Satu hari yang memenatkan dengan tugasan yang perlu diselesaikan. Walaupun penat, namun ia memberi kesan yang cukup mendalam dan menerjah kalbu. Pagi semalam, saya dan teman seperjuangan perlu menjalani tugasan untuk menyelami hati warga tua. Kami bernasib baik kerana beberapa minggu sebelum ini telah berurusan dan berhubung dengan pihak berkenaan dan bersetuju dengan tarikh yang diberikan untuk tugasan ini.
Sebaik kaki melangkah ke rumah orang tua yang terletak di Seri Kenangan Cheras, hati rasa sebak melihat orang-orang tua yang sebaya dengan ayah saya. Tertanya-tanya macam mana mereka datang ke sini? Dihantar oleh anak-anak, saudara mara atau datang untuk tinggal di sini dengan kerelaan hati.
Malahan, dalam masa beberapa jam di situ, saya sempat menemu ramah beberapa orang warga tua tentang kisah mereka. Ayat di susun dan ucapan maaf diberikan agar perkataan yang terkeluar nanti tidak menyinggung perasaan mereka. Alhamdulillah, warga tua di situ cukup ceria dan katanya seronok tinggal di sini.
Saya tidaklah menemu ramah dengan semua penghuni di situ. Tetapi dari apa yang saya peroleh dari beberapa orang warga tua di sana, kebanyakan mereka mempunyai seorang anak, anak tunggal dan ada yang tidak mempunyai zuriat. Mereka datang atas kerelaan hati dan tidak mahu menyusahkan anak-anak dan saudara.
Bagi mereka, di tempat ini sesuai untuk mereka. Segala keperluan diberikan secukupnya dan jika sakit atau kurang sihat, ada orang yang datang untuk merawat. Itulah yang keluar dari mulut mereka. Namun, jauh di sudut hati, tentu ada rasa kesunyian, tambah-tambah lagi bila duduk sendirian. Cuma untuk mengubat rasa sunyi dan kerinduan adalah dengan memenuhi segala aktiviti yang ada di situ dan kawan-kawan seangkatan yang boleh berkongsi rasa dan perasaan.
Usai di rumah orang tua, saya perlu menghadiri satu lagi tugasan, tidak jauh hanya di Shah Alam sahaja. Namun, kata-kata nasihat yang diberikan oleh ustaz itu mungkin berkait rapat dengan apa yang saya hadiri pada pagi tadi.
Kata ustaz itu, hargai ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Telefon dan bertanya khabar, jika kita berada jauh di mata mereka. Malah, amat beruntung bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa. Inilah masanya untuk kita membalas segala jasa yang telah orang tua korbankan untuk selama kita membesar.
Alhamdulillah, saya masih mempunyai seorang ayah dan ibu saya meninggal semasa saya berusia 8 tahun. Masa itu, saya masih kecil, apatah lagi adik-adik di bawah saya. Walau bagaimanapun, saya beruntung kerana mempunyai seorang ibu tiri yang menjaga kami adik-beradik dengan cukup baik. Malah, dialah yang menjaga saya ketika saya berpantang untuk kelima-lima anak yang saya lahirkan.
Terima kasih ayah dan moksu kerana membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Moga Allah memberikan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dunia akhir