindakan simple yang lagi membahagiakan ini. Bila rasa nak merajuk lama-lama pun tak jadi.
KETIGA : Imamkan Solat
Kalau tak dapat buat setiap 5 waktu, dapat buat waktu maghrib setiap hari pun dah seronok sangat. Isteri dan anak-anak akan rasa kedekatan di hati anda. Lagi bagus, waktu berdoa kuatkan bacaan dan doakan untuk anak isteri.
Biar mereka dengar pengharapan anda. Jangan lupa beri tazkirah dan harapan anda sebagai suami dan ayah. Aura positif dari tindakan ini memang lain dari yang lain.
KEEMPAT : Bawa Isteri Jalan-jalan.. Ini Penting!
Walaupun isteri anda berdikari orangnya. Tapi bawalah dia berjalan ke tempat yang dia suka. Pegang tangannya masa berjalan. Haish! Masa bercinta yang dilarang tulah nak buat, dah halal tau pulak segan.
Jangan sampai hubungan cinta renggang, suburkan seiring dengan usia perkahwinan itu. Makin lama, cinta makin dalam.
KEEMPAT : Beli Barang Dapur Setiap Bulan
Beli yang asas; beras, gula, susu, sayur, ikan. Yang lain-lain boleh tong-tong dengan isteri. Jangan sampai isteri fikir ‘asyik-asyik duit kita yang keluar’. Bahaya betul pemikiran sebegini.
Boleh buat hubungan jadi makan dalam, bernanah dan akhirnya berdarah.Bahagikanlah siapa yang bayar bil, rumah atau kereta.
Kalau anda mampu tak perlu bebankan isteri. Duit isteri bekerja biarlah dia nak buat apa pun. Percayalah isteri yang baik dia akan tahu bahagikan kepada simpanan anak-anak, simpanan kecemasan dan masa depan.
Jangan segan berkongsi masalah kewangan dengan isteri. Bila anda tak pernah berkira dengan isteri, ketika anda susah, simpanan isteri itulah yang akan dikongsi dengan anda tanpa perlu memulangkannya semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Chef Selebriti Terbaik Dunia, Chef Wan atau nama sebenarnya Dato’ Redzuawan Ismail ini dalam kesibukan mengurus perniagaan restoran terkemukanya. Anak ini tak pernah lelah menjaga ibunya, Mak Ani yang mengalami Dementia.
Bila mana ibunya disahkan mengalami kanser payudara mencecah usia 89 tahun, hati Chef Wan bertambah ‘retak’. Sungguh, ini ujian paling hebat untuknya lalui sebagai anak yang begitu menyayangi ibunya.
Hal ini dikongsikan sendiri oleh Chef Wan di dalam laman instagramnya. Akuinya semalam dia berada di Hospital Glenegles nak ambil result ujian mammogram yang dapat mengesan dan mengesahkan Mak Ani alami kanser payudara.
“Terkejut saya bila doktor dapat kesan 2 ketulan besar dan ia sudahpun merebak sehingga ke kelenjar limfa mak.”
Beberapa hari lalu, Chef Wan ada memandikan ibunya. Setiap kali dia cuba menggosok bahagian itu dengan sabun, Mak Ani akan mengingatkan agar menggosok dengan lembut sebab ia menyakitkan.
Malah, Chef Wan sendiri membuat ujian memeriksa ketulan pada ibunya. Dia minta Mak Ani baring, dengan menggunakan tiga jari, Chef Wan mencari lokasi ketulan. Semakin dalam dia menekan bahagian yang dimaksudkan, semakin Chef Wan merasai ketulan daging atau tisu keras yang besar pada bahagian itu.
Alangkah terkejutnya Chef Wan.
Akuinya, biarpun dia bukan seorang doktor, dia tahu akan penyakit berkenaan. Kefahaman itu diperoleh menerusi pembacaan berkaitan kanser payudara, malah sesetengah informasi berkaitan penyakit ini didapati ketika menerima jemputan membuat demo masakan dalam mana-mana Minggu Kanser negara.
Bila saja dapat kesan ketulan pada Mak Ani, Chef Wan terus membawa ibu berjumpa doktor. Patah hati Chef Wan bila tahu emak sendiri menghidap kanser payudara.
“Sebelum ini cuma dengar kisah sebegini dari kawan-kawan, ibu-ibu mereka malah dari cerita-cerita wayang tapi bila tiba ibu sendiri yang alami, hati saya benar-benar hiba.”
