Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Ads
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Kredit: rocksfull
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Ads
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ads
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Kredit: hyunjinmoon.com
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lelaki, perempuan yang bergelar suami, isteri, jangan terlampau mesra di pejabat. Di tempat kerja, kita sering berinteraksi dengan ramai orang, termasuk rakan sekerja yang sudah berkeluarga. Namun, dalam kesibukan dan kemesraan bekerja bersama, ada satu perkara yang sering dipandang ringan iaitu batasan pergaulan antara suami orang dan isteri orang.
Lelaki, Perempuan Yang Bergelar Suami, Isteri, Jangan Terlampau Mesra Di Pejabat
Tanpa disedari, sikap terlalu mesra dan kerap berkomunikasi boleh menimbulkan bibit-bibit perasaan yang tidak sepatutnya. Ia mungkin bermula dengan sekadar gurauan, berbual kosong, atau berkongsi cerita peribadi, tetapi lama-kelamaan, ia boleh bertukar menjadi perasaan yang lebih mendalam.
Permulaan Yang Tidak Disedari
Pada awalnya, mungkin sekadar menghantar mesej bertanya kerja. Lama-lama, mesej itu bertukar menjadi perbualan tentang kehidupan peribadi. “Awak nampak stress hari ni, kenapa?” atau “Saya faham perasaan awak, saya pun pernah lalui perkara yang sama.” Dari situ, timbul rasa selesa dan keterbukaan yang akhirnya membentuk satu ikatan emosi.
Lebih bahaya jika perbualan itu berterusan di luar waktu kerja—mesej sebelum tidur, ucapan selamat pagi, atau berkongsi masalah rumah tangga masing-masing. Ini adalah petanda awal yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam hubungan yang tidak sepatutnya.
Kenapa Ia Berbahaya?
Merosakkan Kepercayaan Pasangan
Tanpa sedar, hubungan yang terlalu rapat dengan rakan sekerja boleh mengganggu keharmonian rumah tangga. Bayangkan jika pasangan mengetahui bahawa kita lebih selesa berkongsi masalah dengan orang lain berbanding dengan mereka.
Mengundang Perasaan Yang Tidak Sepatutnya
Rasa selesa dan perhatian yang diberikan boleh menimbulkan perasaan sayang. Apabila seseorang merasakan ada individu lain yang lebih memahami daripada pasangannya sendiri, ini boleh membawa kepada kecurangan emosi yang akhirnya berpotensi menjadi kecurangan fizikal.
Menjejaskan Fokus Dan Prestasi Kerja
Hubungan yang terlalu rapat ini juga boleh mengganggu fokus kerja. Apabila emosi mula terlibat, kerja boleh menjadi alasan untuk terus berhubung. Kesannya, seseorang mungkin lebih teruja untuk ke pejabat bukan kerana kerja, tetapi kerana ingin bertemu dengan individu tertentu.
Bagaimana Menjaga Batasan?
✅ Profesional Di Tempat Kerja
Bercakap hanya mengenai urusan kerja dan elakkan perbualan peribadi yang terlalu mendalam.
✅ Jangan Berkongsi Masalah Rumah Tangga
Pasangan kita adalah tempat terbaik untuk berkongsi hal rumah tangga. Jangan sesekali menjadikan rakan sekerja tempat meluahkan perasaan.
✅ Elakkan Interaksi Berlebihan Di Luar Waktu Kerja
Jika tiada urusan penting, tidak perlu menghantar mesej atau berhubung selepas waktu pejabat.
✅ Hormati Pasangan Masing-Masing
Sentiasa ingat bahawa setiap orang sudah mempunyai pasangan sendiri. Hormatilah perasaan pasangan masing-masing.
Menjaga batasan antara suami orang dan isteri orang di pejabat bukan bermakna kita tidak boleh berkawan atau bekerjasama, tetapi ia adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Perasaan boleh hadir tanpa diduga, tetapi kita yang mengawalnya.
Jika kita sayangkan rumah tangga sendiri, pastikan interaksi kita dengan rakan sekerja tidak melampaui batas. Jangan sampai kerana kelalaian kita, ada hati yang terluka, ada keluarga yang musnah.
