Masih ingat kisah adik Nur Adriana Maisarah Bt. Mohd Shahril, 5 bulan, yang viral baru-baru ini akibat ekzema kronik yang dialami oleh bayi comel itu? Ramai yang sayu dan jatuh kasihan di saat menatap wajah bayi comel itu yang menghidap ekzema yang teruk. Kulit wajahnya merah dan berkuping. Siapa sangka, kini bayi itu semakin pulih!
Bagi ibu bapa bayi tersebut, Mohd Shahril B. Adzman, 37, dan isteri, Liza Bt Omar Din,37, pada mulanya mereka buntu dan sedih memikirkan nasib yang menimpa anak mereka itu.
Menurut Mohd Shahril ketika ditemu bual, dia tidak menyangka kisah anaknya itu menjadi viral. “Saya meletakkan gambar Maisarah di FB dengan niat ingin memohon doa orang ramai agar anak saya itu diberikan kesembuhan. Saya juga berharap jika ada ibu bapa yang anak mereka mengalami nasib yang sama, bolehlah berkongsi maklumat dengan saya. Tak sangka pula, ia kemudiannya dikongsikan di IG,” ujarnya membuka bicara. Siapa menyangka, kisah Maisarah telah mendapat perhatian daripada Nedim Nazri yang juga suami kepada aktres cantik,
Nora Danish.“ Saya memang terperanjat bila bos Ned (Nedim) tiba-tiba DM saya. Terus terang kami tak saling mengenali. Selepas saya respons, selang beberapa minit beliau telah menelefon dan nyatakan hasrat untuk membantu Maisarah. Ketika itu beliau sedang bercuti di Bali bersama keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Alhamdulillah, ada insan mulia yang sudi membantu menyembuhkan anak saya.
“ Bos Ned telah aturkan temu janji Maisarah dengan Dr. Peter di sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Lumpur. Yang membuatkan saya dan isteri rasa terharu apabila beliau sudi hadir untuk melihat sendiri keadaan bayi kami itu. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kami kepada dirinya. Allah jua yang dapat membalasnya,” tambah Shahril penuh kesyukuran.
Ketika ditemu bual oleh pihak Mingguan Wanita, Maisarah sudah dua kali berjumpa dengan doktor pakar yang disarankan itu dan ternyata ekzema yang dialami oleh bayi comel itu semakin pulih.
Ujar Shahril lagi, anak-anak yang lain tidak ada yang mengalami ekzema seperti anak bongsunya itu.
“Pada mulanya muncul bintik-bintik merah muncul di pipi selepas Maisarah menyusu. Doktor menyarankan kami untuk membersihkan kesan susu dengan tuala suam kerana disangkakan ‘ruam susu’.
“Sehinggalah pada satu malam, ia semakin merebak dan keesokan harinya kami terus membawa Maisarah berjumpa doktor. Semasa dirujuk ke sebuah hospital berdekatan pada setiap minggu untuk rawatan, tidak banyak perubahan positif pada
Maisarah. Ketika itu memang sukar kerana sepanjang masa dia akan menangis kerana tidak selesa. Kami terpaksa bedung dia untuk menggelakkan dia mengaru badannya hingga berdarah. Setiap hari, jam 5 pagi baru saya dan isteri dapat tidur. Itulah rutin yang terpaksa kami lalui walau pun keesokan paginya saya perlu bekerja. Tidur satu dua jam sahaja perkara biasa pada kami. Kini selepas dua kali perjumpaan dengan doktor pakar di KL, keadaan Maisarah jauh berubah. Kulitnya semakin licin. Alhamdulillah, anak kami itu serasi dengan ubat yang diberikan oleh doktor,” jelas Shahril yang bekerja kilang manakala Liza seorang suri rumah tangga.Di sebalik kisah Maisarah, ada kisah duka lain yang dialami oleh Shahril sekeluarga. Dua tahun lalu, salah seorang anaknya, Nur Atiqah, telah meninggal dunia.
“Saya mempunyai enam orang anak. Yang sulung, pasangan kembar perempuan iaitu Nur Syahirah dan Nur Syafiqah, 13, pasangan kembar kedua Nur Aqilah dan Nur Atiqah, 11, diikuti Muhammad Danial Rayyan, 6, dan Nur Adriana Maisarah, 5 bulan.
“ Ketika melahirkan kembar kedua, Aqilah dan Atiqah, isteri saya mengalami komplikasi. Aqilah dilahirkan normal manakala arwah Atiqah menerusi pembedahan kerana dia songsang. Arwah juga menghidap Cerebral Palsy. Dia tak boleh bercakap dan berjalan, hanya baring saja. Tahun 2016, dia telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Ketika itu usianya 9 tahun. Saya sangat terkesan dengan pemergian Atiqah kerana dia rapat dengan saya dan saya banyak bantu
isteri menjaganya.“Terus terang, saya dilanda kemurungan. Bukan tidak redha tapi amat perit rasanya bila kehilangan anak yang sebelum ini sentiasa di depan mata. Pernah saya naik kereta, kemudian saya akan kira bilangan anak-anak saya. Saya ‘terlupa’ salah seorang dah tak ada. Kemudian kehadiran Maisarah mengembalikan kegembiraan kami sekeluarga.
“Bila diuji dengan keadaan Maisarah, saya memang rasa tertekan dan putus asa. Namun Allah itu Maha Kaya dan Maha Mendengar. Dihantar pertolongan menerusi bos Ned. Kami sekeluarga tidak dapat balas budi beliau sekeluarga yang bersedia menaja kos perubatan Maisarah sepenuhnya. Hanya jutaan terima kasih yang mampu saya dan isteri katakan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah sudi mengiirim macam-macam produk percuma untuk Maisarah,” akhiri Shahril penuh terima kasih.