Anak sekolah asrama atau sekolah biasa. Mana satu yang mak ayah inginkan. Mungkin ada sesetengah mak ayah, nak lihat anak depan mata dan tak perlu jauh-jauh pun.
Tapi ada juga mak ayah yang lebih suka anak sekolah asrama dan dapat fokus pada pelajaran. Ada masa untuk belajar dan sekolah asrama penuh mestilah bersama dengan pelajar-pelajar yang pandai-pandai dan hebat.
Namun, jangan cepat menilai anak sekolah asrama dengan sekolah harian mempunyai intelektual yang berbeza. Sebenarnya dua-dua sekolah boleh berjaya, asalkan anak ada motivasi untuk terus berjaya.
Ikuti perkongsian Sri A’jilah tentang sekolah asrama dengan harian. Usha terlalu memaksa anak untuk belajar sekolah asrama. Tengok pada tahap kewibawaan anak itu sendiri.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Hantar Anak Ke Asrama Ajar Hidup Berdikari, RINDU Lalui ‘Perpisahan Sementara’
Rumah Sebaik-Baik ‘Sekolah’, Anak Bawah 12 Tahun Tak Sesuai Tinggal Asrama!
Beberapa bulan lepas, adik bongsu saya yang kini tingkatan 4 di MRSM ada minta nak pindah sekolah menengah harian.
Biasanya orang akan pujuk supaya jangan keluar sekolah sebab bukan senang nak masuk MRSM.
Tapi, keluarga saya tidak.
Nak keluar, boleh. Tapi fikir masak-masak, jangan menyesal di kemudian hari.
Saya pula, lagi ekstrem. Siap tanya
Hala tuju lepas habis sekolah.
Kalau sekolah harian, boleh disiplin ke bangun pagi tanpa mak kejut?
Solat tanpa disuruh?
Kalau sekolah asrama ada prep petang dan malam, kalau duduk rumah dia nak buat apa?
Kalau adik saya jawab, dia nak belajar skil kemahiran contohnya belajar main piano, belajar buat kek atau belajar buat coding. Lepas itu, boleh disiplin seperti di sekolah asrama. Pasti saya cakap,
“Ok, baguslah keluar”.
Tapi kalau waktu cuti balik rumah, tidur lambat, bangun pun mak kena kejut, bilik pun mak yang kemas atau kerja rumah pun tak buat. Masa terluang banyak main game, lebih baik duduk asrama sahaja.
Saya minta adik saya fikir masak-masak. Yang sekolahnya dia, bukan kami. Tiba-tiba adik saya kata tak jadi keluar asrama.
Rupa-rupanya, adik saya stress dengan exam IGCSE risau tak sempat ulang kaji. Yuran mahal, kalau tak dapat cemerlang macam buang masa ambil exam itu. Lebih baik fokus subjek SPM terus.
Mak ayah saya turutkan sahaja kehendak adik saya, sebab dia lebih tahu kemampuannya sendiri.
Saya juga ada 2 orang adik lelaki lain yang Sekolah Rendah Kebangsaan Cina sejak tadika, dengan harapan mereka pandai berbahasa cina.
Ketika seorang adik saya darjah 6, dia beritahu mak ayah nak pindah sekolah kebangsaan biasa. Katanya risau tak dapat 7A UPSR, lagipun kadang-kadang cikgu ajar subjek sains dan matematik dalam bahasa cina. Mungkin susah untuk adik saya faham di dalam kelas. Saya pula memang batu api sikit suka cabar adik saya kalahkan keputusan UPSR saya 4A (je pun).
Mak saya turutkan permintaan adik saya, tapi adik saya kena janji kena belajar sungguh-sungguh. Semangat betul mak saya naik turun PPD nak uruskan sekolah anak-anak. Padahal 6 bulan sahaja lagi UPSR. Daripada nombor corot, terus jadi pelajar terbaik sekolah. Akhirnya, dapat juga 5A UPSR, tingkatan 1 hingga 5 belajar di MRSM.
Pilihan sekolah di MRSM juga adalah pilihan adik saya sendiri.
Cuba bayangkan kalau mak ayah saya tak bertegas tak beri adik saya pindah sekolah. Pasti sampai kesudah adik saya cakap,
“Itulah, dulu Aman nak pindah sekolah biasa tak bagi”
Pendapat saya, sekolah hanyalah sekolah iaitu tempat belajar. Mana-mana pun sama, yang penting individu itu sendiri. Tidak perlu terlalu taksub dengan label sekolah. Terpulang pada anak itu sendiri.
Setiap mak ayah mahukan yang terbaik untuk anaknya, tetapi dalam masa yang sama kita perlu juga mendengar keluhan anak. Ajar juga anak fikir secara rasional kebaikan keburukan sesuatu perkara.
Kena Ada Motivasi
Baru-baru ini viral tentang adik Akmal Hazim, software engineer berumur 17 tahun. Sebelum ini pernah belajar di MRSM Bentong pada Feb 2018 hingga Mac 2019. 1 tahun sahaja belajar di MRSM, mungkin kerana mahu fokus kerjaya beliau juga.
Saya pasti kalau beliau kekal sekolah berasrama, terikat dengan prep pagi dan petang dan larangan bawa telefon bimbit dan komputer, pasti susah untuk beliau capai ke tahap ini.
Sekolah mana-mana pun boleh berjaya, yang penting anak ada “intrinsic motivation” (motivasi dalaman) untuk belajar dalam apa-apa bidang yang dia mahu.
Saya juga ada pengalaman keluar asrama semasa 3 bulan sebelum SPM sebab ada masalah elergi makanan, entahlah waktu itu tiba-tiba elergi makan ayam.
Penyudahnya menyesal keluar asrama sebab susah nak disiplin belajar di rumah. Belajar sekejap, tengok TV, pantang mak ayah keluar mesti saya nak ikut. Sudahnya keputusan SPM saya tak capai target yang saya mahu.
Nasib ada peluang lagi nak tebus kesilapan masa SPM, saya belajar “gila-gila” masa matrik. Alhamdulillah dapat ambil bidang yang saya mahu, terapi cara kerja.
Sebab itu, sekolah berasrama atau sekolah harian memang sangat bergantung kepada anak itu sendiri.
Kalau anak jenis susah nak disiplin diri untuk belajar macam saya, baiklah masuk asrama.
Kalau anak jenis cemerlang walaupun di sekolah harian, boleh disiplin dan dalam masa yang sama ada target lain yang dia mahu capai, contohnya minat buat kek, jahitan, muzik, melukis atau coding macam adik Akmal Hazim. Eloklah ikut kehendak anak.
Lepas itu kena juga lihat kesediaan anak untuk berjauhan dengan keluarga. Kalau tingkatan 1 anak tak bersedia, eloklah tunggu tingkatan 4 nanti baru masuk asrama.
Sekadar pendapat tentang sekolah asrama dan sekolah harian.
Apa pendapat mak ayah lain?
Mingguan Wanita : Bila fikirkan, kalau anak sekolah biasa, balik sekolah dengan gajetnya…takut pelajaran entah ke mana. Tapi kalau sekolah asrama bolehlah lupa gajet-gajet ni, dapat pun time cuti sekolah.
Sumber: Maryam Jamadi
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita