Anak pelengkap rumah tangga. Kehadiran mereka membawa sejuta kegembiraan untuk mak dan ayah. Namun, mengapa kadangkala mak ayah seolah alpa akan kehadiran mereka? Bahawa insan itu memerlukan bimbingan dan perhatian daripada mereka? Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM) ini.
Pantasnya Anak Membesar
Masa yang bergerak dirasakan amat pantas. Hari demi hari berlalu, bulan ke bulan dan tahun berganti tahun. Si kecil yang dikandung kini semakin membesar.
Perjalanan waktu yang pantas ini hakikatnya mempengaruhi rutin kehidupan kita sehari-harian. Segalanya jika tidak dirancangkan dengan baik pasti berlalu begitu sahaja tanpa boleh diulang kembali.
Apakah Dah Digalas Tanggungjawab?
Rakan penjaga yang saya hormati, mari sama-sama kita cermati. Apakah yang telah kita lakukan untuk anak-anak kita bagi menjamin kelestarian kehidupannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya? Adakah benar-benar kita telah menjalankan tanggung jawab kita yang hakiki dalam mendidiknya dengan baik sebagai mana yang dituntut?
Atau pun kita hanya mengulangi rutin yang pernah kita lalui dahulu sewaktu kita seusia dengan dirinya? Allahu Rabbi, hakikatnya, perkara ini benar-benar harus kita tekuni dan renungi sejenak, agar tanggungjawab yang Allah pundakkan kepada kita benar-benar telah kita laksanakan dalam kesempatan waktu yang ada.
Anak Perlu Sentuhan Didikan Kukuh
Rencamnya waktu dan dunia yang mereka diami kini amat memerlukan kefahaman dan sentuhan didikan yang lebih kukuh dalam institusi kekeluargaan. Di mana-mana sahaja kedengaran gejala-gejala yang membimbangkan dan merunsingkan berlaku dalam kalangan generasi muda kita kini.
Malah tidak kurang juga berlaku di peringkat yang lebih rendah iaitu dalam kalangan usia anak yang masih terlalu muda. Mengapa hal ini terjadi perlu dibincangkan namun yang lebih penting untuk diutamakan adalah bagaimana cara penyelesaian dan penghindarannya harus dilakukan.
Saat Anak Masih Di Rumah, Beri Perhatian
Di peringkat kita selaku ibu bapa, perhatian harus diberikan kepada anak-anak. Pada fasa pertama kehidupan mereka iaitu sewaktu mereka masih banyak masa berada di rumah, perhatian ini harus didapatkan sebesar-besar yang mungkin. Ini adalah untuk mengukuhkan kepercayaan anak terhadap kita kedua ibu bapa. Salah satu cara yang boleh diterapkan adalah dengan mendengar.
Rakan penjaga yang dihormati, zuriat kita mahu didengari. Banyak perkara yang mengelirukan dan tidak kurang juga yang mengujakan sedang mereka hadapi sekarang. Justeru, mereka tidak boleh menghadapinya sendiri. Mereka amat memerlukan kita untuk mendengar dan memberikan pandangan. Saya pasti, setiap daripada kita mengahdapi situasi anak-anak yang gemar bercerita. Banyak sungguh plot-plot cerita yang ingin disampaikan. Tidak dinafikan ada masanya kita tidak mampu lagi untuk mendengarnya.
Ingin Diri Mereka Didengari
Walau bagaimana pun, kawal perasaan itu. Ini kerana salah satu keperluan emosi mereka adalah untuk didengari. Cuba berikan perhatian dan jika tidak mampu, ajaklah mereka untuk berehat sebentar tetapi jangan terus berlalu dan menutup siri ceritanya dengan nada yang kasar. Anak-anak kita yang masih kecil hanya memahami sesuatu perkara dengan mudah berdasarkan ekspresi kita. Iaitu sama ada suka atau tidak, sama ada marah atau sayang dan sebagainya.
Jadi, jika kita memilih untuk menggunakan kekerasan atau nada yang tinggi untuk memotong ceritanya tadi, dia akan faham bahawa kita tak suka dan apa yang dilakukan salah. Padahal, bercerita bukan sesuatu yang salah. Bercerita akan mengajarkan anak menyatakan atau mengekspresikan emosinya. Yang salahnya di sini adalah kita yang kurang sabar untuk menantikan penamatnya.
Jadilah Pendengar Setia
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama cuba untuk menjadi pendengar yang setia untuk anak-anak. Apabila ruang itu sentiasa terbuka untuk dirinya, kelak sewaktu umurnya semakin meningkat dewasa, dia juga akan mencari kita sebagai tempat meluahkan kekeliruan dan kegembiraannya.
Ini kerana, kepercayaan sudah wujud dalam perhubungan kita. Bayangkan sahaja, apabila anak-anak kita meningkat dewasa sudah pasti lebih banyak konflik yang bakal ditempuhi, jika pada ketika itu tempat dia merujuk adalah kita ibu bapanya, insya-Allah kita akan cuba untuk memberikan panduan yang terbaik buat dirinya.
Biar Mak Ayah Jadi Tempat Rujukan
Namun, jika pada ketika itu, dia tidak yakin boleh berkongsi apa yang sedang dihadapi dengan kedua ibu bapa dan mencari orang lain sebagai tempat meluahkan perasaan maka kita tidak dapat memantau keadaan anak-anak kita sendiri. Malah yang lebih mendebarkan, kita tidak tahu pandangan bagaimana yang menjadi rujukan mereka.
Justeru, gunakanlah masa yang kita ada sekarang untuk menjadi pendengar yang setia bagi anak-anak kita. Usah banyak bercakap sahaja, anak-anak kita juga perlu diberikan peluang untuk menyatakan perasaannya dan berkongsi pendapatnya. Insya-Allah perhubungan kekeluargaan kita akan menjadi lebih erat dengan izin-Nya. Wallahuallam.
https://www.mingguanwanita.my/kali-ini-ayah-tak-berdaya-bawa-jenazah-tiga-anak-ke-tanah-perkuburan/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI