Masih ingat kisah adik Nur Adriana Maisarah Bt. Mohd Shahril, 5 bulan, yang viral baru-baru ini akibat ekzema kronik yang dialami oleh bayi comel itu? Ramai yang sayu dan jatuh kasihan di saat menatap wajah bayi comel itu yang menghidap ekzema yang teruk. Kulit wajahnya merah dan berkuping. Siapa sangka, kini bayi itu semakin pulih!
Bagi ibu bapa bayi tersebut, Mohd Shahril B. Adzman, 37, dan isteri, Liza Bt Omar Din,37, pada mulanya mereka buntu dan sedih memikirkan nasib yang menimpa anak mereka itu.
Dihubungi
Menurut Mohd Shahril ketika ditemu bual, dia tidak menyangka kisah anaknya itu menjadi viral. “Saya meletakkan gambar Maisarah di FB dengan niat ingin memohon doa orang ramai agar anak saya itu diberikan kesembuhan. Saya juga berharap jika ada ibu bapa yang anak mereka mengalami nasib yang sama, bolehlah berkongsi maklumat dengan saya. Tak sangka pula, ia kemudiannya dikongsikan di IG,” ujarnya membuka bicara. Siapa menyangka, kisah Maisarah telah mendapat perhatian daripada Nedim Nazri yang juga suami kepada aktres cantik, Nora Danish.
“ Saya memang terperanjat bila bos Ned (Nedim) tiba-tiba DM saya. Terus terang kami tak saling mengenali. Selepas saya respons, selang beberapa minit beliau telah menelefon dan nyatakan hasrat untuk membantu Maisarah. Ketika itu beliau sedang bercuti di Bali bersama keluarganya. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Alhamdulillah, ada insan mulia yang sudi membantu menyembuhkan anak saya.
“ Bos Ned telah aturkan temu janji Maisarah dengan Dr. Peter di sebuah hospital swasta terkemuka di Kuala Lumpur. Yang membuatkan saya dan isteri rasa terharu apabila beliau sudi hadir untuk melihat sendiri keadaan bayi kami itu. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kami kepada dirinya. Allah jua yang dapat membalasnya,” tambah Shahril penuh kesyukuran.
Ketika ditemu bual oleh pihak Mingguan Wanita, Maisarah sudah dua kali berjumpa dengan doktor pakar yang disarankan itu dan ternyata ekzema yang dialami oleh bayi comel itu semakin pulih.
Ads
Dirujuk Ke Hospital
Ujar Shahril lagi, anak-anak yang lain tidak ada yang mengalami ekzema seperti anak bongsunya itu. “Pada mulanya muncul bintik-bintik merah muncul di pipi selepas Maisarah menyusu. Doktor menyarankan kami untuk membersihkan kesan susu dengan tuala suam kerana disangkakan ‘ruam susu’.
“Sehinggalah pada satu malam, ia semakin merebak dan keesokan harinya kami terus membawa Maisarah berjumpa doktor. Semasa dirujuk ke sebuah hospital berdekatan pada setiap minggu untuk rawatan, tidak banyak perubahan positif pada Maisarah. Ketika itu memang sukar kerana sepanjang masa dia akan menangis kerana tidak selesa. Kami terpaksa bedung dia untuk menggelakkan dia mengaru badannya hingga berdarah. Setiap hari, jam 5 pagi baru saya dan isteri dapat tidur. Itulah rutin yang terpaksa kami lalui walau pun keesokan paginya saya perlu bekerja. Tidur satu dua jam sahaja perkara biasa pada kami. Kini selepas dua kali perjumpaan dengan doktor pakar di KL, keadaan Maisarah jauh berubah. Kulitnya semakin licin. Alhamdulillah, anak kami itu serasi dengan ubat yang diberikan oleh doktor,” jelas Shahril yang bekerja kilang manakala Liza seorang suri rumah tangga.
Ads
Pengganti Arwah Kakak
Di sebalik kisah Maisarah, ada kisah duka lain yang dialami oleh Shahril sekeluarga. Dua tahun lalu, salah seorang anaknya, Nur Atiqah, telah meninggal dunia.
“Saya mempunyai enam orang anak. Yang sulung, pasangan kembar perempuan iaitu Nur Syahirah dan Nur Syafiqah, 13, pasangan kembar kedua Nur Aqilah dan Nur Atiqah, 11, diikuti Muhammad Danial Rayyan, 6, dan Nur Adriana Maisarah, 5 bulan.
