Mustahil menuntut anak mencintai kita sebagai mana kita mencintai mereka! Reda dan doakan saja. Anak-anak zaman sekarang ramai yang tak kisah jerih payah dan jasa mak ayah. Yang penting, mereka hidup senang dengan dunianya sendiri.
Pulang cuti dari jauh, duduk seminggu di rumah sibuk dengan telefon, tak pedulikan perasaan ibu yang mahu rindunya berbalas, tak kisah soalan dan pertanyaan tentang ‘apa khabar’ daripada ayah yang tak berjawab.
Senyap bila duduk bersama, pandang telefon lama-lama. Bila perlu minta duit saja satu-satunya percakapan yang digunakan. Anak yang sudah berkahwin, bila ziarah asyik cerita kesusahan mereka, bila mereka senang hilang tak datang berminggu-minggu lamanya.
Kadang-kadang timbul soalan dalam hati ayah ibu, dosa apa yang kami buat dulu sampai jadi begini keadaan anak-anak sekarang?
Nabi Ya’kub as contoh ayah dengan kesabaran paling sempurna. Baginda masih menerima pulang anak-anaknya yang derhaka, menipu dan bersekongkol membunuh adik mereka sendiri, mereka fikir ayah mereka tidak tahu kejahatan itu. Padahal ayah mereka adalah seorang Nabi yang diberi wahyu oleh Allah SWT.
Kemarahan ditekan dalam hati hanya ucapan kesabaran yang indah di lisan Nabi Ya’kub as sehinggakan al-Quran merakamnya untuk abadi. Fashobrun Jamil, aku hanya mampu bersabar, sabar itu sebaik-baik keindahan di sisi Tuhanku.
Kita akui amat sangat susah bersabar, anak-anak didera dengan lidah lebih banyak daripada didera dengan tangan oleh orang tua mereka. Menuduh anak tanpa usul periksa, mengomel atas satu kesalahan dan melupakan seribu kebaikannya, membandingkannya dengan anak yang cemerlang padahal kita tidak mendidik seperti ibu bapa anak yang cemerlang itu. Kita lalai, letih akhirnya mengabaikan anak.
Bersabar itu berat kerana pahalanya pun berat, satu-satunya amal yang dinyatakan dalam al-Quran yang pahalanya terlalu banyak sehingga tak dapat diukur adalah sabar. “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada batas. (Surah al-Zumar ayat 10) Bila hati hendak meletup marah banyakkanlah berzikir dengan ayat ini semoga Allah beri ketenangan.”
Jangan berhenti menasihati walau seribu kali tidak berjaya mungkin nasihat kita yang ke seribu satu kali dia baru mahu berubah. Suruh anak solat, setiap datang waktu solat ingatkan, nasihat dengan ayat al-Quran dan hadis untuk melembutkan hatinya. Kadang kita suruh dengan cara mengherdik, memaksa dan mengancam yang membuat anak rasa benci bila dinasihati.
Bila anak tak buat, kita putus asa akhirnya tak mahu lagi menasihati lagi. Anak bergaul bebas, kita buli dengan kata-kata kasar, anak memberontak lari, kita marah tak mahu lagi nasihat biarkan dia tersesat. Bahayanya jika ibu bapa dijangkiti penyakit putus harapan kepada Allah, kita berhenti menasihati seolah-olah kita putus asa kepada Allah.
Di antara tanda kita berputus asa adalah kita berhenti mendoakan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Doa seorang hamba sentiasa akan dimakbulkan selama dia berdoa bukan untuk kejahatan atau memutus silaturahim dan selama dia tidak tergesa-gesa. Iaitu seorang yang berkata: Sungguh aku telah berdoa dan berdoa namun tidak juga dimakbulkan kemudian dia berputus asa dan meninggalkan doa.” (Hadis riwayat Muslim)
Tiada siapa boleh lari dari bayang-bayangnya sendiri, begitulah seharusnya kita menganggap anak sebagai bayangan diri kita. Apa yang kita buat dia akan ikut, menyerap segala yang dia lihat, rasa dan dengar dari ibu dan ayahnya. Kalau ibu kacau emosi anak pun akan jadi orang yang tak pandai kawal emosi. Kalau ayah malas ibadah, lalai dengan hiburan tak bagi teladan dalam beragama tak hairan jika anak-anak semua perangainya sebiji macam ayah.
Mereka bagai kertas putih, kita yang mencorakkannya. Dan bahayanya di akhirat nanti adalah kita mempunyai saham di atas segala maksiat mereka kerana mereka mencontohi apa yang kita buat dan mengikuti apa yang kita suruh. Tak payah tudunglah kak, tak cantik. Abang, bawalah girlfriend
datang rumah, ayah nak tengok. Bukan dihalang malah disuruh dan diajar anak-anak bermaksiat kepada Allah SWT.Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada manusia jalan kebaikan, baginya pahala sama seperti orang yang mengerjakan tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Barangsiapa yang menunjukkan jalan kesesatan maka dia mendapat dosa seperti dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Hadis Muslim)
Anak adalah harapan kita bila jasad menyatu dengan tanah, saat itu kita menunggu dia datang setiap pagi dan petang mengirim amal jariah yang tak putus-putus sampai hari kebangkitan. Berjuanglah untuk mendapatkan anak soleh walaupun hanya dengan satu kata terakhir sebelum nafas yang terakhir. Sesungguhnya nasihat itu tanda cinta paling agung!
**Artikel ini dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, yang juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.