Sesi persekolahan yang hampir tiba ke suku awal perlaksanaannya membawakan pelbagai pengalaman baru buat anak-anak. Ada yang sudah mula berdikari bangun pagi sendiri dan tidak kurang juga yang mula merungut, membuat pelbagai alasan untuk mengelak daripada ke sekolah.
Keletihan dan kepayahan yang dihadapi di sekolah terutama musim suku awal yang agak sibuk dengan pelbagai aktiviti terutama bagi anak-anak yang mula masuk ke tahap dua agak menyesakkan. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anak-anak yang masuk ke dalam fasa baru kehidupan mereka sedang berhadapan dengan pengalaman baru. Oleh yang demikian, kita harus cakna dengan fasa-fasa tersebut. Contohnya, anak-anak yang baru masuk ke sekolah, sama ada tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah. Kemudian, perubahan tahap daripada tahap satu ke tahap dua persekolahan. Dan mungkin juga perubahan dari segi perlaksanaan kurikulum dan silibus.
Jika yang pertama tadi agak jelas, namun fasa-fasa yang lain mungkin tidak kelihatan begitu jelas jika kita tidak mendengar sendiri daripada mereka. Justeru, amat penting untuk kita mengambil masa untuk mendengar atau membuka perbualan tentang keadaan mereka dan persekitaran di sekolah.
Dari sini kita akan dapat tahu daripada kaca mata dan persepsi mereka apa yang sedang dihadapi di sekolah. Jadi bagi saya, pada awalnya rungutan yang dibawa balik ke rumah bukan sesuatu yang tidak baik malah dengan rungutan tersebut kita dapat mengetahui situasi yang sedang mereka hadapi dan seterusnya membawa anak berfikir dengan betul tentangnya.
Pertama sekali, yang amat penting untuk dijaga adalah penerimaan kita tentang apa sahaja cerita dibawa balik ke rumah. Contohnya, kerja sekolah banyak, cikgu garang, kawan ambil barang dan sebagainya. Bagaimana reaksi kita menerima perkara ini?
Untuk mengetahui dan memahami keadaan secara holistik, kita perlu bersikap tenang dan rasional.
Di sinilah kunci kepada persepsi dan tindakan kita seterusnya. Proses tabayun iaitu mendapatkan penjelasan harus dilakukan. Tidak dapat dinafikan sebagai ibu bapa kita agak sensitif dengan segala perkara yang melibatkan anak kita. Di sinilah rasa kasihan belas harus dibimbing dengan akal rasional.
Dengan perasaan tenang yang ditunjukkan bukan sahaja meletakkan kita pada keadaan yang lebih bersedia namun anak juga mudah mengatur percakapannya. Jadi, cuba dengar dengan teliti apa yang anak cuba perkatakan kemudian analisa apa yang sebenarnya yang cuba disampaikan.
Setelah yakin telah dapat tahu apa yang cuba disampaikan, ajak anak untuk berbincang dalam masa yang sama untuk mendapatkan pengesahan terhadap analisa yang dibuat di awalnya tadi.
Bercakap tentang perasaannya adalah sesuatu yang amat digemari anak. Bagi mereka, ini adalah satu penghargaan dimana ibu dan ayahnya amat menyanyangi dan ambil berat tentang dirinya. Jadi bukan sahaja kita dapat mengetahui dan mendalami isi hatinya, dalam masa yang sama, bounding time antara ibu-anak, ayah-anak atau ibu bapa – anak dapat dicapai.
Kemudian, setelah kata sepakat dapat diambil, barulah tindakan dapat dibuat. Jika sebagai contoh, rungutannya adalah tentang kerja sekolah yang banyak dan setelah diselidik dan berbincang, kita dapati anak ini dalam keadaan yang letih apatah lagi baru balik daripada sekolah. Maka tindakan pantas yang boleh kita lakukan adalah pujuk dia untuk bersihkan diri terlebih dahulu, sediakan makanan kesukaannya kemudian berikan kepastian untuk menemani dan membantunya menyiapkan kerja tersebut.
Setelah nampak anak semakin reda, ibu boleh cuba berikan kata-kata semangat dengan memberikan sebuah visi yang jelas dalam kehidupannya tentang kenapa dia perlu menghadapi apa yang sedang dia hadapi sekarang, apa kebaikannya untuk kehidupan dunia dan akhiratnya serta bawakan contoh-contoh yang dia dapat lihat dan kaitkan dengan dirinya. Visi ini penting bagi memberikan semula persepsi yang jelas tentang kehidupannya.
Rungutan hanya akan berlaku jika seseorang berasa sesuatu yang sedang dihadapi tidak kena dengan persepsi yang ada dalam mindanya. Jadi perteguhkan persepsinya dengan persepsi yang benar. Insya-Allah jika dia dapat lihat kesungguhan kita membantunya dan persepsi mindanya juga jelas tentang apa yang sedang dihadapi, dia akan mula menerima dan rungutannya terhadap perkara tersebut akan berkurangan.
Justeru, pastikan kita bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi setiap fasa dalam kehidupan anak-anak. Patikan kita terus kekal menjadi tempat rujuk utama dalam menentukan konflik dalam kehidupannya. Dengan ini, insya-Allah kita dapat mengetahui dengan jelas hala tuju yang sedang dituju dan ada ruang untuk membawanya kembali kepada tujuan sebenar kehidupannya. Wallahualam..