“Anak Saya, Hilal Bijak & Obses Bermain Lego Walaupun Di Diagnosis Disleksia” Noraiha Rais

Share

Tatkala bersua wajah dengan Noraiha Rais, yang juga pemilik Butik Pengantin Demelza yang terletak di Saujana Rawang, penulis berasa sedikit teruja apabila mendengar luahannya mengenai anak bongsu kesayangannya Hilal Hamdhy Bin Hasmili, 11, yang merupakan anak istimewa yang di diagnosis Disleksia.

“Memiliki anak seistimewa sebenarnya benar-benar mengajar saya dan suami erti kesabaran dan ketabahan. Permulaannya kami agak terkejut namun menerima dengan reda, berkat mencari dan menggali apa itu disleksia membuatkan saya menjadi seorang ibu yang sangat-sangat berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik buat Hilal,” ungkap Noraiha yang memahami disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.

Noraiha seorang ibu yang cukup tabah dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya.

Memiliki anak istimewa adalah satu kelebihan buat ibu bapa yang terpilih. Bukan semua yang bertuah mendapat pengiktirafan tersebut. Di sebalik kekurangan yang dipandang daripada mata kasar, namun sebenarnya anak-anak syurga ini cukup istimewa dan ada banyak kelebihan mereka.

Noraiha juga mengakui anaknya itu seperti kanak-kanak lain seusianya. Cuma Hilal agak ketinggalan sedikit dari segi pembelajaran.

“Jika orang tengok dari mata kasar, mereka mungkin tidak menyangka anak saya ini disleksia. Cuma kalau bab pembelajaran dia sedikit ketinggalan berbanding kakak dan abangnya yang lain. Sekarang dia berumur 11tahun dan ada subjek dia boleh dan ada yang tak boleh. Tetapi setakat ini dia belajar di sekolah biasa,” tambah Noraiha lagi.

Pernah Menang Tempat Kedua Program Robotik Lego 

Noraiha juga sangat bangga apabila Hilal pernah memenangi tempat kedua Program Robotik Lego.

“Hilal walaupun dalam pembelajaran agak lambat namun dia sangat bijak terutama dalam bermain lego. Pernah sebelum ini saya masukkan dia dalam satu pertandingan Program Robotik Lego dan dia mendapat tempat kedua. Sehingga kan pihak penganjur kagum dengan kebolehannya.

“Memang dia sangat obses dan struktur lego yang rumit dia dapat selesaikan dengan mudah,” kata Noraiha yang memberitahu mungkin akan memasukkan anak ke sekolah kemahiran sama ada bidang vokasional tetapi bergantung kepada minat anaknya.

Anggap Perkara Biasa Pada Mulanya

Mengakui mula mengetahui anaknya mempunyai masalah sejak tadika lagi, Hilal mempunyai tanda-tanda disleksia namun turun naik dalam pelajaran menyebabkan Noraiha beranggapan itu adalah perkara biasa.

“Waktu sekolah rendah, cikgu ada cakap anak ada masalah bab pembelajaran. Kena sediakan Pendidikan Khas, tetapi memandangkan sekarang dia sudah darjah lima dan agak terlambat. Jadi untuk masuk dalam sekolah khas mungkin kena tunggu sekolah menengah kelak.

Tahap pemahaman dia sepatutnya darjah lima tetapi sekarang ibarat baru darjah tiga. Apa pun sebagai ibu bapa kami terima apa jua pencapaian anak-anak setakat yang termampu.

“Dia boleh membaca tetapi ada subjek yang lemah dan agak terbelakang sedikit. Jadi, saya hantar pada guru tuisyen selain jumpa pakar Psikologi Pendidikan. Tetapi kami tidak mahu beri tekanan jadi tak paksa sangat,” luah Noraiha.

Berhati Mulia & Pemurah 

Anak yang pemurah dan memiliki hati yang cukup murni dan halus.

Ini adalah ujian Allah dan kena banyak bersabar dalam membesarkan anak-anak kerana setiap dari mereka tidak sama. Biarpun memiliki kekurangan dalam akademi, namun Hilal miliki jiwa yang sangat halus dan mulia. Malah dia juga sangat pemurah.

“Saya masih ingat lagi kenangan bulan Mac yang lalu. Di sekolahnya ada buat satu pungutan dana untuk padang sekolah. Kebetulan Hilal ada bawa balik surat pihak sekolah minta sumbangan untuk padang sekolah. Tetapi saya cakap nanti mama tengok surat itu. Maklumlah, saya bekerja dan sibuk.

“Disebabkan dia tidak sabar, terus dipecahkan tabung yang dikumpul sendiri dan bawa semua duit syiling ke sekolah untuk didermakan. Saya tak tahu, rupanya Hilal sanggup pecahkan tabung miliknya dan bawa duit ke sekolah untuk didermakan.

“Disebabkan itu, cikgu rasa terharu dan beri kad jemputan untuk hadir makan malam majlis anugerah. Lebih membuatkan saya terharu, perkara tersebut dapat perhatian pihak sekolah sehingga namanya jadi sebutan Menteri Pendidikan pada ketika itu. Malah, anak saya diajak bergambar bersama waktu itu. Itulah kenangan dan saya fikir anak OKU ada kelebihan yang kita sendiri tak fikirkan yang dia akan buat begitu.

“Sebagai ibu memang saya rasa sangat terharu akan kebaikan yang ada dalam diri anak-anak istimewa. Di sekolah juga anak saya sangat okay, tiada masalah bergaul dengan rakan-rakan. Cuma pemahaman pelajaran Hilal kurang dan akademi agak lemah.

“Saya bersyukur kerana walaupun kekurangan dari segi pembelajaran tetapi dia masih boleh faham. Sebagai ibu saya kadang-kadang takut apabila disleksia, autisme ini pemikiran ke belakang berbanding umur. Tetapi sebenarnya mereka faham cuma kita yang tidak faham mereka.

“Saya dulu ada pusat tuisyen yang diberi nama Akademi Pintas. Jadi, saya akan bawa anak-anak dan juga pelajar lain kerja- kerja sukarelawan ‘streetfeeding’ di Masjid Jamek bersama NGO Unggas. Hilal juga tidak ketinggalan sertai sekali program mulia ini,” ujar Noraiha akhiri perbualan.

Bersama keluarga tersayang yang banyak memberi sokongan kepada Hilal.

 

 

Published by
Norhayati Suboh