Serius, mak ayah tolonglah jangan takut sangat nak ajar anak lelaki buat kerja rumah sejak kecil. Kena faham konsep, bila dah kahwin anak lelaki anda itulah yang akan bahagiakan isterinya dan mudahkan kerja rumah tangga.
Tambah pula zaman sekarang kebanyakan kaum isteri mula keluar mencari rezeki. Kalau semuanya isteri buat, tidak ke itu boleh mengundang emosi yang tak stabil dan akhirnya perang dingin!
Bukan cerita rekaan tapi realitinya bila anak lelaki tidak diajar buat kerja rumah, bila anak mula hidup berjauhan dia tak reti nak berdikari. nampak tak masalahnya?
Sama juga dengan kes yang Doktor Taufiq Razif kongsikan kali ini, disebabkan mak ayah dah biasa buat segala-galanya untuk anak akhirnya dia sendiri susah hati takut anak tak boleh survive!
Saya pernah jumpa mak ayah yang tak boleh nampak anaknya susah. Bila nampak anak susah sikit mak ayah tu terus jadi gelisah.
Akhirnya mak ayah tu la yang jadi bibik kat rumah, mak ayah jadi tukang buang sampah dan mak ayah tu la juga yang jadi tukang cuci tandas. Semuanya mak ayah tu buat, atas nama SAYANGKAN ANAK. Anak tu pula bila dah besar jadi tak pandai nak selesaikan masalah hidup walaupun sekecil kecil masalah.
Ini lah jadinya bila yang diasah cuma IQ dan otak anak sahaja tapi terlupa yang Adversity Quotient ( AQ ) anak tu pun wajib diasah. Adversity Quotient ni adalah daya tahan anak bila berdepan dengan cabaran dan masalah hidup.
Bayangkan apa terjadi pada seorang anak yang daripada kecil tak terbiasa susah. Bila tiba-tiba je kena benda susah sikit dan kebetulan mak ayah tak ada disisi, terus porak peranda hidup si anak tu tadi. Yelah, tak selamanya kita mak ayah ni boleh bersama anak kita.
Akan sampai masanya yang anak kita kena berpisah jauh daripada kita suatu hari nanti. Masa tu la mereka akan sangat berharap yang kita dah latih mereka untuk hadapi cabaran dalam hidup, bukannya bantu mereka setiap masa sampai mereka jadi lembik dan manja!
Tak salah pun kita ajar anak kita buang sampah, buat kerja rumah dan angkat pinggan mangkuk. Anak lelaki pun takkan bertukar pondan walau diajar untuk buat kerja-kerja rumah!