Anak Jatuh Tingkat Tiga, Ibu Tak Sangka Gurauan Mati Jadi Kenyataan

Share

Khamis, 28 November 2019 lalu, Muhammad Fariesh Rezqallah Iman bin Abdul Razzaq terjatuh dari balkoni tingkat 3, Blok A, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu menyebabkan kanak-kanak berusia 9 tahun ini meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Tragedi yang berlaku pada awal cuti sekolah ini memang tidak akan dapat dilupakan oleh Siti Nur Fathiah Bt Hasshim, ibu kepada Muhammad Fariesh Rezqallah Iman atau lebih mesra dengan sapaan Iman ini selagi nyawanya dikandung badan.

Sewaktu ditemui, Siti Nur Fathiah, 31 tahun, masih lagi dalam berpantang selepas melahirkan anak keempatnya pada hari Ahad, 1 Disember 2019. Sepatutnya kehadiran bayi baru ini menggembirakan keluarga mereka. Tetapi siapa sangka, kegembiraan itu tidak kesampaian berikutan tragedi sedih yang berlaku.

“Saya terasa kehilangan sangat. Saya mahukan keempat-empat anak saya di hadapan mata.”

Gambar-gambar Muhammad Fariesh Rezqallah Iman dan adik-adiknya akan kekal disimpan rapi oleh keluarganya.

Pilu

Hati Siti Nur Fathiah pilu apabila mengenang kembali kejadian yang telah berlaku. Sambil bercerita, air mata Siti Nur Fathiah mengalir tanpa henti-henti.

“Sebelum kejadian berlaku, saya ada memanggil anak saya. Saya suruh dia turun ke bawah untuk membayar duit kuih yang saya beli. Setelah membayar duit kuih itu, dia naik semula dan membawa baki duit lebih dan beri pada saya di rumah.

“Selepas itu, dia memberitahu neneknya yang dia hendak main. Tidak sampai lima minit, saya terdengar kawan-kawannya memanggil. Cik Olin! Cik Olin! (panggilan jiran-jiran terhadap Siti Nur Fathiah), Iman jatuh!”

Betapa terkejutnya Siti Nur Fathiah dengan perkhabaran tersebut. Walau dalam keadaan hamil dan menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak, ibu ini berlari dengan lajunya menuruni anak-anak tangga dari tingkat tiga rumahnya menuju ke tempat kejadian.

“Saya terus tidak pandang apa. Saya turun bawah, tengok dia dah terkulai. Saya pergi kepada anak saya. Saya panggil dia. Saya cakap, Iman bangun! Iman bangun! Dia hanya mampu kata, Aaa Uuu. Masa itu dia dah tidak sedar. Kepalanya terkulai.

“Saya terus dukung dia dan bawa ke klinik 1 Malaysia (yang terletak bersebelahan tempat kejadian).Selepas itu Klinik 1 Malaysia buat rawatan kepada anak saya. Apabila ambulan datang, anak terus dihantar ke PPUM.

“ Dia terus dimasukkan ke zon kritikal dan kemudiannya dari pukul 5 petang hingga keesokan harinya dia berada di ICU.

“ Semasa di ICU doktor pakar memberitahu kepala anak saya sudah tidak berfungsi lagi. Dia tunggu masa sahaja. Dalaman dia semuanya sudah pecah. Memang benar apa yang dikatakan oleh doktor itu. Keesokan harinya Iman meninggal dunia.”

Rindu Suara Anak

Selepas post mortem dilakukan, jenazah telah dituntut dan kemudiannya telah dikebumikan. Doktor mengesahkan anaknya itu meninggal dunia disebabkan jatuh dari bangunan.

Bercerita mengenai diri anaknya itu, jelas Siti Nur Fathiah, anaknya mengalami masalah disleksia. Walau lambat dalam pelajaran namun guru-guru di sekolah suka kepada anaknya itu.

“Dia peramah di sekolah. Saya rindu pada suara Iman. Saya rindu cara dia bermain kereta dengan adik-adiknya.”

Selepas kejadian yang berlaku pada anak sulungnya, Siti Nur Fathiah kini sentiasa memantau anak-anaknya yang lain agar hanya bermain di dalam rumah sahaja. Dia tidak mahu kejadian sama berulang kepada anak-anaknya yang lain.

Rokiah (kiri) dan Siti Nur Fathiah (kanan) tidak boleh terima kenyataan Iman telah tiada.

Banyak Perubahan Berlaku Dalam Seminggu Sebelum Kematian

Rokiah binti Hamzah, 72 tahun, yang turut ada pada pertemuan ini menceritakan cucunya seorang yang tidak banyak cakap. Rokiah amat terasa kehilangan cucunya ini kerana dia turut sama menjaga dan membesarkan cucunya sejak kecil.