Faktor Umur, Cuma Boleh Beri Ubat
Untuk proses seterusnya, doktor akan menjalankan Pemeriksaan Imbasan CT (CT Scan) untuk mengesan sama ada kanser dah merebak ke beberapa tempat di tubuh ibunya atau sebaliknya.
Bagaimanapun, dengan faktor usia dan saiz tumor yang agak besar, Mak Ani tak boleh menjalani kemoterapi ataupun pembedahan.
Biopsi payudara juga bukan satu pilihan yang boleh dilakukan, memandangkan ianya terlalu menyakitkan untuk Mak Ani yang sudahpun berusia. Malah, tumor yang ada juga terlalu besar.
Apa yang doktor boleh lakukan adalah dengan memberikan ubat-ubatan. Agar usaha itu dapat mengecutkan tumor berkenaan.
“Apa pun Isnin ini selepas CT Scan.. ujian darah yang mana saya kan bawa emak esok.. akan membantu kami memahami dengan lebih lanjut.
Biarpun saya bersedih bagi emak saya malah keluarga saya, namun saya perlu jadi lebih kuat menerima ujian hebat ini dan harunginya hingga ke akhirnya.”
Sesekali Chef Wan bawa Mak Ani ke restoran mewah miliknya.
Mak Ani Bakal Sambut Ulang Tahun Ke-89
Paling penting, saya akan menjaga dan merawat ibu dengan sebaiknya dengan sehabis daya yang mampu.”
Mencurahkan emak dengan kasih sayang, dan memberi keselesaan sehingga ke hujung nafas emak.”
Chef Wan juga memohon agar Allah memberinya kekuatan menghadapi momen paling sedih dalam hidupnya. Dalam masa yang sama, Chef Wan teramat bersyukur kerana Allah memberi keberkatan untuknya menjaga emak selama emaknya masih bernafas.
Chef Wan akur, suatu hari nanti Mak Ani akan meninggalkannya juga. Malah, dalam dua minggu lagi, Mak Ani akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke 90 tahun.
“Jika menurut chinese she already 90 years old. 9 bulan dalam perut tu. I didn’t sleep all nite.” Luah Chef Wan sebak.
Telah tiba ajalanya, tidak akan terlepas walaupun sesaat. Bayangkan pada mulanya adik yang kelemasan, tetapi dengan ketangkasan seorang abang, adik dapat diselamatkan. Malah mangsa juga dapat selamatkan rakan-rakannya.
Ternyata Allah lebih menyayangi dia, abang “pergi” buat selamatnya selepas selamatkan adik dan rakan. Remaja yang keletihan ini telah hanyut dibawa arus sebelum ditemui lemas.
Mayat remaja lelaki ditemui pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja, dekat sini, hari ini.
Mayat Mohd Naqiuddin Adnan, 16, ditemui di dasar parit pada 8.40 pagi hari ini selepas dia dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dan empat rakan pada 4.30 petang semalam.
Abang “Pergi” Selepas Selamatkan Adik & Rakan
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati pada 4 petang semalam, mangsa turun mandi ke parit berkenaan bersama adiknya, Akmal Muzakir Adnan, 12, dan empat rakannya berusia antara 10 hingga 13 tahun.
“Lebih kurang 30 minit mandi manda, adik mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus sebelum mangsa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dengan menarik ke tepi parit berkenaan.
“Selain itu, dua lagi rakan adik mangsa yang turut mandi bersama terselamat.
“Akibat keletihan, mangsa kemudian dilihat hanyut dibawa arus dan tenggelam, namun adiknya serta empat rakan tidak berupaya menolong dan mendapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dijalankan sebaik maklumat diterima dengan membabitkan pihak berkuasa dan penduduk setempat, namun mangsa gagal dijumpai semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini dan pada 8.40 pagi, mayat mangsa dijumpai anggota bomba di dasar parit itu.
Hasil Bedah Siasat, Mangsa Lemas
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.
“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dengan pergerakan anak dan tidak membiarkan anak mandi di parit atau sungai dalam keadaan cuaca dan paras air yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Teknik Surface Searching
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, bomba menggunakan teknik ‘surface searching’ dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air bertentangan iaitu arah Gate Air dengan jarak lebih kurang 1 kilometer (km).
Beliau berkata, parit berkenaan mempunyai lebar hampir 10 meter (m) dan kedalaman tiga meter (m).
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera FRT dan satu utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.50 pagi sebaik mayat mangsa ditemui,” katanya.
MW: Besar pengorbanan remaja ini, dia pergi buat selamanya setelah mengorbankan nyawa demi adik yang dikasihi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan dia di kalangan orang beriman. Amin. Al-Fatihah.