Begitulah besarnya pengorbanan seorang ibu, mana mungkin melepaskan anak yang baru sahaja berusia tujuh tahun seorang diri tanpanya di sisi.
Anak yang positif Covid-19, ibu tunggal ini sanggup ambil risiko temankan anak di hospital sehingga sembuh. Tentu saja seorang ibu lakukan apa sahaja demi anaknya yang tersayang.
Besar pengorbanan seorang ibu yang sanggup bergadai nyawa demi menemani anak tunggalnya menjalani kuarantin di wad selepas disahkan positif Covid-19.
Setiap masa, Nazratul Adawiah Abdullah, 31, berada di sisi Muhammad Zhafril Adam Mohd Zaim, 7, sehingga mereka disahkan sembuh dan dibenarkan pulang.
Menceritakan pengalamannya, Nazratul berkata, dia dan Muhammad Zhafril dimasukkan ke wad Hospital Rembau selama 10 hari bermula 9 Disember lalu.
Menurutnya, anaknya yang sepatut ditahan di wad selepas keputusan ujian calitan kali kedua menunjukkannya positif Covid-19 namun dia nekad menemani anaknya ketika di wad.
Baca Juga Di sini:
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
“Saya menjadi kontak rapat seorang rakan yang positif Covid-19 dan diminta menjalani ujian calitan pertama pada 1 Disember lalu di Klinik Kesihatan Jempol bersama anak dan hasil keputusannya negatif.
“Pada 7 Disember, kami sekali lagi menjalani ujian calitan namun keputusannya mengejutkan kerana saya negatif namun anak positif.
“Ketika itu, saya memang sedih hingga menyalahkan diri dan mempersoalkan kenapa anak bukannya saya yang dijangkiti Covid-19 tetapi jadi sedikit lega apabila pihak hospital membenarkan saya menemani anak selepas membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro bagi mengulas perkongsian hantarannya yang tular di Facebook.
Foto: Koleksi peribadi Nazratul.
Nazratul yang bekerja sebagai kerani akaun berkata, dia bagaimanapun perlu akur dengan syarat ditetapkan KKM bagaimanapun iaitu menjalani semula ujian calitan dengan kiraan awal.
“Jika dibiarkan sendiri di wad, saya bimbang anak saya tidak dapat menyesuaikan diri. Jadi ,saya ikut sama dengan kebenaran KKM dan pada hari sama iaitu 9 Disember, ambulans datang mengambil kami berdua di rumah dan membawa ke hospital .
“Alhamdulillah, kami ditempatkan di wad yang sama cuma tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak jangkitan terhadap satu sama lain.
“Malah, saya hanya boleh memantau anak dari katil saja dan tidak boleh berada dekat dengannya atau berkongsi peralatan digunakan untuk makan dan minum,” katanya yang berstatus ibu tunggal.
Nazratul berkata, Muhammad Zhafril mengalami sakit tekak pada hari kedua jadi doktor melakukan pemeriksaan suhu dan darah bagi memantau keadaannya.
“Manakala, saya diminta menjalani ujian calitan kali ketiga kerana tahap kebolehjangkitan tinggi berikutan berada sebilik dengan anak.
“Memandangkan Covid-19 ini tiada ubatnya dan bergantung ketahanan badan jadi saya guna pakai petua lama selain memberinya vitamin C bagi membantu menguatkan sistem imunisasi anak.
“Selain itu, saya pastikan kami berdua sentiasa memakai pelitup muka dan kerap melakukan sanitasi untuk mengelak diri masing-masing daripada jangkitan ,” katanya.
Foto: Koleksi peribadi Nazratul.
Berkat kesabaran, Nazratul dan Muhammad Zhafril dibenarkan pulang ke rumah pada 19 Disember iaitu sehari selepas menjalani ujian calitan pada hari ke 10.
Cuma, tidak semua menerima kepulangan mereka dengan baik kerana ada juga persepsi negatif dalam kalangan masyarakat selain tuduhan kononnya dijangkiti Covid-19 kerana bebas berjalan
“Tuduhan itu tidak benar kerana anak tinggal bersama ibu di rumah ketika saya bekerja dan hanya saya yang keluar membeli barangan keperluan rumah.
“Namun, saya yakin ada hikmah di sebalik ujian itu antaranya peluang untuk saya meluangkan lebih banyak masa dengan anak walaupun di wad kerana selama ini sibuk bekerja.
“Selain itu, banyak kata-kata semangat dan doa diterima sepanjang berada di wad termasuk daripada individu tidak dikenali.
“Terima kasih kepada semua tidak lupa jururawat dan doktor yang banyak membantu sepanjang di wad,” katanya.
MW: Ternyata diuji dengan virus Covid-19 bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila terpaksa berjauhan dengan insan tersayang. Semoga mereka yang diuji sentiasa kuat.
Sumber: myMetro