Ketika negara dikejutkan dengan tragedi kebakaran pusat tahfiz yang mengorbankan 24 nyawa, anak lelaki seusia 12 tahun ini mengharungi cerita ketabahan peribadi. Dalam kesedihan selepas menghadiri pengkebumian arwah bapanya, dia cekal dan kuat semangat menduduki peperiksaan UPSR di SK Rantau Panjang.
Catatan dari status Facebook Cikgu Hussayn, Guru Bimbingan & Kaunseling di SK Putrajaya Presint 8 (2) untuk anak muridnya bernama Azri Haziq Hairul Saleh mengundang pelbagai rasa dijiwa.
Hati Mana Yang Tidak Sayu
“Alhamdulillah.., selesai sudah anak-anak tahun 6 menduduki UPSR hari ini. Tanggal 14 September 2017 adalah tarikh yang saya tidak akan lupakan sepanjang berkhidmat sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling di mana seorang anak murid saya yang kental jiwa dan kuat semangatnya menduduki peperiksaan selepas jenazah ayahnya selamat dikebumikan.”
Hati guru ini bertambah sayu apabila melihat anak muridnya menjawab soalan dari kertas peperiksaan dengan memakai baju Melayu hijau yang dikenakan semasa mengebumikan ayahnya sebelum itu.
“Allahu.. hati mana yang tidak sayu melihat ketabahan anak ini dari luar kelas menjawab soalan dengan hanya memakai baju yang dipakai ke kubur ayahnya sebentar tadi. Lebih sayu anak ini menduduki peperiksaan bukan di sekolah asalnya iaitu SK Putrajaya Presint 8(2) tetapi sebagai calon tumpang di SK Rantau Panjang, Klang kerana ayahnya dikebumikan di sana.”
Sebelum menduduki kertas pepetiksaan itu, kira-kira jam 8.15 pagi, anak ini hadir ke sekolah untuk menjawab soalan Sains kertas 1. Sebaik selesai menjawab, dia bergegas pulang untuk memandikan, mengkafankan malah menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Dia juga sempat menunaikan solat jenazah bersama penduduk kampung sebelum jenazah ayahnya dikebumikan.
“Inilah wajah anak didik yang saya maksudkan. Namanya Azri Haziq bin Hairul Saleh. Mari sama-sama kita doakan dia tabah dan kuat menghadapi ujian ini. Doakan dia berjaya suatu hari nanti dan doakan juga ayahnya iaitu allahyarham En. Hairul Saleh ditempatkan bersama golongan beriman. Aamiin.”
Buat Azri Haziq Yang Cikgu Sayang
Andai suatu hari nanti Azri baca catatan ini, cikgu nak Azri tahu yang cikgu bangga dengan kputusan yang Azri buat untuk terus duduki UPSR kerana tak ramai di luar sana mampu hadapi dan lakukan apa yang Azri lakukan hari ini.
Cikgu syukur dapat bersama Azri hari ini di rumah dan sekolah serta semalam di bilik mayat Hospital Putrajaya. Satu kenangan yang takkan cikgu lupakan sampai akhir hayat.
*Izinkan cikgu share kisah ini ye sayang. Moga kisah Azri menjadi pendorong dan pmbakar semangat buat kawan-kawan di luar sana. Teruskan perjuangan menuntut ilmu. Solat selalu dan banyakkan berdoa. Jadi anak soleh yang mendoakan ayah ye sayang. Andai ada apa-apa masalah boleh datang jumpa cikgu pada bila-bila masa. Respect! Salute! UiLove!
Sumber/Foto: Cikgu Hussayn – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI