Rupanya ada sebab, kenapa tak boleh marah anak-anak yang pecahkan barang dalam rumah atau tumpahkan makanan tanpa sengaja.
Kesannya, bukan mak ayah nampak sekarang. Tapi tunggu bila anak-anak membesar. Mereka boleh jadi seorang yang lari dari sifat tanggungjawab.
Kaunselor/Psychotherapist di Pahang Skill Development Centre (psdc), CR Mohamad Afizan Ghazali terangkan sebabnya.
Apabila terjadi peristiwa anak-anak yang memecahkan cawan, pinggan, mangkuk atau menumpahkan makanan di rumah, kita sebagai ibu bapa jangan sesekali cepat memarahi anak kita.
“Kalau tak marah, macam mana anak-anak nak tahu perkara tu salah?”
Ok, sebelum menjawab soalan di atas. Kita fahami dahulu konsep marah. Saya tanya semula, “Kenapa kita marah?”
Biasanya marah akan berlaku apabila kita berhadapan dengan orang yang kita anggap lebih lemah dari kita. Di sekeliling kita, siapa yang kita rasa bila kita marah, dia tak akan marah kita semula? Atau bila kita marah, dia sabar sahaja?
Antaranya adalah anak-anak kita. Kita akan marah pada anak sebab kita tahu anak kita tak akan marah semula kepada kita. Dia lemah berbanding dengan kita. Kita mempunyai KUASA MARAH yang total kepada dia.
“Kalau isteri marah suami tiap-tiap hari?”
Sama juga, sebab isteri rasa dia lebih berkuasa untuk marah pada suami atau sebab bila dia marah, suami buat tak dengar sahaja dan bersabar dengan kemarahan itu. Maka sedap la si isteri marah atau membebel kepada suami (tiba-tiba lari tajuk). Tetapi isi yang nak disampikan di sini masih lagi berkenaan dengan MARAH.
Berbalik kepada marah anak, kenapa bila anak buat salah seperti pecahkan barangan atau tumpahkan makanan kita akan marah dia. Sebabnya:
1. Kita letak kemampuan diri kita pada anak-anak kita. Contoh, kita rasa kalau kita yang pegang atau bawa makanan itu, kita yakin tidak akan pecah atau tumpah. Maka, bila anak yang tumpahkan kita lupa kemampuan anak tadi; dan kita respon (marah) berdasarkan kemampuan diri kita. Secara tidak sedar (unconscious) kita akan marah kepada anak-anak kita. Dengan kata lain, KPI diri kita, tapi dinilai kepada anak. Sudah pasti tidak tercapai KPI itu. Tidak adil.
2. Kita tidak sedar, ianya satu proses pembelajaran yang baru bermula dalam hidup anak-anak. Dengan berlakunya peristiwa tersebut, anak dapat faham dan sedar bahawa ianya berisiko dan boleh pecah, makanan boleh tumpah. Dalam minda anak akan keluar, “Oopps! Pecah”, “Alamak! Tumpah”. Berapa banyak peristiwa ini berlaku, maka makin banyak pengalaman hidup yang baru bermula akan meresap masuk ke dalam pemikirannya.
3. Takdir Ilahi. Ya, bila berlaku sesuatu, ianya telah terjadi. Maka itu adalah takdir. Susahnya nak terima takdir kan? Ibu bapa, jika gelas, mangkuk tidak pecah di tangan anak pada hari itu, sudah pasti akan pecah juga jika telah ditakdirkan. Memang sudah tertulis. Makanan tidak tumpah di tangan anak pada hari itu, sudah pasti akan tumpah juga di tangan kita jika telah ditakdirkan. Kerana ianya sudah tertulis. Tidak berlaku sesuatu apapun kecuali dengan izin Allah.
“Tetapi, kalau anak pegang atau bawa benda tu dengan berhati-hati, pasti tidak akan pecah atau tumpah”.
Kalau main bab “tapi”, bab “kalau”, memang tak habis kita. Baca bawah ini supaya faham “tapi” dan “kalau” itu untuk siapa.
“Sesungguhnya perkataan ‘KALAU’ akan membukakan jalan syaitan”. (Imam Muslim merekodkan hadis bernombor 1278 dalam bab takdir).
Jadi, apa respon yang terbaik jika anak buat kecuaian ini?
Mudah sahaja. Jika kita marah, anak akan berdialog dalam dirinya, “Saya tidak sengaja”.
Atau dia akan berbisik dalam hatinya bermacam-macam perkataan DEFENSE MECANISME untuk membela dalam senyap. Kesannya, apabila anak membesar, apabila dia melakukan kesalahan, susah untuk dia mengaku kesalahan dan dia akan menyalahkan orang lain atau keadaan sekeliling sepertimana yang dilakukan ketika kecil untuk mengelak kena marah.
Oleh itu, untuk mengajar anak-anak apabila berlaku kecuaian atau kesalahan ini, jangan marah! Sebaliknya ucapkan kepadanya “Tak apa, tak apa. Pergi ambil penyapu, bersihkan”.
Dengan perkataan dan perbuatan ini, akan memberi kesan yang baik kepada anak-anak untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang telah dilakukan.
JIWA ACCEPTED ini sangat bagus kerana dapat menerima kelemahan diri dan memperbaikinya berbanding DENIAL atau menentang kesalahan yang dibuat dan akhirnya tidak mengaku kesalahan.
Kelak bila besar nanti, buat salah tidak mengaku salah. Susahnya nak berubah sebab tidak mengaku salah. Orang yang betul-betul nak berubah DIA AKAN MENGAKU SALAH DAHULU. Itu langkah pertama untuk berubah!!!
JOM KAWAL MARAH… HATI TENANG, FIKIRAN MATANG.
MW : Jadi mak ayah, kenalah sabarkan hati ya bila anak-anak tak sengaja pecahkan barang atau tertumpahkan air.
Sumber/Foto : CR Mohamad Afizan Ghazali
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.