Saat anak didiagnosis ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorders), pastinya mak ayah berfikir macam mana untuk sembuhkan penyakit ini. Malah mungkin ada yang tertanya-tanya, sebenarnya ADHD ini boleh disembuhkan ke?
Ok mari selami dunia Puan Nurul Ilyani yang anaknya sendiri mengalami ADHD, moga cara yang diamalkan boleh membantu mak ayah sana mendidik anak-anak dengan cara yang lebih baik…
Ini cerita anak special saya..
Saya ada seorang saja anak perempuan. Lagi 3 lelaki. Seorang, yang tua sudah ada di syurga (sekarang 8 tahun, umur di dunia).
Yang ada di dunia 3 orang. Masa kecil anak saya didiagnosis dengan ADHD. Kemudian saya gigih. Gigih itu bukan mudah buat saya. Mencabarnya anak saya sampai saya dapat bipolar disorder. (Sebenarnya tanda daripada awal sudah ada, life event, cabaran hidup saya menjadikan mental semakin teruk, kini saya mengambil ubat dengan jadual yang saya adjust ikut keperluan badan seumur hidup saya)
Nak kata itu pengorbanan saya, wallahu’alam. Saya cuma rasa itu tanggungjawab saya. Sekarang, anak saya sudah berubah. Sangat baik. Nampak normal. ADHD mungkin mild saja.
Ciri-ciri Anak ADHD
Apabila belajar saja dia tidak suka. Dia tidak suka belajar benda baru. Dia ada visual processing disorder. Dia cepat terganggu. Tidak boleh tumpu lama.
Tapi dia sudah boleh baca Quran. 6 tahun sudah boleh baca dengan keadaan saya ajar dia 3 minit saja sehari sejak usia dia 3 tahun.
Sejak itu, fokus bertambah. Saya ada juga buat rangsangan sensori yang lain untuk anak-anak ADHD. Apa yang OT ajar, saya rutin buat dan intensif.
Sekarang, kalau saya ajak dia baca Quran, kadang-kadang dia tak nak. Sebab dia kata susah. Ya, dia susah nak fokus visual. Otak dia susah proses info daripada visual. Tapi saya tahu, dia berusaha. Bila dia tak mahu, saya tak paksa. Wallahi saya tak paksa.
Saya cuba lagi. Saya banyak guna positive reinforcement. Anak saya juga sebenarnya sudah boleh membaca BM dengan lancar. Sama juga, awalnya dia tidak suka. Lepas belajar Quran yang sukar, membaca BM dan English pada dia lebih mudah.
Anak saya masih suka main. Hari-hari main. Dia suka buat projek. Dia tidak suka table task yang akademik. Dia suka doodle. Lukis. Lukis. Warna.
Dia tidak suka matematik. Tapi dia faham konsep nombor. Dia boleh celup biskut, kira sampai 20 baru angkat biskut. Dia kata macam ini baru lembut. Anak ADHD biasanya tak suka problem solving. Benda kena fikir, kena fokus secara visual semua dia tak suka.
Saya faham. Saya tak paksa. Saya bagi dia buat apa yang dia suka buat.
Walaupun dia tidak berapa dalam akademik(ikut sistem Malaysia), anak saya sangat rajin dan ringan tulang. Dia selalu tolong saya basuh pinggan. Pinggan penuh satu sinki dia boleh habiskan.
Saya raikan. Saya puji. Anak ADHD cakap lepas. Kadang saya sedih. Kadang-kadang tangan dia pun laju. Dia impulsif, kadang-kadang dia buat adik-adik. Kadang-kadang dia cakap dengan logik dia walaupun pada kawan-kawan dia macam tidak logik. Tapi tak mengapa.
Sikap Anak ADHD
Anak ADHD, dia sangat sensitif. Mudah rasa gelisah dan resah. Dia baru saja berhenti buang air besar pakai diaper. Dia ada isu anxiety dengan tandas.
Ada benda-benda lain yang kurang. Anak saya banyak flaws. Banyak sangat. Tapi saya selalu fokus pada kebaikan dia.
Ada banyak ujian dalam hidup saya yang tidak mampu saya cerita. Tidak semua orang faham. Tapi saya yakin Allah sayang saya, sayang anak saya, sayang suami saya, sayang keluarga saya. Jadi Allah bagi ujian ini semua supaya kami lebih redha.
Kepada mereka yang melalui jalan hidup lebih kurang saya, saya doakan kalian sentiasa tenang dan tabah.
Hasbunallah wa ni’mal wakeel.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI