Mulanya ibu ini tak dapat terima apabila anaknya yang seorang ini tak cemerlang akademik. Lagi-lagi, beliau dan suami, masing-masing bergelar pendidik.
Resah hati ibu makin berganda-ganda apabila anak yang semakin membesar memilih ke sekolah vokasional. Bagaimana nanti masa depan anaknya? Selepas melalui satu peristiwa, Allah membuka ruang hati ibu ayah ini untuk melihat kebesaranNya.
Inilah pengalaman yang dikongsikan ibu bernama Ezatul Marinitentang anaknya yang bernama Syamil. Sayu di hujung cerita buat kita lebih sedar setiap anak itu Allah ciptakan dengan anugerah istimewa dalam diri mereka.
Allah Lebih Tahu
“Ishhh, takkan macam itu je keputusannya? Kata anak pensyarah, anak cikgu.”
“Hai takkan mak ajar English, ayah ajar Matematik, anak tak boleh score dua subjek ni?”
Biasa. Dah terlampau selalu dan biasa kami dihenyak dengan terjahan sebegitu. Bukan sekali dua juga kami disindir perli dek kerana tidak direzekikan anak yang cemerlang akademik.
Syamil, sebaik pandai bertutur sudah saya sediakan dengan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Tidak lupa juga asas ilmu agama yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk diajarkan kepada anak-anak.
Namun, segalanya seolah tidak menurut perancangan asal kami. Syamil tidak berkembang menjadi anak yang bijak, pencapaian akademiknya hanya sederhana.
Beliau selalu diletakkan di kelas kedua hujung kalaupun tidak di kelas paling belakang. Saya tidak dapat membayangkan apa perasaan Abahnya bila terpaksa menelan perasaan terkilan kala menerima keputusan UPSR yang diumumkan.
Biarpun tidak berkata apa-apa, dari riak wajahnya saya pasti sang Abah menyimpan rasa kecewa namun berjaya disorokkan dengan terus-terusan memberi semangat dan dorongan kepada si anak.
Berbeza sekali dengan saya yang menangis hiba hingga tidak mampu memandang wajah anak dek rasa sedih dan terkilan. Bertubi-tubi saya mengasak anak yang tentu sekali juga sedang sedih dengan pertanyaan dan kecaman yang bila difikirkan semula tidak sepatutnya saya hamburkan sama sekali kepadanya.
Ads
Tamparan, ‘Kepandaian Itu Bukan Boleh Diwariskan’
“Rupanya untuk reda itu tidak mudah sama sekali. Meminta orang untuk reda dan sabar itu sangat mudah tetapi bila ia terjadi kepada diri sendiri…nyata sebaliknya”
Seorang rakan baik memujuk saya yang akhirnya sudah mula mampu menerima tamparan pertama cabaran “kepandaian itu bukan boleh diwariskan”.
Melepasi pendidikan menengah rendah, Syamil masih menunjukkan prestasi yang sederhana. Namun, anak ini ada kelebihan dalam bidang sukan, kepimpinan dan beliau menyerlah dalam aktiviti kokurikulum hingga mampu mewakili sekolah dan daerah.
Anak ini juga punya daya tarikan paling istimewa…beliau tertib dan beradab.
Kejamnya saya sebagai ibu, saya masih belum mampu mengiktiraf kebolehannya yang bukan berasaskan pencapaian akademik. Jarang saya menunjukkan sokongan pada sebarang pencapaian bukan akademiknya.
Pengumuman keputusan peperiksaan PT3 seolah menjadi tamparan kedua kepada kami. Harapan saya untuk menghantar Syamil ke sekolah yang lebih berprestij nyata buntu. Apalah ikhtiar saya untuk memberikan sokongan dan dorongan pada anak ini.
“Syamil nak minta masuk Kolej Vokasional, Abah”.
Abahnya sedikit tidak membantah malah dengan senang hati mengaturkan temujanji untuk berbincang dengan kaunselor sekolah si anak.
Ads
Kami maklum, Syamil sangat meminati bidang perikanan…dari kecil, apa sahaja yang ada kaitan dengan bidang itu amat disukainya.
Saya hanya menurut apabila beliau nyatakan keinginan memohon bidang Akuakultur di KV biarpun kurang pasti apakah prospek dan potensi bidang tersebut.
