Anak Meninggal Selepas 10 Jam Dalam Kereta, Sepatutnya Mangsa Dihantar Ke Rumah Nenek

Share

Anak meninggal dunia selepas 10 jam dalam kereta tanpa disedari bapanya. Sepatutnya mangsa dihantar ke rumah neneknya. Tak dapat bayangkan perasaan bapanya melihat tubuh anaknya yang tidak bergerak di bahagian tempat duduk belakang setelah tamat waktu kerjanya.

Ujian ini sudah tentu amat berat buat ayahnya dan juga keluarga. Bukan mudah menelan kenyataan, semoga sang ayah redha dan tabah menghadapi ujian ini. Al-fatihah.

Mangsa Meninggal Selepas 10 Jam Dalam Kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya yang diletakkan di tempat kerja di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah pada petang semalam.

Kejadian disedari oleh bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu lori ketika ingin pulang ke rumah pada 6.20 petang.

Baca Juga Di Sini:

Bapa Terlupa & Terus Ke Pejabat, Anak Meninggal Dalam Kereta Selepas 4 Jam

Ibu Meninggal Dunia Dalam Kereta, Ketika Tunggu Anak Balik Sekolah

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan itu hampir 10 jam di dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan.

“Sebelum itu bapa mangsa yang berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, pada jam 7.30 pagi dan terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

Bapa Mangsa Lupa Menghantar Ke Rumah Nenek

“Bapanya terlupa bahawa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang.

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum lelaki itu ke tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Adzli, selepas sampai di tempat kerja, bapa mangsa kemudian keluar memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang semula ke kilang berkenaan jam 4.30 petang.

Menurutnya lagi, selepas sampai di kilang, bapa mangsa terus masuk ke dalam kilang dan menguruskan kerja di dalam bangunan.

“Ketika tiba di kereta sewaktu ingin pulang, bapa mangsa melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk belakang kereta.

“Lelaki itu terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Mangsa Dihantar Ke Hospital

Di samping itu, katanya mayat mangsa dibawa ke forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan pada 10 pagi ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

MW: MW merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan anak sekelip mata. Ternyata bukan mudah menelan kenyataan yang begitu pahit sebegini. Namun ternyata ayah dan ibunya insan terpilih kerana diuji sebegitu berat. 

Sumber: Berita Harian

Published by
Syazwani Mehat