Anak Sulung Meragam Bila Tahu Nak Dapat Adik Baru, 5 Tip Mak Kena Cuba Untuk Redakan Keresahannya

Share

Nak dapat adik baru mungkin satu ketakseronokan pada sesetengah anak sulung. Lagi-lagi sebelum ini, dialah tumpuan mak ayah untuk beberapa tahun lamanya. Bila ada adik, bermakna dia kena mengalah dalam segala perkara. Termasuk kasih sayang maka ayah. Keresahan anak sulung ini jangan dipandang ringan. Sebab jika tak dijaga emosinya boleh beri kesan yang sukar pada hubungan abang dan adik.

Ikuti pandangan daripada Puan Maryam Jamadi, Occupational Therapist/ Terapis Carakerja tentang dapat adik baru.

Dapat Adik Baru, Yay Or Nay?

Selalunya berita bakal dapat anak lagi mesti di sambut dengan perasaan gembira dan tak sabar, lagi-lagi bila dah lama tak menimang cahaya mata. Rindu nak bau dan suara bayi baru lahir. Kalau mak-mak selalunya mesti rasa tak sabar nak shopping baju bayi

Tapi, dalam kegembiraan mak ayah nak menyambut anak baru kadang-kadang tidak disenangi dengan “anak lama”.

CEMBURU antara anak-anak memang normal lagi-lagi apabila anak yang sudah lama mengbongsu, sudah terbiasa dipanggi “adik” dan dah biasa 100% kasih sayang mak ayah, kakak dan abang tertumpu padanya seorang. Apabila tiba-tiba muncul orang baru dalam keluarga semua perhatian dirampas oleh adik baru. Situasi begini memang selalu berlaku walaupun beza umur dengan adik hanya 1 tahun.

Untuk menangani isu macam ini, yang pertama mak ayah perlu kenal luar dalam anak dulu. Kena tahu:

1. Tahap manja.
2. Makanan kegemaran.
3. Minuman kegemaran.
4. Perbuatan yang dia suka bila kita lakukan (peluk, usap rambut, cium pipi).
5. Mainan kegemaran.
6. Rancangan kegemaran.
7. Patung kegemaran.
8. Perbuatan yang paling dibenci.
9. Kenal kawan-kawan.

Sebab kebanyakan kes di atas yang saya terima dan analisa sendiri adalah berpunca daripada mak ayah yang kurang kenal anak sendiri.

Contoh sewaktu penilaian,

Anak suka makan apa? Tak tahu, dia makan je apa-apa.
Anak suka kartun apa? Tak tahulah, biasa tengok youtube.
Kenal tak kawan-kawan dia di sekolah? Tak kenal, nampak macam bercampur dengan semua orang.

Sebenarnya walaupun anak makan semua benda yang orang kata “tolak kayu dengan batu je”, tapi pasti ada 1 makanan yang dia betul-betul suka.

Sama juga macam kawan-kawan dan kartun. Kena perhatikan anak terutamanya reaksi terhadap sesuatu benda.

Biasa kalau lepas balik sekolah mak ayah hanya tanya “Dekat sekolah belajar apa?”, tapi tak tanya “Dekat sekolah seronok tak? Siapa nama kawan?”. Bila kita biasa tanya tentang perihal sekolah tapi tak tanya macam mana perasaan dia, ada masalah ke dengan kawan-kawan dan sebagainya maka hubungan anak dengan mak ayah hanya takat perihal sekolah umpama pekerja dengan bos hanya tanya soal kerja.

Kalau mak ayah tak berapa kenal dan tak jadi kawan anak, maka untuk dia terima dan sesuaikan diri bila ada adik baru jadi lebih susah. Kesannya, dia akan menjauhkan diri dengan kita sebab rasa dirinya tak penting dan mak ayah tak faham perasaan dia.

