‘Anak-anak Ini Rapuh, Cepat Koyak..’ Ketahuilah Budak Sekolah Stress Itu Real

Share

Hakikatnya, memang berlaku keadaan ‘budak sekolah stress’. Guru Bimbingan dan Kaunseling, Abdul Muiez Ruslee berkongsi pengalaman berdepan pelajar yang berdepan permasalahan ini.

Kadangkala ibu ayah cuba menidakkan hakikat itu. Walhal, ianya benar-benar berlaku. Jangan nanti sudah terlambat baru nak menyesal.

Budak Sekolah Stress, Real Gais

Tadi, saya panggil seorang pelajar untuk buat saringan minda sihat PHQ-9 sesi dua. Pelajar ini dipanggil, sebab masa saringan pertama, keputusan dia teruk. Terutama soalan nombor sembilan.

PHQ-9 ni apa?

PHQ-9 khusus untuk menilai tanda-tanda atau simptom kemurungan.

Soalan nombor 9 dia tanya pasal apa?

Adakah anda berfikir, lebih baik mati atau lebih baik mencederakan diri sendiri.”

Siapa Murid Red Flag

Kalau kalian nak tahu, soalan nombor sembilan ni boleh dianggap sebagai bom jangka kepada para pelajar. Kalau mereka pilih skala dua atau tiga, iaitu seminggu atau setiap hari asyik berfikir tentang bunuh diri, murid ini akan dikategorikan sebagai red flag.
Selain daripada PHQ-9, murid-murid juga wajib jawab GAD-7.

Balik semula kepada cerita anak murid saya tadi. Bila tengok saringan kedua ini dia masih memilih skala 2, kami perlu buat sesuatu.

Boleh kongsikan tentang soalan nombor 9 ini?

Kalau cikgu nak tahu, bulan 10 hari itu, saya masuk hospital sebab overdose ambil ubat, cikgu.”

Haaaa, parah. Mana ada orang saja-saja overdose ambil ubat melainkan…..

Punca Budak Sekolah Ni Rapuh, Cepat Koyak..

Gais. Kemurungan, anxiety dan tekanan di kalangan anak-anak ni memang real gais.

Kita selalu cakap, anak-anak ni lembik, rapuh, tak kuat, cepat koyak dan macam-macam lagi label yang kita tepek dekat mereka. Tetapi, itulah mereka sebenarnya.

Mereka jadi begitu, disebabkan persekitaran yang mendidik mereka.

Semalam, kecoh cerita pasal ada murid yang stress sebab kerja sekolah banyak, lepastu tahu-tahu ada pentaksiran setara pula. Kita pun duk hentam budak tu beramai-ramai.
Saya bukan nak membela budak tu. Salah tetap salah. Juga bukan nak menyalahkan orang-orang dewasa ni.

Tapi, macam yang saya cakaplah. Persekitaran yang menjadikan mereka begitu.
Ramai yang bandingkan kehidupan mereka dahulu dengan ‘budak lembik’ ini.

Gais.

Dahulu, mak ayah kita kalau tak berduit pun, tapi kita bebas main waktu petang. Boleh main lastik, mandi sungai, naik basikal, lari-lari dekat padang. Kita gembira.

Cuba tengok budak-budak ni. Tambah pula duduk di bandar. Tinggal di rumah flat ada dua bilik. PdPR lagi. PKP pula. Tak boleh keluar ke mana-mana. Nak main pun tak boleh.

Adik beradik ramai. Rumah sempit. Mak marah-marah. Mana tak stress.

Situasinya tak sama.

Baca sini : Bawa van sekolah, tak boleh main turunkan kejar trip lain

Sebab Mak Selalu Membebel

Semalam ada seorang budak cerita. Dia stress sebab mak dia selalu membebel. Bagi kita, mak membebel tu biasalah, kan. Sebab bebelan emak itulah yang buatkan kita berjaya. Tetapi tidak bagi mereka.

Bila ditanya, macam mana dia uruskan situasi itu. Jawapannya mudah. Tidur siang, berjaga waktu malam. Masa itulah nak buat kerja sekolah, belajar dan buat apa yang patut. Tenang saja. Tanpa ada suara mak marah-marah.

Gais. Kalau anak-anak kita cakap mereka stress, percayalah, mereka betul-betul maksudkan apa yang mereka kata.

Sebagai ibu bayah, jangan kita labelkan mereka mengada-ngada dan sebagainya.

Sesekali, cuba duduk berdua dengan anak, teroka masalah mereka. Selami jiwa mereka. Kot-kotlah mereka nak bercerita.

Beberapa hari lepas, ada budak terjun dari tingkat empat. Saya percaya, masalah yang dia alami tu bukan sehari dua. Tapi dah lama. Makin disimpan makin parah. Akhirnya meletup.

Mak ayah, cikgu-cikgu pun tak dapat kesan awal masalah ini. Tahu-tahu dah terjun bangunan.

Saya tidak menyokong tindakan murid-murid dan tidak juga menyalahkan orang dewasa.

Kalau orang kata covid itu real, kesihatan mental juga real gais.

Sembanglah dengan anak-anak. InsyaAllah semoga ada jalannya.

Anak kita, nyawa kita. Iya, anak kita, cerminan ibu bapa. Anak kita, merekalah yang akan tarik kita ke syurga. InsyaAllah.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee

Published by
Netty Ah Hiyer