Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam! Mungkin Anak Ingin Perhatian

Share

Anak menangis jangan terus jerit, suruh diam atau pukul! Mungkin anak hanya ingin perhatian daripada mak ayah.

Kadang-kadang mak ayah terlalu leka dengan urusan harian atau kerja sehingga terlupa anak di depan mata perlu dimanja dan dibelai.

Bayangkan jika mak, ayah dianugerahkan anak-anak syurga atau orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu menguruskan diri dan hanya harapkan mak ayah untuk uruskan, pasti sukar bukan.

Oleh itu, layanilah anak anugerah Allah ini sebaik mungkin. Waktu kecil anak-anak hanyalah sekejap saja, suatu hari mak ayah pasti akan merindui momen-momen ini seperti mana yang dikongsi oleh Ustaz Firdaus Mokhtar ini.

Mungkin Anak Hanya Ingin Perhatian

Ada satu hari tu saya teman ummi pergi temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sungai Buloh. Isteri ada sekali memandangkan sesi dia dengan pesakit sebelah petang.

Sedang menunggu giliran nombor terpapar dekat skrin tergantung atas kaunter, sampai seorang akak ni. Tolak anak dia atas kerusi roda. Berhenti betul-betul sebelah aku.
Aku pandang ke akak tu, dia pun balas pandangan. Dia senyum. Pemurah orangnya ni.

Anak dia mungkin sekitar umur 10 tahun kalau ikut saiz badan. Lelaki dan sedikit berisi. Anak kurang upaya. Tak boleh duduk dengan betul, macam menyandar baring tapi sambil duduk. Ada bantal kecil segi empat sama menahan belah kanan badan adik ni.

Anak Tak Mampu Uruskan Diri

Tangan semua sempurna rupa. Cuma berlipat ke dalam di pergelangan kedua belah tangan. Yang tak boleh diluruskan. Ada gaya seperti tak boleh uruskan diri sendiri.
Di hidung adik ni ada tiub panjang. Dilekat kemas ke arah bawah melalui tepi pipi kanan. Terus panjang tiub tu masuk ke dalam baju dia melepasi leher. Aku tak pasti tiub apa. Macam tiub makanan pun iya.

Akak tadi berbisik ke adik itu dan dia terus ke kaunter bawa kad biru. Kad temujanji. Mungkin baru nak dapatkan nombor giliran.

Melihatkan itu baru aku perasan, rupanya ramai dalam tempat menunggu tu mak ayah dengan anak-anak sekitar umur yang sama.

“Rasanya hari ini memang hari untuk temujanji kes macam anak-anak ni,” tiba-tiba isteri aku menyatakan pendapat. Aku angguk tanda setuju.

Sungguh Ajaib

Akak tadi patah balik ke anak dia. Senyum lebar sungguh ke anak dia. Adik tu merespon. Angguk angguk dan senyum juga.

“Hmm.. hmm.. hmm..” suara adik tadi bercakap sesuatu. Aku tak faham. Tapi akak tadi bercakap balik dengan dia. Seolah dia mendengar setiap butir cakap adik tadi. Ajaib. Yang aku dengar cuma bunyi orang kemam mulut.

Kadang-kadang nampak akak tu sapukan mulut anak dia dengan kain sapu. Air liur dia meleleh. Berusaha nak bersembang dengan mak dia. Akak tadi masih tersenyum-senyum melayan anak istimewa dia.

Nampak dia terhibur betul berdua tu. Keadaan yang bising dengan perbualan ramai di kawasan menunggu bagai langsung tak dipeduli. Mak dengan anak tu macam di alam lain, bergembira dan sama-sama menanti sesuatu.

Aku perhati sahaja. Leka sekejap. Aku senyum sendiri.

Tenangnya akak ini. Melayan anak yang sudah besar tapi terbatas pergerakan. Mungkin banyak renyahnya sebab semuanya mak yang kena buat. Nak bergerak ke sana sini, mak kena tolak kerusi roda dan mungkin banyak keadaan kena dukung dan angkatkan dia.

Nak makan pun bersuap. Mandikan, basuhkan rambut dan seluruh badan. Berak kencing semua mak itu juga yang bersihkan siang dan malam.

Anak Menangis Jangan Terus Jerit, Suruh Diam

Bukan waktu kecil bayi tu, ini dah 10 tahun. 10 tahun menguruskan anak dengan gaya menjaga bayi besar. Siap boleh bergelak ketawa dengan anak yang tak keluar pun butir kata percakapan dia.

Allahu.
Kawan-kawan, kita Tuhan bagi anak yang sihat dan sempurna. Tak lama mana pun zaman kanak-kanak dia. Sekejap sahaja sudah besar. Dah pandai urus diri. Dah pandai bercakap memberi kita faham kehendak dan apa yang dia nak.

Memang sifat anak-anak kadang-kadang meragam dan kasar bermain. Baru sikit anak menangis kita dah jeritkan. Kita dah cubit dan pukul suruh diam. Mungkin dia letih. Atau nak perhatian kita.

Teringat pagi hari tu baru marahkan Khalilah. Pagi pagi baru bangun, bergaduh pula dia dengan Abidah. Walidnya geram terus marahkan Khalilah.

Tuhan tunjuk terus depan mata hari ini, orang lain Tuhan uji anak sakit dan tak upaya. Seharian perlukan bantuan bergerak dan upaya daripada seorang mak. Elok je akak tu layan. Kau dah kenapa senang sangat nak marah anak?

Oh Tuhan. Berikanlah kami hati yang tenang dalam membesarkan anak-anak. Dan berilah kesabaran buat semua ibu bapa yang Kau uji dengan anak-anak yang istimewa.

Berikan mereka pahala yang sangat banyak kerana mereka bersungguh menyantuni anak-anak mereka. Ampunkan dosa mereka ya Allah. Berikan mereka syurga-Mu nanti bila mereka kembali kepada-Mu.

Amin.
Firdaus Mokhtar,
Menangis.

Baca Juga Di Sini:

Mak Ayah Marah Anak Jangan Bandingkan, Elak Cemburu Dan Benci Dengan Adik Beradik

Mak Ayah MARAH Anak Tanda Dia Sayang, Jangan Simpan Dalam Hati, Hargailah Mereka

Ibu Ayah 90% Tabiat Anak Mengikut Tabiat Kita. Marah Anak, Sebenarnya Kita Marah Diri Sendiri

Marah Anak Tak Perlu ‘Jerit’ Nanti Makin Melawan, Ada Cara Nak Lembutkan Hatinya

Tak Perlu Marah Anak Sepahkan Barang Sebab Dia Sedang Berkreatif Jadi Hebat

Mingguan Wanita : Hargailah waktu bersama anak-anak, jangan sesekali abaikan perasaan mereka. Anak-anak juga berhak disayangi, kasihanilah mereka.

Sumber : Ustaz Firdaus Mokhtar

Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat