Memang sedih dan rasa terkilan bagi seorang ibu apabila anak nak dihantar ke sekolah menjadi salah seorang mangsa buli oleh rakan sebaya semuda usia 7 tahun! Antaranya anak dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan sebagainya. Pelbagai perkara terlintas di fikiran, bagaimana kanak-kanak berumur 7 tahun sudah berani melakukan perkara sebegini.
Pendekatan bijak yang di lakukan oleh ibu muda beranak empat, Puan Norasikin Hussein ini terhadap pembuli anaknya, wajar dijadikan iktibar buat mak ayah yang lain jika berhadapan kes yang sama sebegini. Paling penting ia dilakukan secara berhemah, tidak emosi dan mendekati pembuli anaknya dengan rasional untuk mencari punca sebenar.
Buli.
Saya beranikan diri berkongsi kisah anak sendiri dibuli secara fizikal. Semoga ada iktibar.
Bismillah.
“Minggu lepas saya jumpa pembuli anak di kantin sekolah walaupun cikgu dah ambil tindakan dengan mengasingkan mereka didalam kelas. Saya ambil keputusan begini sebab masih berlarutan dia membuli anak saya. Sepanjang 2 minggu akhir bulan lepas anak saya saban hari telah dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan beberapa lagi saya taknak senaraikan. Cukuplah ini sahaja. Melibatkan budak yang sama.”
Saya sedih.
Bagaimana 2 minggu anak saya lalui semua ni. Sepatutnya dia bergembira bukan menanggung sedih seorang diri.
Saya tanya dia. “Kenapa kamu tak beritahu ibu semua ni?”
Bila dia jawab dia cuba nak selesaikan dulu sendiri masalah ni. Gugur air mata saya.
Saya sedih.
Mengapa anak berusia tujuh tahun yang lahirnya fitrah. Suci tanpa setitik dosa boleh melakukan semua ni pada rakannya. Apa sebenarnya dia sedang lalui. Saya ambil keputusan berjumpa anak ni ketika waktu rehat tanpa melibatkan pihak lain dahulu iaitu ibu bapa dia dan guru. Saya ingin kenal dia terdahulu.
Saya beri salam.
“Assalamualaikum. Boleh acik dok sebelah.”
“Waalaikumussalam acik!”
Dia menjawab salam saya. Bagus! Dia juga beri ruang untuk saya duduk.
Saya lihat baju dan tudung dipakai budak ni. Hmm.. bersih dan kemas.
Pandai dia melipat tudung dua lapis tu. Anak tudung juga terletak elok. Raut wajah nampak tak seperti rakan sebaya yang lain. Nampak matang sebelum usia.
Saya mulakan perbualan dengan bertanya nama. Benarkah nama sekian sekian. Dia angguk. “Ya betul acik”
Saya belanja 2 biji donut coklat yang saya beli dikantin tu juga. Dia ucap terima kasih. Bagus. Ada adab.
Tanpa lengah saya terus buka soalan.
“Acik nak tanya betul ke kamu ada cekik anak acik setiap kali sekolah?”
Dia berhenti menguyah. Mata terhenti melihat keropok leko bersalut sos.
Saya ulang sekali lagi soalan tadi.
Tiada respon.
“….jujur dengan acik. Acik tak marah. Beritahu saja, benar ke kamu buat begitu?”
“Ya. Saya buat”..
Berani budak ni.
“Kenapa kamu cekik anak acik?”
“Saya nak dia kawan saya. Saya cekik sebab dia tak nak kawan dengan saya..”
laju je keluar dari mulut dia..Oh. Dia fikir dengan cekik dia boleh dapat kawan ke?
Saya cuba betulkan. Mesti.
“Salah tu… Kalau nak berkawan dengan baik-baik dengan orang. Kena senyum, kena tegur orang. Hai..boleh saya kita kawan ? Kalau awak cekik orang..siapa pun tak nak kawan dengan kamu. Bukan anak acik saja taknak kawan dengan kamu, nanti semua tak nak kawan dengan kamu…”
Diam.
Saya sambung.
“Kamu cekik anak acik tu kamu belajar dari mana? Mana tengok semua tu…nanti boleh mati tau kalau cekik-cekik orang ni. Nak polis tangkap ke?”
Dia menggeleng- geleng kepala.
“Tak…taknak..taknak acik…”
Hah. Tau takut!
Saya ulang tanya dari mana dia belajar cekik orang ni.
Dia hanya menggeleng.
Saya serang lagi dengan soalan.
“Acik dapat tahu dari anak acik duit dia yang dalam beg dan jam kamu ambil. Ada si xxx sebelah kamu ada nampak kamu buka beg anak acik tempohari..?”
“Tak acik. Saya tak ambil”
Beria dia menafikan bab ni.