“KV? Ada masa depan ke tu kalau masuk ke situ?” Saya seolah hendak jeritkan pada mereka yang masih bertanya, sekiranya kami sebagai ibu bapa sedang mencuba sedaya upaya menyetujui dan menyokong, tidakkah mereka mampu untuk membantu kami dengan menunjukkan sokongan yang sama?
Edar Tempahan Ikan Keli Kepada Pelanggan
Hari ini, Syamil sudah di semester akhir Pengajian Diploma Akuakultur. Semasa cuti semester Disember 2017, beliau nyatakan hajat pada Abahnya.
“Abah boleh tak modalkan Syamil untuk beli tangki dan benih ikan keli? Syamil nak mula ternak ikan keli di rumah, besar nanti boleh jual”
Melihatkan semangatnya, kami bersetuju sumbangkan sedikit dana untuk beliau mulakan usaha kecilnya.
“Wah! Bagus Syamil, banyak ni ikannya. Kalau macam ni habis belajar nanti bolehlah mula ternak komersial” seronok benar dia bila Atok Baiknya memberi komen spontan semasa melawat kami pada penghujung Disember lalu.
Ads
Dan Alhamdulillah, pada petang 15 Ramadan lalu, dalam hujan lebat, Abahnya dan saya bantu mengedarkan tempahan ikan keli siap siang dan cuci hasil ternakan kecil-kecilan anak kami kepada rakan-rakan yang telah membuat pesanan.
Dengan ilmu dan kemahiran yang dikutipnya selama di kolej, dia mulakan usaha awal di rumah. Sesungguhnya di penghujung petang separuh Ramadan itu, sambil menantikan waktu berbuka, saya termenung panjang mengenangkan selama 2 tahun pengajian sijil dan lebih setahun pengajian diplomanya, saat ini memberikan saya rasa yang amat berlainan.
Hari ini Allah berikan saya peluang mengutip pengajaran dari setiap satu bentuk ujian yang telah dikirimkan melalui pengalaman anak kami.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
Terima Kasih Allah Atas Kurniaan Ini
Pada suatu masa dahulu saya pernah merasa teramat kecewa kerana anak yang seorang ini nyata tidak mampu untuk memenuhi apa sahaja impian dan perancangan saya mengenai dirinya, dan akhirnya saya terpaksa menerima untuk menitipkan beliau di ladang ilmu dan kemahiran yang tidak pernah tersenarai dalam institusi pilihan.
Anak ini juga mengajarkan saya tentang hakikat anak yang baik bukan diukur hanya pada kecerdasan minda. Pelik kan? Sebagai seorang guru seharusnya saya maklum tentang perkara itu. Ya, saya amat maklum namun jauh di sudut hati pada suatu masa dahulu masih tersemat ilusi tidak realistik tentang hakikat itu.
Hari ini saya melihat betapa bangga seorang Abah tatkala menghulurkan bungkusan ikan keli yang dipesan pembeli.
“Wahhh bagus Syamil, belum habis belajar tapi dah praktikkan apa yang dia belajar. Muda lagi dah ada minda usahawan”
Sesungguhnya dari senyum lebar sang Abah, saya pasti beliau amat berbangga. Terima kasih Allah, kurniakan kami pengajaran bermakna melalui anak ini.
Terima kasih anak, memberi Abah dan Ummi pengalaman belajar banyak ilmu hidup yang tidak dituliskan dalam mana-mana buku. Alhamdulillah…
Kalau dikaitkan dengan emas, dah tentulah hati isteri atau wanita akan berbunga-bunga. Tapi lagi seronok bila suami beli dan hadiahkan pada isteri.
Dalam keadaan sekarang ini dengan ekonomi tak menentu dan harga barang yang makin naik, tentu sekali memerlukan wang yang mencukupi. Namun, apakan daya kita tak tahu apa yang akan berlaku ke hadapan.
Kalau fikirkan tentang duit, memang tak pernah nak cukup. Ada saja keperluan yang tak cukup untuk tampung kehidupan sehari-hari. Namun, bagi suami yang ada rezeki lebih, sekali sekala gunalah duit lebih untuk belikan isteri emas.
Belikan isteri emas itu pun dah dikira aset. Jangan fikir aset hanya rumah atau tanah yang mana bila dijual akan dapat keuntungan yang besar. Sedangkan emas pun pelaburan yang besar.
Jangan ingat, isteri tak suka pakai tak bermakna tak perlu beli. Kadang-kadang, beli emas inilah boleh isteri gunakan untuk bantu suami waktu terdesak. Cara inilah yang isteri dapat membantu suami.