“ Ketika melahirkan kembar kedua, Aqilah dan Atiqah, isteri saya mengalami komplikasi. Aqilah dilahirkan normal manakala arwah Atiqah menerusi pembedahan kerana dia songsang. Arwah juga menghidap Cerebral Palsy. Dia tak boleh bercakap dan berjalan, hanya baring saja. Tahun 2016, dia telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Ketika itu usianya 9 tahun. Saya sangat terkesan dengan pemergian Atiqah kerana dia rapat dengan saya dan saya banyak bantu isteri menjaganya.
Ads
“Terus terang, saya dilanda kemurungan. Bukan tidak redha tapi amat perit rasanya bila kehilangan anak yang sebelum ini sentiasa di depan mata. Pernah saya naik kereta, kemudian saya akan kira bilangan anak-anak saya. Saya ‘terlupa’ salah seorang dah tak ada. Kemudian kehadiran Maisarah mengembalikan kegembiraan kami sekeluarga.
“Bila diuji dengan keadaan Maisarah, saya memang rasa tertekan dan putus asa. Namun Allah itu Maha Kaya dan Maha Mendengar. Dihantar pertolongan menerusi bos Ned. Kami sekeluarga tidak dapat balas budi beliau sekeluarga yang bersedia menaja kos perubatan Maisarah sepenuhnya. Hanya jutaan terima kasih yang mampu saya dan isteri katakan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah sudi mengiirim macam-macam produk percuma untuk Maisarah,” akhiri Shahril penuh terima kasih.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Macam-macam trend dan peraturan pekerja kena ikut sehinggakan waktu kahwin dan hamil pun diberikan jadual dan kena ikut giliran. Keadaan ini terjadi di Jepun apabila pekerja mendakwa telah diberikan jadual bila mereka boleh berkahwin atau hamil serta perlu mendahulukan pekerja senior.
Trend membimbangkan ini didedahkan seorang suami pekerja nurseri di wilayah Aichi yang mendakwa isterinya dibuli majikannya dengan menyuruhnya hamil mengikut giliran.
“8 bulan usia perkahwinan kami, pada bulan Januari kami mendapati, isteri mengandung. Namun isteri bersedih dan bimbang dengan berita kehamilan tersebut.”
“Ini kerana Pengarah di Pusat Jagaan Kanak-Kanak, tempat isteri bekerja telah memberi arahan kepada para pekerja dibenarkan berkahwin dan mengandung. Tapi sebenarnya terdapat ‘peraturan senyap’ bahawa ia hendaklah mendahulukan pekerja senior dan mengikut giliran.
“Kami terpaksa bertemu dengan Pengarah di Pusat Jagaan Kanak-Kanak terbabit untuk meminta maaf kerana ‘terhamil’ tanpa menunggu giliran.
“Pada awalnya, dia terima permohonan maaf kami, namun keesokan harinya dia mula memarahi isteri saya dan menuduhnya pentingkan diri sendiri kerana melanggar peraturan hingga menyebabkannya rasa bersalah,” kata lelaki tersebut menerusi surat dihantar kepada akhbar Mainichi Shimbun pada bulan lalu.
Sejak pendedahan itu, puluhan wanita lain bertindak tampil dan berkongsi cerita sama. Seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa dia perlu menunggu sehingga berusia 35 tahun untuk mengandung walaupun sudah mengalami masalah kesuburan.
Sementara itu, wartawan yang pakar dalam kadar kelahiran rendah di Tokyo, Toko Shirakawa berkata, polisi itu biasanya dilaksanakan di mana majoriti kakitangan adalah wanita untuk memastikan rakan lain tidak berdepan bebanan kerja.
Negara Jepun memang diketahui memiliki rakyat yang sangat kuat bekerja, disiplin yang tinggi, sentiasa menepati waktu serta memiliki kadar kelahiran yang rendah.Bersyukurlah kita di Malaysia peluang mengandung dan berkahwin tak perlu ikut giliran dan jadual. Parah sungguh, jika semuanya kena ikut giliran dan jadual seperti negara Jepun ini.
Sebagai mak-mak, macam mana kita pantau anak-anak pun, kalau benda nak jadi tetap terjadi. Tapi walau demikian, jangan ambil langkah sambil lewa, tetap kena perhatikan gerak geri anak-anak. Jika perasan ada sesuatu yang tak kena atau anak-anak mengadu sesuatu, perlu lebih beri perhatian dan tumpuan pada mereka
Perkongsian oleh Sarah Rosli ini wajar dijadikan iktibar oleh mak-mak semua.Kejadian tempiras atau juga dikenali sebagai kutu babi melekat dan bertelur pada cuping telinga anak cukup merbahaya dan amat menyakitkan.