Dari situ maka timbullah fasa kebergantungan dengan kawan pula, meletakkan sepenuh kepercayaan pada kawan, ikut perlakuan dan percakapan dari kawan, kawan masuk lubang dia pun nak ikut, kawan minta rahsiakan dari mak ayah dia pun ikut dan sebagainya. Bila ada apa-apa masalah, kawan dah jadi tempat mengadu sebab merasakan mak ayah tak sayang dia lagi bila dah ada adik.

Personaliti Dibentuk Ketika Usia 4 Bulan

Sebenarnya dari kita berumur 4 bulan lagi kita dah ada personaliti sendiri. Ada yang jenis pendiam, ada yang jenis potpet, ada yang jenis lasak banyak tenaga, anak yang jenis lembut dan sebagainya. Macam trademark Lazada, “macam-macam ada”.

Sangat sangat sangat sangat penting ya untuk mak ayah kenal anak sendiri, sesibuk mana pun WAJIB kenal anak. Tak kiralah melalui luangkan masa berkualiti atau tanya pengasuh atau guru taska.

Lepas dah kenal betul-betul luar dalam anak dan dah dapat sepenuh kepercayaan anak barulah boleh cuba sikit-sikit bagi “hint” yang dia bakal dapat adik seawal baru tahu mengandung. Boleh cuba tips ini:

5 Tip Mak Kena Cuba

1. Bawa Jumpa Kawan-kawan Yang Ada Anak Lebih Seorang

Kalau umur sebaya lebih bagus, bagi anak bermain-main dengan mereka. Ceritakan pada anak, “Tengok tu X ada adik, seronoknya boleh main sama-sama setiap masa. Abang nak adik tak?”. Kalau anak cakap “tak”, tak apa boleh cuba bawa jumpa lagi. Lama-lama dia akan jadi seronok dan boleh terima.

2. Kena Selalu Bagitahu Anak Yang Dia Bakal Dapat Adik

Untuk yang dah 3 tahun ke atas, boleh cuba bagi tengok video bayi dalam rahim supaya dia tahu dalam rahim mak sekarang ada bayi. Boleh juga ajar anak dengar degupan jantung adiknya. Kalau ke klinik untuk scan 3D/4D ajak anak bersama-sama. Kerapkan usap perut bersama-sama anak dan cakap “abang sayangggg adik”. ?

3. Banyakkan Memeluk Anak Sewaktu Mengandung

Bisik di telinga anak “Mummy sayang abang, adik pun sayang abang”. Tunjukkan kasih sayang dengan memeluk dan belai kepala anak supaya anak rasa disayangi.

4. Gunakan Cerita Sosial

Dengan menggunakan buku cerita tentang hubungan adik beradik. Ulang-ulang baca lama-lama anak akan faham dan tersimpan dalam memori.

5. Gunakan “Modal-modal” Kegemaran Anak

Untuk ambil hatinya sambil beritahu yang kita tahu apa yang dia suka sebab kita sayang. Part ini mak ayah kena pandai-pandai ambil hati.

Tak Ada Anak Yang Dilahirkan Nakal

Kalau anak yang memang jenis melekat dengan mak, walaupun dekat dengan ayah pun cemburu. Persediaan di atas jadi double tripple wajib ya sebelum melahirkan adik baru untuk mengelakkan masalah tingkah laku di masa akan datang.

Ingat ya, tak ada anak yang dilahirkan sejak azali dah nakal dan tak mendengar kata. Kalau agak-agak rasa nak marah anak bila nakal atau degil terutamanya anak bawah 3 tahun, fikir semula dan tanya diri sendiri adakah salah anak yang memang dilahirkan nakal ataupun salah kita dalam mendidik anak?

Cemburu tanda sayang, tapi cemburu juga sebagai tanda ketidakpercayaan dan curiga terhadap kasih sayang mak ayah. Kenal anak dan dapatkan kepercayaan anak barulah mudah untuk anak menerima adik baru. ?

Sumber/Foto: Maryam Jamadi via Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer