Setiap pasangan yang berkahwin tentunya inginkan zuriat sebagai penyambung keturunan. Zuriat yang sihat, sempurna fizikal dan mental. Begitu jugalah pasangan Rohani Md Tahir, 40 tahun dan Nik Mustaffa Siddiq Nik Mohamed, 42 tahun. Langsung tidak terlintas akan menerima anugerah istimewa ini, lebih-lebih lagi ini adalah anak sulungnya.
Walau bagaimanapun, Rohani dan suami tetap bersyukur dengan ketentuan yang Allah berikan ini. Dia dan suami menerima Nik Afiq Muzakkir, 16 tahun dengan seadanya dan terbuka.
Menyingkap tentang awal-awal mengandung, semuanya tidak mengalami sebarang masalah termasuklah membuat imbasan 3D sehinggalah Rohani selamat melahirkan anak secara normal di Hospital Selayang pada 1 April 2003.
“Peliknya, sebaik selamat bersalin, jururawat terus membawa anak saya keluar untuk dimandikan tanpa memberikan kepada saya terlebih dahulu. Dari situlah, saya mula rasa tidak sedap hati.
“Hampir satu jam, barulah doktor datang membawa anak dan memberitahu tentang anak lelaki saya mengalami masalah. Belum sempat doktor memberitahu, saya terus mengambil anak dan membuka lampinnya. Terus terkeluar tangan anak. Dia hulurkan sendiri tanpa sempat doktor memberitahu dan pandangan simpati mata anak tepat ke mata saya,” kata Rohani penuh syahdu mengimbas kembali kenangan itu.
Bayangkan masa itu, perasaan sedih dan pilu bermain-main di fikiran Rohani. Memikirkan bagaimana bila dia besar nanti, macam mana dia makan, menulis dan sebagainya sehingga membuatkan Rohani menangis setiap hari mengenangkan nasib anaknya.
Walau bagaimanapun, Rohani bersyukur kerana suami sentiasa memberi kata-kata semangat untuk dia terima dan reda.
“Kami langsung tidak menyalahkan sastu sama lain, sebaliknya menerima Nik Afiq dengan hati yang terbuka, seadanya dan tahu Allah berikan ini sebagai satu hikmah,” mengingatkan Rohani kata-kata suaminya.
Dalam tempoh membesarkan Nik Afiq, Rohani sentiasa bersamanya. Malah, Rohani bersyukur, kecacatan yang dialami oleh anaknya hanyalah sedikit berbanding dengan ibu bapa laIn yang dikurniakan anak istimewa yang mungkin boleh meruntun hati.
“Walaupun tidak sempurna tetapi dia mempunyai harapan yang sama seperti anak normal yang lain, boleh berjaya, sokongan dan motivasi yang berterusan perlu diberikan.
“Malah, mempunyai anak OKU bukanlah satu perkara yang mudah kerana dia akan sentiasa bertanya tentang keadaan dirinya. Jadi, saya kena perlu bersedia dengan jawapan yang terutamanya apabila dia sudah pandai bercakap.
“Pernah dia bertanya ke mana tangannya? Saya hanya menjawab ada di syurga dan tangan itulah yang akan menarik dia masuk syurga. Selepas itu, barulah dia tidak bertanya lagi,” kata Rohani yang sentiasa memberi semangat kepada Nik Afiq.
Hati seorang ibu, bila sebut tentang keadaan anak, terus hati terusik dan rasa sebak. Begitu juga bila Afiq bergaduh dengan adik-adiknya dan si adik mengatakan tangan dia cacat, Rohani terus menangis.
“Pada masa inilah, ayahnya memainkan peranan dan menjelaskan pada mereka supaya jangan sesekali tak suka atau benci abang. Malah, adiknnya pernah bertanya kenapa tangan abang pendek. Saya hanya beri jawapan, jangan bermain pisau sebab inilah akibatnya. Sejak itu, adiknya tidak bertanya lagi,” kata Roahni yang turut selitkan nasihat dan contoh-contoh supaya anak tidak bertanya untuk kali kedua.
Jelas Rohani lagi, dia dan suami turut mendisiplinkan anaknya sejak dari umur dua tahun lagi. Dia mengambil langkah dengan memberi pendidikan agama seawal umur lima tahun dengan menghantar ke sekolah KAFA di Masjid Wilayah Kuala Lumpur berbanding dengan adik-adiknya ke tadika Cina.
“Begitu juga suami yang sama-sama memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kawan-kawan. Contohnya, sembahyang berjemaah dan dia sendiri menjadi iman,” kata Rohani yang turut mengambil pendekatan secara lembut dalam menasihatkan anak-anak.
Menariknya, dalam usia 16 tahun ini, Nik Afiq boleh diharapkan dalam memasak, membasuh baju dan membuat kerja-kerja rumah.
“Sejak kecil Nik Afiq suka melihat saya dan ayahnya memasak. Sehingga pada usia 10 tahun, dia mampu memasak walaupun telur goreng untuk diberikan kepada adik-adiknya.
“Dari situlah, dia mula belajar memasak hidangan yang ringkas dan turut menjadi kegemaran adik-adiknya adalah masak lemak cili api, nasi goreng kunyit, maggi goreng, ayam popcorn dan sebagainya,” kata Rohani yang turut berkongsi video masakan anaknya di youtube dengan tagline ‘Masak Cara Afiq’ dan wakil paralimpik badminton untuk Selangor OKU.
Walaupun dianugerahkan anak istimewa, Rohani dan suami langsung tidak merasa malu, sebaliknya bangga dengan kurniaan ini. Baginya, Allah anugerahkan anak istimewa ini kepada ibu bapa yang istimewa dan Dia tahu kita mampu memikul tanggungjawab ini.
“Kita adalah ibu bapa yang teristimewa kerana dipilih untuk menjaga amanah yang diberikan. Apa yang penting, kita kena kuatkan pendidikan agama sebaiknya untuk mereka, satukan ahli keluarga dengan kasih sayang dan anak istimewa ini adalah ladang pahala untuk kita,” kata Rohani yang turut mempunyai dua lagi anak perempuan, Nik Afiqah Musfirah, 11 tahun dan Nik Aqilah Muslihah, 9 tahun.