Jaga hubungan, jaga perasaan, dan yang paling penting, jaga amanah perkahwinan.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam keadaan sekarang ini, sangat penting untuk kita rancang kewangan sebaik mungkin. Jangan fikir dapat gaji bulan ini terus dihabiskan dengan membeli macam-macam. Lebih-lebih lagi bila baru bekerja dan nak merasa duit gaji.
Sekurang-kurangnya, masa awal-awal inilah kita perlu rancang kewangan dengan sebaik mungkin. Tak perlu rasa nak berjoli sana sini sehingga duit habis tidak tahu ke mana pergi.
Malah, sebagai mak ayah tentu sekali ingin melihat anak-anaknya berjaya dan peroleh kerjaya yang hebat-hebat. Duit gaji digunakan sebaiknya untuk masa depan. Memang mak ayah tidak minta duit tersebut tapi sebolehnya ingin melihat anaknya rancang kewangan sebaik mungkin.
Buat anak-anak yang baru menempuh alam pekerjaan, cuba hayati apa yang dikatakan oleh seorang ibu terutamanya dalam rancang kewangan. Moga ia memberi manfaat.
Sudah menjadi sifat semula jadi seorang ibu atau ayah yang mahukan anak-anaknya lebih berjaya dari mereka.
Sebagai seorang manusia biasa, Akak banyak melakukan kesilapan di waktu muda. Jadi, kalau boleh, akak tidak mahu anak-anak melakukan kesilapan yang sama terutama sekali dalam merancang kewangan.
Semasa anak baru mula bekerja, inilah antara pesanan kami untuknya.
1. Sesibuk mana pun kita, solat fardhu 5 waktu wajib ditunaikan. 2. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, amanah, jujur dan ikhlas. InsyaAllah rezeki akan lebih berkat. 3. Senaraikan apa yang hendak dicapai dalam masa 6 bulan, 1 tahun, 3 tahun dan seterusnya. 4. Buat simpanan sekurang-kurangnya 50% dari gaji. Kalau nak simpan lebih dari tu lagi bagus. 5. Pastikan bina simpanan untuk 6 bulan perbelanjaan secepat mungkin. Selebihnya nanti, boleh digunakan untuk membuat pelaburan.
6. Bayar zakat. Mula-mula zakat pendapatan. Bila dah ada simpanan, jangan lupa bayar zakat simpanan.
7. Berbelanja secara berhemah. Beli barang yang kita perlu sahaja dan bukan yang kita mahu. (Determine NEEDS vs WANTS) 8. Berjimat cermat adalah amalan yang sangat baik. Sewaktu berjimat, pastikan jangan sampai mengambil hak orang lain. Jauhi sama sekali dari sifat kedekut. Sekali sekala belanja keluarga dan kawan tidak akan menjadikan kita miskin. 9. Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Makan sekadar perlu. Nak makan sedap boleh masak sendiri dan bawa bekal ke pejabat. 10. Tak perlu layan kopi dan kafe hipster atau air viral. Kalau kawan ajak keluar minum, pergi ke kedai yang menawarkan harga berpatutan. Di situ juga ada air dan makanan yang sedap-sedap. 11. Sedekah itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Seeloknya setiap hari selepas solat Subuh. Dan pada setiap hari Jumaat, masukkan sekurang-kurangnya sekeping not merah ke dalam tabung. Kalau nak masuk lebih, lagi bagus.
12. Bila dapat gaji, jangan lupa beri duit pada Abi dan Ummi walaupun kami berdua mempunyai pendapatan yang mencukupi. Yang demikian insyaAllah akan dimurahkan lagi rezeki dan dipermudahkan segala urusan kehidupan.
