Mingguan Wanita TalkShow membicarakan topik; anak angkat di mana selebriti Elyana di undang berkongsi kisah perjalanannya mengambil seorang lagi anak angkat baru tahun lalu. Ketika diajukan soalan oleh pengacara Siti Elizad mengenai isu komen netizen mengenai tindakan Elyana mengambil Cahaya Ramadhani sebagai anak angkat dan apa bakal terjadi kalau Elyana tiada nanti,berikut adalah komen bernas dan tegas Elyana.
“Sejak dari sekolah lagi saya membayangkan satu hari nanti selain mempunyai anak sendiri saya nak ambil anak angkat. Tujuannya untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak yang tidak bernasib baik. Sebelum Cahaya Ramadhani, saya pernah mengambil seorang anak angkat lelaki yang juga bayi syndrome down. Tetapi disebabkan keadaan kesihatan saya yang merosot ketika itu, saya terpaksa menyerahkan Tulus pada keluarga lain.
“Alhamdulillah setelah kesihatan saya makin stabil, saya kembali memasang keinginan untuk mengambil anak angkat lagi. Ketika itu melalui bantuan sepupu, saya ditemukan dengan bayi perempuan ini tahun lalu. Saya menerima apa sahaja jantina, warna kulit putih atau hitam seadanya. Bagi saya cakap-cakap netizen itu saya tolak tepi, isu siapa yang menjaga anak-anak saya nanti kalau saya dah tiada…Insya-Allah mereka akan berada di samping orang-orang yang menyayangi mereka.
“Bagi saya sihat atau tidak itu semua ketentuan Allah S.W.T dia Maha Mengetahui. Sesiapa pun akan meninggal dunia, cuma kita tak tahu bila masanya akan tiba. Selagi masih bernyawa, saya akan sempurnakan impian saya menjaga kebajikan anak angkat dan juga anak kandung sebaiknya,”terang Elyana. Wanita yang sedang berjuang melawan kanser limfoma tahap empat ini juga mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa dia tak menyusukan anak angkatnya.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual menarik tadi Elyana sempat menitipkan pesanan ini buat anak-anaknya.
“Cinta dan Cahaya bonda sayang kedua-duanya. Tidak ada istilah anak kandung ataupun anak angkat, kasih sayang bonda sama sehingga ke akhir hayat. Jangan lupa doakan bonda bila bonda dah tiada nanti,”ringkas tapi dalam maknanya.
Isu anak angkat hari ini turut mengundang Siti Mazlinda Mardi yang merupakan Pengarah Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ustazah Noor Laila Aniza (Perunding Motivasi) dan ibu angkat kepada tiga cahaya mata, Dian Mayasari.
Di sudut JPN isu jangan cuba sorok status anak, atau menukarkan nama bapa kandung anak dengan nama bapa angkat (khususnya yang beragama Islam) diberi penekanan tegas oleh Siti Mazlina. Manakala dari sudut pandangan agama, Ustazah Noor Laila Aniza, menerangkan terperinci berkenaan isu anak susuan, hubungan Zaid anak angkat kesayangan Rasulullah S.A.W dan bolehnya bapa angkat menikahi isteri kepada anak angkat.
Mungkin ramai yang tak arif tapi dengar ulangan Mingguan Wanita Talk Show untuk mengikuti kisah menarik ini selanjutnya. Dian Mayasari ibu muda yang diuji masih tak punya zuriat setelah lima tahun berumah tangga, beliau kemudian berhenti kerja dan dihadirkan tiga cahaya mata anak angkat sebagai penyeri hidup. Menariknya wanita ini masih menjaga hubungan baik anak-anaknya dengan keluarga kandung mereka hingga hari ini.
Bagi yang terlepas menyaksikan Mingguan Wanita TalkShow mengulas isu menarik lagi berinformasi berkenaan isu anak angkat. Jangan lupa saksikan ulangannya jam 8 malam nanti di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.