Seperti perkongsian daripada Muhd Farid ini ada benarnya.
Untuk para suami, jika ada rezeki lebih, boleh belikan isteri aset untuk mereka sendiri.
Bukan apa, bila di kala kita terdesak, kadang-kadang aset isteri inilah yang akan banyak membantu kita nanti.
Aset tak semestinya dalam bentuk tanah, rumah. Boleh juga belikan isteri barang kemas. Isteri pun happy dapat memakai.
Pengalaman saya, ketika PKP, masa ekonomi baru nak mula pulih. Ramai para suami datang menjual emas si isteri, untuk survive semula.
Tapi nanti akhirnya, mereka akan datang untuk belikan semula yang baru untuk isteri mereka.
Tak semestinya emas isteri itu perlu di jual, boleh juga di pajak gadai di Arrahnu untuk dapatkan wang yang boleh digunakan untuk survive.
Sebabnya emas ini jenis mudah cair berbanding hartanah. Dari meminjam kawan-kawan, adik beradik lain, meminta-minta sumbangan, adalah lebih baik bersiap sedia dari sekarang.
Adakah hartanah tak bagus? Bukan tak bagus tapi tak sesuai dengan situasi jika ingin memerlukan wang segera.
Dan adakah ini bermakna emas lebih sesuai dengan semua situasi? Pun tak juga. Kalau beli emas ketika harga mahal,
Kalau harga tengah rendah, pajak sahaja emas itu. Ianya tak sesuai untuk di jual sebab akan merugikan. Sebab itu saya sarankan beli dan pegang emas fizikal, selain goldbar, barang kemas juga boleh menjadi pilihan selain dapat mengembirakan hati si isteri.
Tapi, sebelum nak beli hartanah, emas @ melabur dalam apa-apa instrumen sekali pun, pastikan kenalah ada cash reserve/simpanan kecemasan. Terdesak nak pakai duit, time inilah baru pakai. Tak cukup baru cairkan emas/hartanah/pelaburan lain.
Bukannya suruh habiskan semua saving pergi beli emas dan hartanah @ melabur di tempat-tempat lain.
Apa pun susun atur kewangan keluarga dengan bijaksana sebelum mula melabur di mana-mana..
Ingat, kita ni lelaki, pemimpin ketua keluarga.
Mingguan Wanita : Betul sangat, Tak rugi pun beli, pusing sana sini, isteri jugalah yang banyak membantu.
Ini dilema mak ayah bila bawa anak ke klinik gigi untuk rawatan gigi anak-anak. Mana-mana mak ayah pun akan hadapi hal yang sama bila sebut rawatan gigi anaknya ‘Atasi ketakutan anak untuk rawatan gigi’.
Inilah yang dikongsikan oleh Dr. Ahmad Firdaus Mohd Haris, bapa yang juga seorang Medical Office di Hospital Ipoh ketika membawa anaknya yang bernama Daniel untuk rawatan gigi di klinik pergigian.
Bagi mengatasi kebimbangan mak ayah dengan rawatan gigi anak. Beliau berkongsi 5 tip yang boleh buat anak ‘behave’ dari mula masuk klinik sampailah selesai rawatan atas ‘kerusi’ yang anak kecil takutkan itu.
Mak Ayah Kata-kata Ini Jangan Sebut
“Nanti misi/doktor/dressar cucuk adik dekat klinik!”
“Kalau nakal, doktor tu cucuk adik!”
Kanak-kanak sering dimomok dengan ugutan begini. Kalau satu hari tak dengar momokan begini di klinik, memang tak sah.
Rasanya jika anak – anak dimomok begini, mahu ke dia duduk diam apabila dalam bilik rawatan? Doktor tak sempat buka mulut pun tak teriak. Baru nak capai stethoscope, dah melompat. Ada yang sampai meludah – ludah.
Mari saya bagi tips bagaimana nak KAWAL ANAK KETIKA DI KLINIK.
5 Tip Kawal Anak Duduk Diam Dalam Klinik Gigi
1. Kata – kata Semangat Inilah Yang Kadang Mak Ayah Lupa Sebut
Terangkan elok-elok kepada anak sebab apa ke klinik. Berikan kata-kata bunga sikit.
Jangan anggap pemikiran anak-anak ini tidak cukup matang untuk fahami apa yang kita sampaikan. You will be surprised.
