Anak-Anak Suka Superhero, Layankan Saja.. Ada Sebab Mak Ayah Patut Biarkan Mereka Berimaginasi!

Share

Kebanyakan anak-anak lelaki pastinya sukakan watak superhero seperti Superman, Ultraman, Batman, Spiderman dan sebagainya. Sebagai mak ayah, layankan sahaja imaginasi anak-anak yang sukakan watak superhero ini dan jangan disekat minat dan imaginasi mereka.

Ini kerana perkembangan anak-anak memang unik dan istimewa.Daripada imaginasi tersebut ia mampu membentuk kreativiti yang mampu merangsang perkembangan dan cara mereka berfikir untuk mencapai cita-cita secara realiti.

Jemput baca perkongsian pengalaman Puan Lily Maznah Muas

ini sebagai panduan;

Imaginasi dan Realiti

Bila kita tanya anak kita, “Dah besar nak jadi apa?”, dan mereka menjawab “Ultraman” atau “Superman”, apa reaksi kebiasaan kita sebagai ibubapa?

Biasanya kita akan menjawab, “Tak best lah jadi Ultraman… Jadi doktor lah…” atau yang seumpamanya. Yelah, Ultraman bukannya betul pun… Buat apa nak layan imaginasi budak kan?

Saya ingin berkongsi kisah dua anak saudara saya, Azmir dan Izwan. Saya agak rapat dengan mereka kerana saya tinggal bersama mereka semasa belajar dan sebelum kahwin. Mereka amat meminati Ultraman dan Superman, sehinggakan semasa konsert tadika dan ada pertandingan kostum, mereka memilih untuk menjadi Ultraman dan Superman. Kostum yang direka khas dari Kuching oleh sedara mara di sana menjadi kebanggaan mereka.

Sebab Kanak-Kanak Suka Superhero

Kenapa kanak-kanak suka dengan “superhero” sebegini dan kenapa perlunya ada imaginasi sedemikian dalam seorang kanak-kanak?

Bagi mereka, superhero melambangkan kebaikan, seseorang yang membantu menegakkan kebenaran dan menghapuskan kejahatan. Mereka juga melihat melalui superhero tersebut, sebuah dunia di mana “anything is possible”, tiada batasan imaginasi. Oleh itu apabila kita menidakkan imaginasi mereka dengan cuba menggantikan dengan “realiti” (contoh – baik jadi doktor daripada Ultraman), kita menghadkan daya imaginasi dan kreativiti mereka.

Alhamdulillah, lebih 20 tahun setelah mereka berdiri di atas pentas sebagai Ultraman dan Superman, mereka sekarang adalah seorang juruterbang. Azmir,30 bersama Emirates dan Izwan,28 dengan Malaysia Airlines.

Ya, seperti Ultraman dan Superman, mereka pun boleh terbang.

Biarkan anak berimaginasi.

-Lily Maznah Muas

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, jangan sekat imaginasi anak-anak. Semoga dengan imaginasi tersebut, ia mendorong ke arah mencapai cita-cita yang lebih tinggi.

Sumber: Lily Maznah Muas

Published by
Suhaidah Abd Wahab