Pandangan mata anak tak pandai berbohong. Apa yang dia nampak, itulah yang dia fikirkan. Sebab itulah bila nampak orang pakai kereta besar, ada rumah besar, anak akan fikir betapa kaya pemiliknya. Begitu jugalah yang difikirkan anak kedua ini.
Anak kedua, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Abdul Muiez Ruslee ini bertanyakan soalan ‘deep’ kepada ayahnya. Tentang ciri-ciri kemewahan seseorang pada pandangan matanya. Dan jawapan ayah ini menyedarkan kita, bahawa setiap kita pernah juga melalui situasi yang sama.
Cuma sebagai orang tua, macam mana sepatutnya kita ‘handle’ pertanyaan anak itu.
Tadi sewaktu dalam perjalanan pulang, anak kedua saya bertanya.
“Ba. Rumah besar tu tandanya orang kaya ke
?”Saya terdiam. Betullah apa yang dia kata. Dia nampak rumah besar, kereta besar. Firasat anak-anak mesti beranggapan bahawa pemiliknya adalah orang kaya. Tetapi mereka tidak nampak, apa yang pemilik itu perlu lepaskan untuk mendapat kesenangan itu
Fikiran saya melayang kembali ke zaman sekolah dahulu. Jujur saya katakan, saya agak rendah diri dengan kawan-kawan kerana kereta ayah saya biasa-biasa saja.
Bila mak ayah mahu pulang selepas melawat saya di asrama, cepat-cepat saya berundur. Jahatnya saya, kan?
Semakin berganjak usia, barulah nampak kenapa kereta mak ayah saya tidak sebesar kereta orang lain.
Kami punyai rumah selesa. Semua adik beradik mempunyai bilik sendiri. Tidak pernah berkongsi.
Makan pula selalu sedap.
Mak ayah memilih kereta sederhana kerana ingin memiliki bahagian kesenangan yang lain. Bagi mak ayah, kereta tidak sepenting rumah. Ya, inilah namanya pilihan.
Sekarang, anak saya pula selalu sebut, “besar kan kereta tu?” Sambil jari menuding ke arah Vellfire.
“Nanti dah besar, Iman nak beli kereta macam tu.”
Saya menjawab ringkas. “Baba mampu je beli kereta macam tu. Tapi lepastu kita makanlah pasir
.”Saya pesan kepada anak. “Walaupun kereta kita kecil, tapi setiap bulan pasti kita akan ke Perak dan Negeri Sembilan untuk balik kampung. Ada masa pula kita akan pergi melancong.”
Ya. Itulah namanya pilihan. Dengan pendapatan yang tak seberapa, mana mungkin kita miliki semuanya.
Sebagai ibu bapa, kami perlu ceritakan pada anak tentang kemampuan kami, tentang kerja kami, juga tentang perbelanjaan kami.
Kadang-kadang, bila ada jemputan ceramah, anak akan bertanya. “Baba nak ke mana?” Jawab anak yang lain pula, “baba nak cari rezeki.”
Bila anak-anak nak beli sesuatu, mereka akan sebut, “nanti mama dah gaji, mama belikan ya.”
Benar kawan-kawan. Biarpun kita mampu, elakkan daripada memberi kemewahan yang melampau kepada mereka. Mereka perlu faham betapa susahnya ibu bapa mencari wang. Biar mereka pasakkan dalam fikiran, untuk dapatkan sesuatu perlu berusaha.
Supaya apa?
1. Supaya mereka tidak membandingkan hidup mereka dengan kawan lain.
2. Supaya mereka tidak berasa rendah diri jika hidup mereka tidak semewah rakan lain.
Ibu ayah sekalian.
Dalam tiga perkara yang kita bagi, pastikan satu kita katakan tidak. Agar mereka tahu, kita tidak akan boleh dapat semua yang kita mahu.
Pesan juga kepada mereka, satu hari nanti, mereka perlu melepaskan pegangan dan pengharapan kepada ibu bapa kerana mereka perlu belajar satu perkara. Erti tanggungjawab.
MW : Ajari anak hidup ini bukan glamour semata-mata. Sebaliknya, tanggungjawab itulah perlu jadi pegangan asas untuk menentukan hebat atau tidak seseorang yang bergelar insan.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.