2. Bawa Alat Mainan Bukan Gajet
Alat mainan tau. Kalau boleh, elakkan sebarang gadget (tablet, telefon pintar dsb.). Yang terbaik adalah buku aktiviti seperti mewarna dan melukis. Berikan anak sesuatu aktiviti yang boleh menghilangkan rasa takut.
3. Masa Menunggu Buat Ini
Sambil duduk menunggu giliran, tunjukkan anak – anak poster poster yang berada di bilik menunggu. Kan biasanya akan ada gambar anatomi badan di klinik.
Tunjuk sikit sikit tentang badan kita. Tak tau sepenuhnya pun tak mengapa. Basic basic je. Cakap lah dengan anak-anak.
“Gigi Daniel bentuk macam ni.”
“Haaa…ni jantung dekat sini. Cuba Daniel tengok.”
4. Penting Kena Tahu Masuk Ke Bilik Rawatan
Dahulukan anak ketika masuk ke bilik rawatan. Biar dia di hadapan. Jika nampak anak mula gementar, bertentang mata dengannya (eye level) dan terangkan lagi apa yang akan berlaku.
Duduk berhampiran anak, tetapi biarkan dia ‘take the lead’. Galakkan anak menjawab segala soalan doktor dengan sendiri.
5. Bab Ganjaran (Reward) Jangan Sesekali Tipu Anak
Kalau dah janji nak berikan hadiah atau belanja ais krim setelah mereka ‘behave’ di klinik, jangan lupa untuk tunaikan.
Tunjukkan kepada anak, setiap kelakuan yang baik akan ada ganjarannya. Masa ni, boleh masukkan sekali konsep pahala dan dosa untuk pemahaman anak-anak.
Macam mana? Boleh buat?
Mulakan sikit – sikit.
Ingat, jangan momokkan anak – anak dengan mitos ‘doktor jahat’. Sama juga dengan polis dan askar. Jangan takutkan mereka kepada Abang Polis. Cakap elok – elok, Abang Polis ni baik sebab membantu menjamin keselamatan masyarakat.
Hati mudah tersentuh, perasaan dibuai-buai emosi bermain di fikiran apabila bercerita tentang ibu. Apa tidaknya, sejak daripada dalam kandungan ibu, dia akan bercakap-cakap, membelai dan menyusap lembut perut, biar pun tidak tahu jantina bayi yang akan keluar nanti. Perasaan berdebar dan tidak sabar untuk melihat bayi yang dikandung selama ini.
Malah lagu yang selalu didendangkan dalam salah satu iklan susu, “ibu ibu engkaulah ratu hatiku, bila aku bersedih engkau hiburkan selalu …” menjadi siulan ramai di antara kita.
Apabila menyentuh soal ibu, apakah yang ada dalam fikiran masing-masing? Ramai yang akan kaitkan ibu dengan pengorbanan, kasih sayang, kemanjaan, tolak ansur, penyelamat dan banyak lagi kebaikan yang boleh dizahirkan apabila bercerita tentang ibu, seorang wanita. Ikuti pesanan dan nasihat yang dikongsi oleh Mohd Shariman bin Che Deris
Seribu Satu Kisah
Bayangan kisah silam akan segera menyentuh hati apabila mengimbau setiap kisah dengan ibu. Tentu masih ramai yang ingat dengan pesan ibu setiap kali mahu melangkah ke sekolah, pelukan mesra ibu di saat anaknya kesedihan, hangatnya ciuman ibu, bual bicara memujuk ibu, ketegasan ibu setiap kali apabila anaknya terpesong perbuatan, kata-kata nasihat, semangat dan motivasi mengalahkan para motivator ternama, sentuhan kasih sayang seorang ibu malah setiap satu kenangan ini melambai-lambai rasa cinta dan kasih sayang buat seorang ibu. Sesiapa saja bisa menangis tersedu sedan, ketawa terbahak-bahak gembira, terharu menyentuh rasa, sebak menguasai hati, bercampur baur perasaan apabila mengenangkan kisah seorang ibu.
Benar, seribu satu kisah baik seorang ibu mampu dihuraikan laman demi laman namun tetap ada kisah tersisih wujudnya ibu yang lupa akan tanggungjawabnya, ibu yang bersikap zalim dan mengabaikan anaknya, ibu yang terpesong tindakan sehingga sanggup membuang anaknya. Iye ianya tetap ada namun berapa lah sangat jika mahu dibandingkan dengan kisah indah seorang ibu yang banyaknya bermain di bibir.