“Dia ini lembut orangnya. Agak payah dia hendak bercerita pada kami. Kalau dia balik menangis dan kami tanya pada dia siapa buat, dia tidak akan beritahu.

“Makcik bela dia sejak dia berumur tiga bulan sehinggalah akhir hayatnya. Dia memang manja dengan makcik. Makcik mandikan dia, pakaikan baju dan hantar dia naik van (untuk ke sekolah) setiap hari. Apabila dia balik sekolah mesti dia cari nenek dahulu.

“Dalam seminggu sebelum pemergiannya, ada perubahan berlaku pada arwah. Dia ajak Atuknya pergi gunting rambut pada hari Isnin itu. Dia beriya-iya mengajak Atuknya untuk menggunting rambut. Katanya rambut dia sudah panjang.

“Saya ingat lagi, pada suatu hari itu, tidak silap saya hari Rabu, dia tanya pada saya. Nenek, esok hari apa nenek? Saya cakap pada dia, kau ini nak masuk sekolah darjah 3 pun tidak ingat hari lagi. Tiap-tiap kali tanya nenek. Dia terus mengira menggunakan jarinya.

“Dia tanya saya lagi. Esok Jumaat kan Nenek? Abang hendak pergi sembahyang.Pergilah. Saya kata selalu kan kau pergi. Dia kata, Takdelah, abang bagitau nenek je. Saya kata selalu tak bagitau, terus je pergi.

“Tiba-tiba, sambil dia berehat duduk bergoyang kaki itu,  dia cakap, bulan 12 abang mati. Makcik terkejut bila dia cakap begitu. Makcik kata tak baik cakap begitu. Kemudian dia jawab, takdelah, Abang gurau-gurau aje. Selepas itu dia diam.”

Tidak Boleh Terima Kenyataan

Cerita Rokiah lagi, cucunya itu bukan jenis makan banyak. Tetapi pada malam itu juga dia makan banyak.

“Malam itu dia makan terlampau banyak. Saya tengok kalau nasi dia makan itu kalau untuk orang tua memang kenyanglah. Saya suap dia makan. Duduk tidak sampai setengah jam. Dia minta makan maggi. Selepas habis makan maggi, dia minta hendak meratah milo. Tetapi dia tukar fikiran hendak makan koko crunch. Saya buat semangkuk bagi dia makan.

“Selepas itu dia tidur. Pukul 1 pagi dia bangun dan tengok tv. Sampai pukul 6 pagi dia tengok. Lepas itu dia tidur. Pukul 10 pagi dia bangun, dia beritahu dia hendak makan nasi lemak. Saya suruh dia minta duit pada Atuk dia. Atuk dia bagi, dia turun pergi beli. Selepas itu dia makan nasi lemak itu.

“Tidak berapa lama kemudian, kawannya datang ajak main. Dia bagitau saya, Nenek, kawan abang panggil ajak main. Saya kata pergilah. Tetapi jangan pergi jauh-jauh. Main di depan rumah sahaja. Dia pergi main.

“Dalam pukul 12 lebih mummy dia panggil suruh dia pergi kedai. Selepas selesai pergi kedai, dia naik semula. Dia berdiri depan pintu. Kemudian dia beritahu, abang hendak pergi main lagi nenek.

“Saya kata pada dia, pergilah tetapi jangan pergi jauh-jauh. Dekat sini saja sebab nenek tidak larat hendak cari.Biasanya kalau dia lambat balik saya memang cari. Hujan ke apa pun, saya pergi cari sampai jumpa. Tidak lama kemudian, selepas sahaja habis azan zuhur, ada budak bagitau. Nenek, Fariesh jatuh.”

Terkejut Rokiah mendengarkan perkhabaran tersebut. Pada mulanya dia ingat cucunya itu hanya jatuh tangga.

“Saya ingat jatuh tangga. Saya tengok di tangga tidak ada. Pada masa yang sama saya dengar orang sudah bising di bawah. Saya tengok apa yang bising-bising itu. Bila saya lihat sahaja di bawah, saya tengok dia sudah terbengkok atas pangku emaknya.”

Kaku seketika Rokiah apabila melihat apa yang berlaku di hadapan matanya itu. Sedihnya sudah tidak terkata,

“Saya tidak boleh buat apa. Saya tidak boleh hendak peluk. Saya rasa seperti lumpuh. Saya hanya boleh menangis. Saya tidak boleh terima kematian dia.”

Sehingga kini setiap kali Rokiah melihat tempat kejadian berlaku, hatinya tidak boleh menerima kenyataan bahawa cucu kesayangannya itu sudah tidak ada di dunia.

Ringankan Beban
Jika ada yang ingin meringankan beban keluarga ini bolehlah menghulurkan derma kepada akaun CIMB 7627093519 Siti Nur Fathiah.

Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Siti Nur Fathiah

Published by
julie roshana Shafee