Anak Sakit Buah Pinggang, Usia Lima Tahun Dah Dialisis Air 10 Jam Semalam

Share

Anak adalah pertama hati tiap ibu bapa. Kalau boleh, tiap ibu bapa inginkan anak-anak sihat sentiasa namun ada juga anak-anak yang diuji dengan pelbagai penyakit kronik.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak-anak tersayang membesar dengan sihat. Namun, ujian menimpa Norhayani bt. Nayan, 39, dan suami, Ahmad Hafiez bin Garigis, 41, apabila anak keempat mereka, telah didignos penyakit buah pinggang. Kini, pada usia lima tahun, Muhammad Hanif, perlu menjalani Dialisis Peritoneal Automatik (APD).

Anak Yang Aktif

Menurut Norhayani atau mesra dipanggil Yani, penyakit Hanif itu tidak dapat dikesan daripada awal.

“ Hanif atau mesra dipanggil Anip, seorang anak yang lasak dan aktif walau pun sejak kecil dia menghidap asma, tapi terkawal. Cuma, dalam tempoh dua ke tiga bulan sebelum disahkan sakit buah pinggang, dia kerap jatuh sakit.

“ Pada satu hari, dia demam dan saya dan suami bawa dia ke hospital Alor Gajah. Doktor ambil ujian darah dan didapati HB dia rendah iaitu 5. Doktor kemudian pindahkan Anip ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. Di sana, sekali lagi dia menjalani ujian darah dan kali ini keputusannya lebih mengejutkan. Tarikh 28 Disember 2018, Anip disahkan menghidap penyakit buah pinggang.

“ Doktor beritahu kami, kretinen dan ureanya tinggi dan keesokan harinya Anip menjalani ujian ultrasound dan doktor sahkan dia ada masalah buah pinggang. Terdapat cyst di dalam buah pinggang kiri, iaitu polycystic left kidney. Cyst sudah penuh dalam buah pinggang kiri dia tapi buah pinggang kanan masih ok. Memandangkan Hospital Melaka tak ada pakar nefrologi kanak-kanak, doktor cadangkan Anip dihantar ke Hospital Tunku Jaafar, Seremban atau HKL.

” Akhirnya saya memilih Hospital Tunku Jaafar kerana lebih dekat dengan tempat tinggal saya di Melaka,” ujar Yani memulakan bicaranya.

Yani juga mengalami masalah batu di luar buah pinggang namun keadaannya tidak serius. Manakala suami dan anak-anak yang lain sihat. Empat lagi anaknya ialah Nurul Liyana, 14, Hafizul Rahman, 13, Mohammad Afiq Fitri, 7, dan Nordiyana Hani, 3.

Makin Sihat

Dialisis Peritoneal Automatik (APD) ialah mesin dialisis waktu tidur, 10 jam sepanjang malam. Bermula Mei 2019, Anif menjalani rawatan APD. Pertukaran atau kitaran larutan dialisis dilakukan oleh mesin semasa tidur. Sebelum tidur, kateter akan disambungkan kepada mesin APD yang diletakkan berhampiran katil. Setiap malam, suami akan menemani Anip sepanjang rawatan.

Menurut Yani, kesihatan Anip semakin baik selepas menjalani rawatan ini. Yani bersyukur kerana semua kos ditanggung oleh Hospital Tunku Jaafar Seremban. Anip bertuah kerana doktor nefrologi buah pinggang kanak-kanak iaitu Dr. Caroline dan Dr. Lee mencadangkan Anip untuk menggunakan mesin APD.

Mulanya Sukar

Yani mengakui, agak sukar pada mulanya untuk terima keadaan Anip. “ Tak ada ibu bapa yang boleh terima anak mereka menghidap penyakit kronik secara tiba-tiba. Tapi lama-kelamaan saya reda dengan keadaan Anip. Apabila lihat dia di dalam wad berseorangan, luluh hati saya. Hospital bagaikan rumah kedua, anak-anak lain ditinggalkan di rumah kerana saya perlu menjaga Anip di wad. Mujur ada mak dan ayah serta ahli keluarga yang lain yang jaga mereka di rumah.

“ Setelah menjalani rawatan APD, Anip jadi lebih sihat dan aktif serta menjalani hidup seperti biasa. Cuma dia kena elakkan yang berkaitan air, contohnya mandi kolam. Kawasan yang dipasang dengan tiub di perut tak boleh terkena air untuk menggelakkan risiko jangkitan.

Baca artikel lain di sini:

Rupanya Kisah Ibu Ini, Jadi Inspirasi Kakak Derma Buah Pinggang Pada Adik

Kalau Buah Pinggang Rosak, Kulit Putih & Cantik Pun Takde Maknanya!

Emosi Dan Fizikal

Menurut Yani, emosi Anip lebih sensitif sejak dia sakit. Disebabkan dia seorang yang aktif, Yani juga perlu mengawasi Anip supaya adik beradik yg lain tidak tersentuh kawasan perut ketika bermain. Kebersihan tempat rawatan juga perlu dititikberatkan supaya mengurangkan risiko jangkitan.

Selain daripada itu, saya kena memantau ubat-ubatan yang perlu diambil, juga pengambilan jumlah air harian iaitu 700ml. Banyak juga yang Anip perlu pantang terutama makanan bergaram dan yang tinggi fosfat.

“ Say mencari kekuatan dengan melihat orang yang lebih susah daripada saya. Ia telah memotivasikan diri supaya lebih tabah dan kuat supaya dapat membantu Anip lebih sihat serta boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain,” akhiri Yani menutup perbualan.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nurul Azwa