Layanan Seorang Ibu
Namun persoalan yang lebih utama adalah bagaimana layanan yang diterima seorang ibu terhadap anaknya? Layakkah ibu ini menerima tahap layanan yang biasa-biasa ini? Apakah segala jasa, kasih sayang, pengorbanan dan kesetiaan seorang ibu ini benar-benar dirasai oleh anak? Benarkah lebih banyak kisah ibu yang dibiarkan sendirian berbanding kisah anak yang diabaikan? Fahami bahawa ibu ini adalah seorang wanita, dalam erti kata mudahnya bagaimana layanan seorang lelaki terhadap wanita yang bergelar isteri dan anaknya? Mereka adalah juga ibu dan bakal ibu.
Apakah mungkin wanita ini akan mampu membelai anaknya dengan jiwa seorang ibu seandainya wanita ini hidup dalam seksaan, dizalimi dan diabaikan oleh suaminya? Apakah boleh seorang anak merasai kasih sayang seorang ibu, dalam keadaan ibu ini terseksa mental, fizikal, dan emosi mereka? Ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian khusus.
Tanyalah Diri
Hakikatnya, masih ramai yang keliru atau buat-buat keliru dalam soal tanggungjawab menjaga ibu ini. Benar, bibir berkata kami sayangkan ibu kami namun tindakan tidak mengambarkan begitu. Tepuk dada tanya iman.
Lima soalan ini perlu ditanya kepada diri sendiri.
Di mana ibu sekarang? Di rumah siapa?
Bilakah kali terakhir ibu ini dihubungi, dijenguk?
Apakah khidmat yang dibuat untuk ibu dalam masa terdekat ini?
Bilakah kali terakhir ucapan sayang, pohon kemaafan atau tangan ibu dicium?
Bibir manis tidak menjanjikan keindahan buat seorang ibu, apa yang lebih penting kehadiran dan kebersamaan anaknya.
“Kau kan anak perempuan, kau lebih faham macam mana nak jaga ibu ni, dan kau lebih rapat dengan ibu, jadi jaga je la”
“Abang tak dapat nak jaga mak bulan ni, sibuk sangat dengan kerja. Giliran ni kau pakat-pakat la adik beradik jaga”
Bagaimana perasaan si ibu jika mendengar perbualan rancak anak-anak yang sedang mempertikaikan siapa yang patut jaga, soal giliran dan soal kesibukan masing-masing. Menangis jiwanya, meraung hatinya, luka yang tidak mungkin akan hilang.
Firman Allah swt dalam surah Al-Isra ayat 23 yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Ambil Perhatian
Berhenti daripada mempertikaikan soal giliran dan mula ambil tanggungjawab dengan ikhlas dan berpasakkan kasih sayang buat ibu. Beri perhatian kepada perkara ini:
Persefahaman bersama dalam kalangan adik beradik dalam soal penjagaan
Kesediaan untuk menjaga ibu dengan menyediakan keperluan dan kemudahan yang sesuai.
Sabar dan bertenang dengan karenah ibu yang mungkin akan menyakitkan hati dan menyulitkan keadaan, ia tidaklah seberapa berbanding ketika ibu menjaga kita dahulu.
Kesihatan ibu perlu diberikan perhatian serius, dan bersedia dengan kemungkinan kesihatannya merosot dan perlukan penjagaan lebih teliti.
Berikan perhatian soal penjagaan emosi ibu, jaga perkataan dan tingkahlaku agar tidak disalah faham oleh ibu, tentu saja dalam usia ibu, segalanya sensitif dan mudah di salah tanggap.
Keperluan sosial ibu untuk bergaul dengan rakan sebaya, berjalan-jalan dan menikmati suasana percutian perlu diambil perhatian.
Berikan semangat dan dorongan buat ibu, agar dia akan sentiasa rasa dirinya dihargai dan diperlukan oleh anak-anaknya.
Hari ibu akan lebih bermakna sekiranya ibu ini merasai kasih sayang anaknya, rasa diperlukan, dihargai dan dia melihat pengorbanan anaknya untuk menjaga dirinya sebagaimana ibu ini telah melepaskan banyak perkara hanya untuk menjaga dan membesarkan anak-anaknya dengan kasih sayang.
Kasih sayang seorang ibu tidak terbanding. Bagaimana pula dengan kasih sayang seorang anak buat ibunya? Selamat Hari Ibu buat mama dan seluruh wanita permata hati yang bergelar ibu. Anda adalah Ibu, Hero di Hati kami anak-anak!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!