Baik. Saya malas nak panjang cerita bab duit ni..
Saya sambung siasatan.
“Hari-hari anak acik kata kamu suka campak buku-buku anak acik dalam kelas. Benar kamu buat macam tu?”
Dia mengaku lagi.. “Ya acik. Saya buat macam tu”
“Kenapa buat macam tu. Tak kesian ke pada anak acik. Menangis bila cerita apa yang kamu buat. Jenuh dia nak mengutip buku, pensil semua tu..”
Saya tengok muka polos dia. Kenapalah harus begini. Bagaimana kamu dibesarkan wahai anak.
Tiba-tiba dia menjawab..“Sebab dia taknak ajar saya belajar.”
“Betul dia taknak ajar kamu belajar? kejap acik panggil dia. Saya bangun dan acah-acah ke tempat anak saya yang sedang makan dengan 2 rakan tadi.
Lekas pula dia jawab.”dia ajar. Saya tak faham.”
Saya kembali duduk.
“Kalau tak faham cakap dengan anak acik untuk ajar lagi..atau tanya cikgu terus. Bukan buat macam tu. Itu tak betul.”
Aku tarik nafas.
“Apa benar kamu tendang anak acik kat tangga. Lepas tu kamu lari..?”
“Ya acik. Saya buat. Saya tendang sebab dia taknak kawan saya.”
“Kamu tak puas hati dengan anak acik atau ada apa lagi yang anak acik ada buat apa-apa kat kamu sampai kamu buat macam tu?”
“Dia jauh dengan saya. Saya tak suka. Saya nak kawan dengan dia”
Allah.
“Budak ni nak menakluk. Apa yang dia saksikan hari-hari agaknya..”getus hati saya.
“Kamu tahu..kalau kamu tendang kena bucu tangga. Kena apa-apa yang bahaya. Anak acik jatuh dan berdarah boleh cedera dan boleh mati tau buat macam tu. Tahu tak boleh jadi macam tu?”
Dia tak berani menatap mata saya. Saya ulang tanya “tahu tak boleh mati? bahaya kamu buat begitu”
“Tak tahu acik”
“Lain kali boleh tak janji dengan acik jangan buat lagi semua yang kamu buat pada anak acik. Kalau buat lagi acik telefon polis. Nanti polis tangkap kamu, ibu kamu atau ayah kamu. Nak tak?”
Dia terkedu. Sangaja saya buat begitu. Saya juga takut kejadian berulang kembali nanti.
“Janji. Saya tak buat lagi cik..”
Saya buka hp dan scroll mencari sesuatu dalam whatsapp group kelas. Saya tunjuk pada dia profile pic seseorang. Saya agak saja berdasarkan perbualan dalam tu.
“Kenal siapa ni?”
Bulat mata dia. “Mama”
“Acik jangan beritau mama. Janji cik. Nanti saya kena pukul”
“Mama kamu tau tak kamu buat macam ni..?”
“Tak tau acik. Jangan beritau. Nanti saya kena tali pinggang. Rotan. Mama pukul teruk”
Dia merayu.
Sayu pula hati saya.
“Okey..kalau macam tu kamu pun kena janji dengan acik jangan buli anak acik dan orang lain juga. Kalau buat lagi acik report polis juga”
“Janji. Saya tak buat lagi. Jangan beritau mama saya cik”
“Ye. Janji jadi budak baik lepas ni. Cuba ya. Nanti semua sayang kamu.”
“Ye cik…”
Kemudian..
“ayah selalu cekik mama bila gaduh.”
Saya pula yang terkejut.
“Ayah cekik mama? Kamu selalu tengok ke?”
Tenang dia jawab. “Aah. Bukan selalu juga. Tapi bila gaduh ayah suka cekik mama sampai mama nangis cakap sakit”
Sekarang saya dah tahu mana dia belajar semua tu..
Loceng bunyi.
Tanda tamat sesi rehat. Saya panggil anak sendiri dan bersalaman dengan anak ini. Entahlah..
Saya peluk dia. Saya masih terfikir hingga sekarang betulkah tindakan saya. Saya masih menanti dan risau moga-moga selepas ni tak jadi lagi. Moga-moga acik dan kamu tak teruskan perjumpaan dibilik kaunseling selepas ini. Acik cuba percaya kamu. Moga baik-baik saja untuk kamu wahai anak..
– Norasikin Hussein | Selasa | 6.2.18
Semoga bermanfaat kongsikan juga buat mak ayah yang lain. Sungguh, anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Anak-anak mudah belajar daripada apa yang dilihat sekeliling, lebih-lebih apa yang mak ayah lakukan, anak mudah mencontohinya. Mohon mak ayah lebih menjaga perilaku dan menunjukkan tauladan yang baik dihadapan anak-anak.
Sumber: Norasikin Hussein