Anak Bijak Tapi Semakin Kurang Adab, Dimana Silapnya?

Share

Sebagai seorang ibu sudah pasti saya sangat prihatin pada perkembangan minda dan perilaku anak-anak. Malah pada saya anak-anak perlu mengamalkan adab-adab yang baik bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga kepada sesiapa saja, termasuklah segala perkara di sekeliling mereka.

Walaupun ia tidak berunsur akademik, nilai kesopanan ini adalah tunjang kejayaan menjadi seorang yang bijaksana. Tetapi kita perlu juga menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Malah ada yang berpendapat tidak guna bijak jika tidak beradab.

Bagi mengupas lanjut mengenai isu Anak Bijak Tapi Semakin Kurang Adab,  Pakar Keibubapaan dan Ilmu Menguruskan Anak-Anak, Puan Siti Saleha memberi pandangannya mengenai isu ini;

“Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.”

“Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.”

“Umur anak-anak 7-14 tahun.  Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).”

“Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.”

Anak-Anak Perlu Dibentuk Ikut Acuan Sesuai Dengan Diri Mereka

“Pada pendapat saya, cara didikan itu terpulang kepada ibu bapa itu sendiri . Ada ibu bapa harini yang mendidik anak untuk mempunyai disiplin yang tinggi, tidak kira dari segi akademik mahupun sahsiah dan sebaliknya.”

“Anak-anak ini perlu dibentuk mengikut acuan sesuai dengan diri anak, memaksa dalam mendidik bukan jalan yang terbaik cuma kalau perlu dipaksa, gunakan cara dan konsep yang betul . Kalau orang lama, mendidik anak supaya menjadi manusia berguna, mereka akan merotan atau menggunakan tali pinggang dan seumpanya, tetapi cara sebegitu untuk dilakukan sekarang agak kurang sesuai kerana kehidupan anak-anak sudah dikelilingi dgn ‘bayangan-bayangan’ hidup yang indah-indah sahaja.”

“Kita tidak boleh memandang perkara ini sebagai masalah yang datangnya dari ibubapa. Pada hari ini, memang yang bekerja bukan sahaja bapa tetapi juga ibu kerana mereka perlu mencari rezeki utk menyara keluarga dan anak-anak. Tetapi disini perlu di jelaskan bahawa, sebuah keluarga yang aman damai, ibu bapa itu sendiri perlu ada masa untuk keluarga.. Bukan balik kerja terus masuk bilik tidur, sekurang-kurangnya ambil masa sedikit untuk lihat keadaan anak itu macam mana, sihat ke tidak, dah makan ke belum ? Dan sebagainya.

“Senario seperti kurang adab ini juga boleh dilihat dalam kalangan anak-anak yang ibubapa disiplinnya tinggi, kenapa saya kata begitu? Kerana apabila ibu bapa terlalu memaksa anak untuk menjadi seorang bijak pandai, mereka terlupa untuk menerapkan sikap-sikap beradab pada diri anak-anak. Itu yang boleh ada keluar dalam akhbar “pelajar sekolah maki cikgu” / “anak tendang bapa” dan lain-lain.

Ibu Bapa Role Model Kepada Anak-Anak

“Sebagai ibu bapa dan orang tua. Kita adalah role model kepada anak-anak kita, kalau kita boleh tunjuk rasa hormat kita pada manusia, anak juga akan ikut sikap kita. Tidak kira di mana-mana pun dan bila-bila masa, sikap hormat menghormati ni juga dituntut dalam Islam, bagaimana mungkin kita nak suruh anak hormat kita sedangkan kita sendiri tiada sikap itu .

“Mengenal. Kita perlu kenal anak kita siapa, siapa dirinya, sikap dia bagaimana, perlu dididik dgn acuan apa ? Kalau acuan donat (caranya mengikut peredaran masa kerana donat itu bulat dan perlu diterap konsep-konsep yang betul dan buang pekara-perkara negatif). Kalau kuih lopis (ada kuahnya, bentuknya agak bersegi. Bermakna ibu bapa tidak perlu tergopoh gapah dalam mendidik anak-anak, beri sedikit pemanis kata agar anak dapat dibentuk dengan sebaiknya) dan lain-lain acuan.

“Sebagai seorang ibu bapa anda mahu utamakan pendidikan yang macam mana? Akademik dahulu atau sahsiah? Mengikut cara siapa? Utamakan hal anak-anak atau hal di tempat kerja?

“Kita laksanakan apa? Laksanakan tanggungjawab kita sebagai ibubapa pada anak-anak. Mengabaikan tanggungjawab bukanlah cara ibu bapa yang bijak, malah boleh menyakiti hati anak-anak itu sendiri. Contohnya, sekiranya sudah berjanji untuk makan bersama, laksanakanlah. Anak-anak mudah untuk terasa sekiranya janji-janji itu datangnya langsung dari ibu bapa dan ibu bapa tidak menepati janji-janji itu.

“Teruskan buat langkah-langkah mula ini, dan terapkan sebaik-baiknya dalam diri ibu bapa dan juga anak-anak. Apa yang diamal sedikit sebanyak akan membantu dalam membahagiakan sebuah keluarga. Macam kita solat, ada rukun-rukun sah nya. Kalau kita amalkan setiap hari mengikut tertib InsyaAllah tiada masalah juga untuk kita amalkan sikap-sikap yang positif dalam mengajar anak-anak untuk lebih beradab di masa akan datang.”

Published by
Norhayati Suboh