Setiap insan pastinya mendambakan keselesaan tatkala pulang ke rumah. Begitu juga dengan personaliti yang juga pemilik kediaman yang bernama Nur Izzati Misran dan suami. Selepas bertahun-tahun menginap di rumah sewa, akhirnya pasangan ini berjaya menduduki rumah sendiri. Tatkala inilah semua angan-angan untuk menghias rumah direalisasikan.
Kepercayaan turut diberikan kepada Pereka Dalaman, Nur Nazihah dari NZ Design untuk melaksanakan tanggungjawab menghias indah kediaman Nur Izzati.
“Saya berasa bersyukur akhirnya impian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya termakbul. Kami baru beberapa bulan mendiami rumah ini setelah bertahun-tahun menyewa dan merantau di negeri Di Bawah Bayu. Perasaan gembira memang tak terkata sebab sebelum ini agak risau nak mengubah dan menghias lebih-lebih lagi bukan milik sendiri.
“Sebenarnya kami tidak menetapkan tema yang spesifik. Kebanyakan ruang kami ambil kira konsep ringkas, minimalis dan mudah dibersihkan. Kami memberi kebebasan kepada syarikat pereka dalaman yang dilantik iaitu Puan Nur Nazihah dari NZ Design untuk menghasilkan rekaan yang sesuai berdasarkan pilihan kami. Konsep yang kami pilih juga agak ringkas bagi memudahkan kami mengekalkan penjagaan dan kebersihan. Bagi kami, mengekalkan sesuatu yang cantik itu lebih mencaba,” ungkap Nur Izzati mulai bicara.
Ubahsuai Ikut Bajet
Bagi mendapatkan keselesaan Nur Izzati dan suami melakukan pengubahsuaian sebelum menduduki kediaman baru mereka.
“Bagi ubahsuai sebuah rumah mengambil masa dalam sebulan. Ini kerana kerja-kerja pendawaian yang banyak perlu dilakukan terlebih dahulu atas sebab faktor pemaju tidak nenyediakan punca elektrik di rumah kami. Kemudian pembuatan kabinet yang ditempah mengambil masa selama dua minggu barulah syarikat dekorasi dalaman NZ design mulakan kerja-kerja tata rias mereka. Untuk dekorasi dalaman hanya mengambil masa dua hari bagi keseluruhan ruang seperti ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan, bilik tidur utama dan bilik anak perempuan kami.
“Bagi ruang tami, kami bahagikan ruang tamu kepada dua iaitu ruangan tetamu dan ruangan keluarga. Ruangan tetamu diletakkan kerusi yang banyak sedikit bagi meraikan tetamu yang hadir. Hiasan dinding seperti bingkai khat dijadikan sebagai penyeri ruangan tamu kami dengan diletakkan bersama lampu sorot berwarna kuning sama ada dari atas mahupun bawah.
“Pencahayaan yang tepat mampu membuatkan dinding utama, selalunya di ruang tamu lebih menarik. Pertambahan aksesori dinding lain seperti cermin sememangnya sinonim dan penting dalam hiasan dalaman kerana ia bukan saja memberi sentuhan elegan tetapi menyerlahkan lagi keluasan rumah secara ilusi.
“Selain itu, ruangan keluarga di tengah adalah ruangan aktiviti kami sekeluarga sama ada menonton televisyen mahupun meluangkan waktu lapang. Jadi kami tidak meletakkan banyak perabot hanya sekadar sebuah sofa yang boleh dialihkan memandangkan anak kami yang masih kecil dan masih lasak memerlukan ruang yang luas untuk bergerak dan bermain.
“Bagi ruang makan pula, kami gunakan meja makan enam kerusi dengan hiasan yang ringkas. Ruang meja makan diletakkan berdekatan dengan dapur untuk memudahkan keluarga kami menjamu selera. Meja itu digunakan untuk makan malam sahaja. Untuk sarapan dan makan ringan kebiasaanya kami gunakan meja kopi di dapur. Ruangan ini diserikan lagi dengan penggunaan pokok hiasan berdaun hijau yang diletakkan di hujung sudut ruang dan hiasan dinding yang menarik
“Ruangan dapur dekorasinya lebih ringkas. Memandangkan suami saya gemar memasak, jadi segala rekaan kabinet dan susun atur ditentukan sendiri oleh suami saya supaya mudah pergerakannya ketika memasak.
“Bilik tidur anak pula, disebabkan anak masih kecil, kami mengambil keputusan tidak lagi menyediakan meja belajar tetapi digantikan dengan sudut bacaan. Sudut permainan pula kami pindahkan ke bilik lain yang lebih besar. Tujuannya supaya bilik akan sentiasa nampak kemas dan selesa,” kata Nur Izzati yang merasakan ‘Feature Wall’ dan meja solek paling menarik perhatian dalam ruang rumahnya. Bagi suaminya pula sudah semestinya ruangan dapur dan bilik kerja suami.
Idea Bersama
Ditanya tentang idea untuk mendekorasi kediaman, Nur Izzati menerangkan, mereka suami isteri bergabung dalam merealisasikan idea yang terbaik.
“Kabiasaannya kami akan bincangkan sesuatu idea sebelum direalisasikan. Saya lebih kepada susun atur perabot dan tanaman hiasan manakala suami saya pula lebih kepada teknikal seperti pendawaian dan barangan elektrik,” jelasnya.
Nur Izzati juga menerangkan apabila melihat susun atur rumah kemas dan memenuhi citarasa dia berasa tenang.
“Semestinya menenangkan fikiran. Lebih-lebih lagi apabila pulang dari kerja yang memenatkan, jadi segar semula apabila melihat hiasan rumah yang sejuk mata memandang. Ada juga yang pelik kami sanggup berhabis wang untuk menghias rumah. Namun bagi saya, biarlah alah membeli menang memakai.
“Untuk konsep dekorasi idaman ini, pemihan perabot banyak ditempah khas menggunakan elemen kayu dari gedung perabot terkenal di ibu kota iaitu more design asia, kemudian diserikan dengan elemen aksesori lain dari Ikea, SSF, Couch Design dan sebagainya. Ini kerana banyak pilihan yang menarik boleh didapati di sana,” jawabnya.
Kemas Rumah Pada Hujung Minggu
Setiap kali hujung minggu Nur Izzati akan memperuntukkan masa mengemas rumah bersama suami.
“Kami akan peruntukkan hari minggu untuk mengemas keseluruhan rumah. Rutin yang selalu ditekankan adalah vakum dan mengemop lantai setiap minggu. Anak-anak masih kecil, jadi kena sentiasa pastikan lantai bersih dari sebarang kotoran dan benda-benda kecil,” akhirnya.