13. Tak perlu nak beli kereta baru. Kereta yang ada tu jaga baik-baik dan masih boleh digunakan untuk beberapa tahun lagi. 14. Beli rumah dahulu sebelum beli kereta. Bila dah mampu beli kereta nanti, pastikan bayaran ansuran bulanan datang dari pendapatan sampingan dan ansuran tersebut tidak melebihi 15% dari jumlah gaji. Kerana beli kereta bukan setakat mampu bayar ansuran bulanan. Tol, minyak, penyelenggaraan, insuran dan cukai juga harus diambil kira. 15. Di usia muda ini, manfaatkan tenaga yang ada untuk melakukan perkara-perkara baik. Dan di waktu senggang hujung minggu, cari peluang untuk memperolehi pendapatan tambahan. Pendapatan ini akan mempercepatkan kita untuk memenuhi impian hidup. 16. Berkawan biar ramai, bermusuh jangan ada sorang pun. Kalau ada kawan yang nak pinjam duit, beri setakat apa yang kita mampu sahaja. Dan sekiranya hutang itu tidak dibayar, kita tidak perlu bermasam muka dan tak putus tali persahabatan. 17. Jaga rumah/bilik sewa sebagaimana kita menjaga harta sendiri.
Moga Allah sentiasa pelihara dan lindungi anak-anak kita semua yang jauh dari mata.
Aaminn Allahumma Aaminn.
– coretankakN
Mingguan Wanita : Moga ia menjadi rujukan buat anak-anak.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Saya seorang wanita yang berusia 33 tahun, belum berkahwin. Saya buntu kerana dilamar sahabat karib sendiri untuk jadi madunya!
Tunang Meninggal Dunia
Saya mempunyai pengalaman pahit dalam hidup apabila tunang yang saya sayangi telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya hanya beberapa bulan sebelum kami melangsungkan perkahwinan. Ketika itu saya berusia 25 tahun. Arwah cinta pertama saya dan kami berhubungan sejak di universiti.
Kehilangannya teramat saya rasai walau pun sudah lapan tahun peristiwa itu terjadi. Hati saya tertutup untuk menerima cinta lelaki lain walau pun ramai yang cuba mendekati. Saya bersyukur, mak, abah, abang dan kakak-kakak (saya anak bongsu empat beradik) amat memahami dan tidak pernah mendesak soal jodoh.
Walau pun masih bujang, tapi saya tak rasa hidup sunyi, saya ada anak-anak saudara yang umpama anak sendiri dan mak abah yang sentiasa di sisi. Kalau ada cuti, sering kali juga saya bawa mak abah bercuti bersama termasuk ke luar negara. Bagi saya, berbakti kepada mereka berdua sudah cukup buat saya bahagia.
Sahabat Sejak Universiti
Puan, saya ada beberapa orang rakan yang saya anggap umpama adik-beradik. Salah seorang, saya kenalkan sebagai M saja. Kami rapat kerana satu kelas ketika di universiti. Dia sudah berkahwin hampir 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Saya juga kenal suaminya yang saya panggil abang K, baik dan warak orangnya. Seorang doktor gigi. Saya agak rapat dengannya yang memanggil saya ‘adik’, nama manja saya dalam keluarga. M pula pensyarah seperti saya.
Sejak kebelakangan ini, M kerap mengusik saya, katanya nak jadikan saya madunya. Boleh juga saya lahirkan zuriat untuk suaminya. Saya hanya ketawa besar kerana tahu M memang jenis yang suka bergurau. Pernah saya tanya, tak takut saya nak rampas suaminya? Jawabnya, dia kenal saya macam mana.
Lagi pun katanya, daripada bermadu dengan wanita yang tak kenal hati budinya, baik dia bermadu dengan sahabat baik sendiri. Saya hanya ketawa dan tak pernah simpan dalam hati.
Serius
Sehinggalah baru-baru ini, M tiba-tiba saja berjumpa saya sebaik saya kembali daripada mengerjakan umrah bersama mak dan abah. Kali ini, bersama abang K. Saya tak syak apa-apa kerana mungkin dia nak menziarahi saya yang baru balik umrah. Ternyata kedatangannya mengejutkan saya bila dia dengan serius ‘merisik’ saya untuk dijadikan isteri suaminya!
Saya tak tahu nak cakap apa, apatah lagi abang K ada bersama. Tapi abang K hanya diam. Kata M kalau saya sudi, dia sendiri akan datang merisik dengan mak dan abah saya secara rasmi. Waktu itu, saya hanya mampu minta M beri saya masa. M pula tak memaksa, dia berikan saya sebanyak mana masa yang saya perlukan.
