Lagi bayi lelaki berusia sembilan bulan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Baling apabila tidak sedarkan diri selepas diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuh di sebuah taska di Taman Mesra, Kupang, Baling.
Mangsa, Muhammad Fawwaz Mohd Fadlan berada di ruang dapur taska terbabit diberi makan buah epal lenyek oleh pengasuh dalam jam 9.15 pagi.
Namun tiba-tiba mangsa menangis dengan kuat kerana ingin mengikut penyelia pengasuh sebelum tiba-tiba dia tidak sedarkan diri.
Menurut laporan daripada Harian Metro, penyelia terbabit kemudian terus membawa mangsa ke Klinik Kupang dan ketika itu masih bernyawa sebelum dirujuk ke Hospital Baling.
Bagaimanapun sebaik tiba di hospital mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan tiada kesan luka atau lebam di badan.
Mayat bayi itu dihantar terus ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
“Saya berada di sekolah ketika kejadian dan pihak taska ada menghubungi, tapi tak sempat menjawab kerana sedang mengajar sehinggalah kawan sekerja memberitahu kejadian itu setelah pihak taska menghubunginya pula.
“Saya difahamkan anak diberikan buah epal yang telah dipotong dan dilumatkan, malah makanan sama disuap kepada anak pengasuh yang seusia anak saya.
“Anak saya belum ada gigi, mungkin ketika mengunyah dia tertelan terus dan pengasuh yang menyangka anak tercekik cuba mengorek kerongkongnya dengan jari, tetapi tiada apa-apa.” Luah Munirah.
Agak sedih namun ibu kepada mangsa, Munirah Abd. Rahman, 38, dan suaminya, Muhammad Fadlan Saidin, 38, menerima takdir tersebut walaupun mengakui masih terkejut dengan kejadian yang menimpa bayinya itu.