Allahyarham Tun Syed Nasir Tokoh Agamawan, Beruntungnya Sharifah Bahaiyah Diberi Ilmu Pembelajaran Yang Baik

Share

Allahyarham Tun Syed Nasir Al-Syahab merupakan seorang tokoh yang sangat terkenal. Dalam bidang keagamaan pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa pusat Musabaqah al-Quran peringkat Kebangsaan dan antarabangsa sebanyak 15 kali. Di samping merupakan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah dan Presiden Mubalig Islam.

Allahyarham Tun Syed Nasir Al-Syahab

Malah beliau juga memegang jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang disandang mulai Januari 1978 sehingga ke akhir hayatnya iaitu pada 16 Mac 1982. Beliau meninggal dunia pada tahun 1982. Makam beliau terletak di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara Kuala Lumpur. Mengimbau kembali sejarah pada waktu itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menyifatkan pemergiaan Allahyarham merupakan satu kehilangan dan sukar dicari ganti. Tun Syed Nasir juga merupakan seorang Tokoh Pejuang Bahasa Kebangsaan dan merupakan seorang Speaker yang adil. Selain itu, beliau juga merupakan seorang pendakwah yang gigih.

Penulis berasa sangat beruntung dapat menemubual salah seorang anak dan cucu kepada Allahyarham Tun Syed Nasir iaitu Puan Sharifah Bahaiyah Tun Syed Nasir Al-Syahab dan juga Sharifah Nadia Syed Ibrahim Al-Habshi, 40.

Sharifah Bahaiyah merupakan anak keempat dan kini tinggal di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, suaminya pula Syed Ibrahim Syed Agil Al-Habshi. Mempunyai tiga orang anak Almarhumah Sharifah Nurulhuda, Sharifah Nadiah dan Sharifah Nasirah. Ketiga-tiga anaknya berjaya dalam agama dan menghafaz al-Quran.

Sharifah Bahaiyah

“Saya sangat beruntung kerana arwah ayah merupakan seorang yang sangat displin. Sejak kecil kami diberikan ilmu agama dan pembelajaran yang baik. Malah arwah anak sulung (Sharifah Nurulhuda) yang juga cucu sulung mengikut jejak langkah arwah ayah di mana sepanjang hayatnya kuat bekerja. Malah arwah anak saya juga bersungguh-sungguh dalam agama sebelum dia meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia, 42 tahun, dia sudah membuka sebuah sekolah agama iaitu Maahad Tahfiz Al-Aqsa dan kemudiannya sebuah lagi usahanya untuk membuka sekolah agama direalisasikan oleh keluarga.

“Saya sering teringat akan kata-kata arwah di mana dia mahu kejayaannya sebagai bekalan bukan sahaja untuk hidup di dunia tetapi di akhirat kelak. Malah dua orang anak arwah Nurulhuda juga alhamdulillah kini sedang menuntut di Maahad Tahfiz Al-Aqsa iaitu Syed Muhammad Ahmad dan Syed Muhammad Mustofo.

“Selain arwah anak, arwah ayah yang juga seorang tokoh negarawan dan Almarhumah ibu, Toh Puan Sharifah Aisyah Al-Habshi juga merupakan seorang yang sangat mementingkan agama. Malah saya masih ingat lagi kata-kata hikmah yang selalu dipegang “Jangan bagi aku kekayaan, kalau kekayaan itu buat aku lupa padamu”.

“Semasa arwah ibu masih ada, saya sering mengikutinya ke kelas-kelas agama dan mendengar syarahan. Kami juga sering ke kelas Fardu Ain dan belajar mengaji. Malah arwah ibu dan juga ayah minat berzanji. Malah saya dan anak-anak dan cucu juga ada kumpulan berzanji dan kami pernah djemput untuk berzanji di rumah Toh Puan Raha (yang juga merupakan rakan baik arwah ibu). Saya sangat bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya berjaya dalam agama dan merupakan Hufaz Al-Quran,”ujar Shariah Bahaiyah yang cukup peramah.

Gambar kenangan Datuk (Tun Syed Nasir) dan Nenek (Toh Puan Sharifah Aisyah)

Menarik Lagi : Keisha ‘Dah Nak Masuk’ Al-Quran, Nabila Huda Terharu Dengan Pencapaian Anak

Fouziah Gous Kongsi Tip Dua Kali Khatam Al-Quran Sepanjang Ramadan

Buka Kelas al-Quran

Anak kedua, Sharifah Bahaiyah iaitu Sharifah Nadiah pula menceritakan dirinya mendapat pengalaman mengenal huruf dan mengaji dari zaman kanak-kanak daripada ibunya sendiri yang juga seorang guru al-Quran.

Sharifah Nadiah bersama anak-anak didiknya

“Saya beruntung kerana ibu seorang guru al-Quran di sekolah dan saya pelajari ilmu mengalunkan taranum daripada arwah kakak saya Sharifah Nurulhuda. Mereka semua menitik beratkan sebutan huruf-huruf Hijaiyyah dengan tepat. Saya juga mendapat bimbingan dan semangat daripada Almarhum Tun Syed Nasir Al-dan Almarhumah Tokmi saya iaitu Toh Puan Sharifah Aisyah Al-Habshi yang turut melatih saya mengaji dan berzanji. Pada saya al-Quran dapat mengubah cara hidup saya dgn memberi ketenangan jiwa, penyelesai segala masalah kerana menjadikan al-Quran panduan hidup dalam setiap urusan dan juga penawar segala penyakit.

“Juga memberi keyakinan diri kerana pernah menyertai Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah Rendah dan Menengah sehingga ke peringkat Kebangsaan, tempat Ketiga Peringkat Negeri Pulau Pinang (Peringkat Dewasa) dan Johan Kanak-Kanak Peringkat Angkatan Tentera. Sekarang ini saya mencurahkan ilmu dengan membuka kelas-kelas pengajian al -Quran di rumah, kelas pengajian untuk muslimat dewasa, kelas al-Quran untuk kanak-kanak dan pekerja-pekerja di pejabat suami di Alhaddad Manufacturing.

“Dalam masa yang sama, saya juga masih menuntut ilmu-ilmu al- Quran daripada guru-gurudan mendalami terjemahan al-Quran secara harfiyah (perkata). Saya mendapat keizinan dan sokongan penuh daripada suami tercinta untuk terus belajar dan mengajar al-Quran hingga ke akhir hayat. Kami suami isteri juga menanamkan rasa kecintaan al-Quran terhadap anak-anak agar mereka juga menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup. Saya juga menyertai kumpulan ODOJ(ONE DAY ONE JUZUK) yang disertai oleh 30 orang seluruh Malaysia dan perlu melapor setiap hari mengikut masa yang ditetapkan.

“Kumpulan ODOJ ini diasaskan oleh Almarhumah kakak saya (seorang hafizah). Ini menjadikan hidup saya lebih berdisiplin dan Allah mengatur masa dan hidup saya dengan lebih sempurna,” yang menyatakan surah yang paling dekat dengan dirinya ialah surah Al- Baqarah kerana terlalu banyak intipati dan pengajaran mengajarkan erti kehidupan sebagai seorang muslim sejati.

Sedapnya sambal belacan ni, makan dengan nasi panas terus terangkat!

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita

Published by
Norhayati Suboh