Tertunggu-tunggu
Sudah sebulan lebih berlalu dan saya masih tak tahu nak cakap apa. Saya sedar tak boleh biar M tertunggu-tunggu. Abang K pernah hubungi saya, katanya dia pun tak bersetuju dengan hasrat M tapi dia ikutkan saja kerana dia sedar M sebenarnya stres kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Puan, terus terang saya tak pernah termimpi untuk bermadu dengan M. Madu itu manis, tapi ‘bermadu’ itu pahit. Apa patut saya lakukan puan? Apa cara terbaik untuk menolak hasrat M?
Ms J, Ipoh.
Jawapan:
Tidak dinafikan penyeri dalam sebuah perkahwinan adalah kehadiran cahaya mata untuk pasangan suami isteri. Pada saya M adalah seorang yang hebat dan baik, pun memiliki suami yang baik. Seorang isteri yang baik dan memiliki suami yang baik akan cuba membahagiakan suaminya.
Bukan mudah untuk menerima wanita lain untuk dijadikan isteri kepada suaminya yang merupakan madunya. Mungkin satu dalam sejuta. Kebaikan yang ada pada dirinya iaitu mahu membahagiakan suami membolehkan M membuat pengorbanan yang amat jarang boleh dilakukan oleh kebanyakan wanita.
Meskipun mustahil kepada wanita lain untuk mengizinkan suami berkahwin lagi, tetapi M mencari wanita untuk suaminya. Dan dia yakin saudari adalah calon yang sesuai untuk suaminya.
Persepsi
Poligami masih belum menjadi budaya di Malaysia. Malah persepsi terhadap orang yang berkahwin lebih daripada satu kadang-kadang dipandang sinis oleh masyarakat. Kalau budaya di negara seperti Nigeria, kahwin lebih daripada satu adalah lumrah. Ada yang memenuhi kuota, iaitu empat, malah tinggal serumah. Anak-anak seperti adik beradik dan layanan ibu-ibu sama sahaja. Itu yang pernah saya dengar daripada seorang berbangsa Nigeria.
Untuk isteri pertama menerima madu bukan suatu yang senang. Dia mengizinkan, namun hatinya Allah sahaja yang mengetahui. Namun perasaan sedih dan kecewa akan hilang sedikit demi sedikit jika hatinya baik.
Masa Depan
Saudari, dalam hidup ini kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Perkahwinan bukannya statik, kerana manusia boleh berubah, perasaan juga boleh berubah, malah karakter seseorang juga boleh berubah.
Untuk memberi pandangan bagaimana untuk menolak juga sukar kerana hajat seseorang mungkin besar buatnya. Mana tahu jika ditakdirkan saudari berkahwin dengan suaminya akan menjadikan M lebih bahagia? Mungkin saudari boleh memberi beberapa pertimbangan dan jalan penyelesaian.
Pertama, tanya pandangan keluarga, bagaimana pandangan mereka? Kedua, untuk menolak hasratnya perlu bersebab. Maka dalam hal ini saudari perlu mencari jodoh. Mungkin juga saudari boleh minta keluarga yang carikan atau kawan yang carikan selain daripada suaminya.
Mohon Petunjuk
Ketiga, jika benar sahabat saudari mahukan anak, maka carikan anak angkat untuk M. Berapa ramai pasangan yang tiada anak tetapi mengambil anak angkat buat penyeri hidup.
Akhir sekali buatlah solat hajat dan istikharah mohon petunjuk dari Allah. Beri masa pada diri dan sahabat. Jika saudari menolak hasrat M bersesuaian dengan masa dan M pula bersetuju untuk mengambil anak angkat dan saudari pula telah ada jodoh, maka keadaan ini akan lebih harmoni.
Jika sebaliknya, ditakdirkan saudari jadi madunya, maka berserahlah kepada ketentuan Allah. Moga saudari dan M beroleh kebahagiaan dengan apa jua perancangan yang dibuat. Mohonlah petunjuk dan kekuatan daripada Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor, yang juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!