Berikut merupakan perkongsian ibu muda ini:
Allah.. Kesiannya kat anak mamy..
Sumpah wei, mesti hampa scary + meremang bulu roma bila dengar apa yang kami nak share ni.. Tambah-tambah bila melibatkan anak sendiri..Semalam baru first time kami dengar binatang nama ‘tempiras’. Sebelum ni tak penah dengar & tak pernah tengok pun mcm mana rupa dia sampai la bila tengok sendiri depan mata bila binatang tu masuk telinga Erika.
Tak Bagi Usik Telinga
4-5 hari lepas ada perasan jugak bila Erika lepas mandi ja dia tak bagi lap telinga dia. Lepas lap kepala dia ja, cepat-cepat dia nk lari.. Ingatkan sebab dia nak tengok Upin Ipin kat tv, so tak peduli sangat la.. Tapi benda tu berlarutan sampai banyak hari bila setiap kali mandi ja dia tak bagi lap & bila part nak pakai/buka baju ja dia macam nak elak-elak bila terkuis telinga dia.
Bila asyik camtu ja, rasa tak sedap hati jugak pastu tanya dia kenapa.. Erika bagitau telinga dia sakit.. kita ni pun nak tengok la dah dia kata sakit.. Tapi dia lari tak bagi pegang.. Yang si mamy ni pun bendoi, biarkan ja bila anak tak bagi tengok sampai nangis-nangis, terus tak jadi belek..bila tanya kenapa sakit, dia kata semut gigit.. Budak 3 tahun, sakit sikit semua salah semut..
Sampai la petang semalam masa drive keta Erika duduk sebelah & cakap ‘mamy tlinga Erika sakit’. Masa kat traffic light tu terus tengok-tengok telinga Erika even dia tak mau bagi..
Ada nampak kecik-kecik warna hitam kat area telinga dia.. Yang si mamy ni pun sebab tengah drive kuis-kuis jela benda-benda hitam tu kat tlinga Erika sebab Ingat habuk.. (Tak boleh belek betul2 sebab tengah drive).
Tempiras Bertelur
Lepas buka puasa Erika terlena, mamy dia ni baru la boleh skodeng telinga Erika.. kalau dia tengah sedar, jangan harap la dia nak bagi sentuh. Bila tengok tak la nampak apa pun sampai la bila belek kat celah cuping telinga! Nampak ada benda warna hijau+biru2 sikit.. Ingatkan nanah bila panggil dedy Erika terus dia kata ”Ni bukan nanah, ni tempiras, binatang ni gigit sakit ni sebab dia hisap darah..”
Ya Allah kesianya kat Erika.. Patut la nak sentuh telinga pun dia tak bagi. Ada binatang gigit rupanya.. Pastu dedy Erika pun cepat-cepat ambik kepit kuku n tarik binatang tu keluar.. Tapi sebelum tu Erika nangeh jangan tanya la mcm mana.. Dedy dia kata selalunya kecik ja binatang tu tapi kali ni besar maybe sebab dah lama dia ada kat telinga Erika.
Lepas dah buang tempiras tu rasa la lega hati sikit n terus rasa nk Google tengok apa tu tempiras. Bila Google ja trus naik gambar “tempiras bertelur dalam telinga manusia”.. Ada gila wei tahap meremang bulu roma tu bila tengok telur-telur tu sebijik sama macam bintik-bintik hitam yang ada kat celah-celah telinga Erika!..
Mati-mati ingat hitam-hitam tu darah kering kesan gigit tempiras tu la.. Memang ingat nak cuci next time ja sebab Erika dah meraung sakit bila nak kuis telinga dia lagi.. Tapi rupanya bukan.. Tu telur dia.. Tempiras akan bertelur bila dia dah kenyang..! Ya Allah geli sungguh-sungguh laa…
Lepas tau tu telur dia, cepat-telinga panggil dedy Erika suh cuci bagi clear semua sebab takut masuk dalam lubang telinga. Bayangkan la Erika punya meronta masa tu tak bagi sentuh telinga dia. Nanges ni jangan tanya la.. Naseb bek la mamy Erika ni sado jugak.. Peluk kuat sampai dedy dia polish habeh baru boleh lepas dia.. Nanges sampai teresak-esak.. Mamy tak dapat bayang la Erika oii kalau telur-telur tu tak buang dari telinga Erika… Allahuakbar…
Kucing Jadi Punca
Tak tau la mana Erika pi ambik binatang tu.. Nak kata duduk dalam hutan, rumah taman.. Hutan nak mai celah mana? Hmm.. Tapi rupanya binatang ni suka duduk kat kucing! Erika ni suka pegang kucing walhal kami tak bela kucing pun.. Erika pun tau mamy dia akan marah bila dia pegang kucing tapi biasa la budak2 bila mak dia tak tengok, masa tu la dia ambik kesempatan.. hmm
Tapi nak buat macam mana, benda dah nak jadi.. Harap-harap benda ni tak kena la kat budak-budak lain.. Tak sangka tempiras ni bahaya rupanya.Sampai lani, geli geleman tak habeh.. jenuh garu pala..
Sumber:Sarah Rosli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Air dicincang tak akan putus. Begitulah adik beradik, marah atau sakit hati pun, bila ada yang dalam keadaan masa susah, pasti ada ahli keluarga yang membantu. Tak banyak, sedikit pun jadilah untuk membantu meringankan beban.
Mungkin ada ahli keluarga merasakan, tidak salah untuk membantu adik beradik yang masa susah, walaupun suatu ketika dulu, mereka sangat payah atau langsung tidak menyokong dengan apa yang kita lakukan.
Bukan tidak sokong tapi ada yang lebih teruk, siap perli lagi. Namun, memikirkan adik beradik, anggap itu sekadar gurauan walaupun dalam hati tiada siapa yang tahu.
Benarlah apa yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad, tak perlu berdendam sebab ia boleh menambahkan lagi rasa sakit hati. Kita bantulah, sekurangnya ia membuatkan hati kita tenang.
Keluarga tidak membantu saya, kenapa saya kena bantu mereka?
Begitu juga kawan-kawan tak ada yang peduli masa saya susah. Kenapa perlu saya kena bantu mereka pula?
Ini antara contoh mudah hati kita masih sakit. Mahu sakit sekejap, tak mengapa. Namun kalau sudah berubat dan dah sembuh, kenalah berubah.
Kita dah berjaya, Allah dah beri kita jiwa yang super kuat, maka: a) Bantu sahaja semua orang. Sama ada dia pernah sakitkan hati kita dulu kala, sama ada dia tak pernah support, sama ada dia pernah buat begitu begini, bantu sahaja.
b) Mmembantu adalah perbuatan baik. Berdendam takkan selesaikan sakit di hati. Apabila kita hulur sahaja bantuan, maka terlerai rantai besi syaitan di hati kita. Syaitan akan menangis dan menjerit kita berjaya lawan dia.
c) Dengan membantu orang, walaupun dia tak bantu kita, itu adalah perbuatan super mulia. Saat kita susah, dia tak peduli. Masa kita senang, kita peduli tentang dia. Bab dia nak hargai atau tak, bukan hal kita. Kita selesaikan bahagian kita sahaja.
Ada Sebab- Kehidupan Sendiri
Kita sering cakap adik beradik mana peduli sangat tentang kita. Tahu tak? Mereka juga ada kehidupan yang kita tak tahu menahu. Sangka baik sahaja. Jika mereka bantu, syukur tapi jika mereka tak bantu, pun syukur. Yang penting apabila kita dah berjaya dan mampu bantu, kita bantu sahaja tanpa alasan.
Menghulur, memberi, menyerahkan tenaga, wang, hadiah tau apa sahaja pemberian adalah kebaikan. Kebaikan pula Allah janjikan pahala. Dan dengan pahala itu sahaja akan jadi tiket untuk dibawa timbang nak masuk ke syurga. Maka buat baik sahaja.
Sekiranya kita ada pengalaman sangat buruk dan teruk dengan keluarga, apabila kita dah berjaya, membantu mereka semula adalah sebuah kepuasan yang amat sangat. Hati kita tenang, jiwa kita lapang.
Bab mereka nak cakap apa, Biarkan. Yang penting bahagian kita dah pun selesai. Ingat, dunia ini sekejap sahaja. Bahagian dalam kubur dan perjalanan sirat itu yang sangat lama. Fikir baik-baik mana buruk mana baik, mana nak menangkan syaitan atau menangkan diri untuk berjaya dapat tiket ke syurga.
Begitulah.
MW: Memang betul, tak perlu berkira atau nak balas dendam. Dengan membantu, hati kita akan rasa tenang.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...