Anak-Anak Baru Nak Belajar Puasa, Ini Yang Mak Ayah Boleh Bantu Mereka

Share

Ramadhan datang lagi. Hadirnya memberi 1001 erti. Kedatangan bulan seribu rahmat ini hadirnya bersama limpahan pahala dan syafaat. Pastinya insan bernama ibu, antara sosok terpaling sibuk terutamanya waktu sahur dan juga sebelum iftar.

Pengalaman berpuasa dengan anak-anak pastinya menjadi memori manis yang sukar dilupakan. Mendidik mereka memahami dan mempraktikkan amalan berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam ketiga yang wajib diamalkan.

Buat si kecil yang tergolong dalam kelompok mumaiyiz (yang boleh membezakan perkara baik dan buruk) mereka juga sudah boleh belajar berpuasa. Berikut adalah langkah mudah yang boleh dilakukan dalam mendidik anak-anak ini belajar berpuasa.

1. Puasa dan tak boleh makan
Mereka mungkin menganggap puasa itu maknanya ‘tak boleh makan apa-apa pun’. Ada juga si kecil yang memahami, puasa tak boleh makan, tapi boleh minum susu atau air sahaja. Ada juga yang puasa hanya separuh hari dan berbuka puasa apabila tiba waktu Zohor.

Dalam situasi tertentu, ada anak kecil yang menyatakan puasa itu hanya pada waktu siang, dan boleh makan pada waktu malamnya sepanjang bulan puasa.
Buat ibu bapa jelaskan kepada anak-anak dengan bahasa yang mudah. Puasa itu wajib bagi orang Islam. Tetapi untuk kanak-kanak yang baru belajar, ibu bapa digalakkan untuk bertolak ansur, tidak terlalu berkeras malah memberi mereka waktu untuk berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.

2. Berpuasa dan solat itu wajib
Terangkan kepada anak kecil, solat itu wajib. Apa guna berpuasa, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak menunaikan solat. Maka sia-sia sajalah perbuatan berpuasa itu tanpa solat. Untuk menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang baik, jadikan anda sebagai contoh kepada anak-anak. Caranya dengan solat secara berjemaah dan sama-sama mengajar mereka berpuasa.

3. Fahami mereka yang susah
Mungkin mereka masih kecil, tetapi mereka juga sudah mula memahami perkara kecil yang bakal menjadi jati diri mereka suatu hari nanti. Maklumkan kepada mereka, di luar sana masih ada anak-anak yang sebaya mereka, tidak makan dalam tempoh tertentu. Kerana kemiskinan dan peperangan, anak-anak ini jarang menikmati makanan yang enak. Ada masanya mereka terpaksa tidur sambil menahan kelaparan.

Ajar anak anda mensyukuri dan menghargai makanan yang ada. Jangan membiasakan anak dengan sifat terlalu cerewet ataupun memilih makanan. Jelaskan kepada mereka, pastinya anak-anak yang kelaparan di luar sana akan menghargai apa yang mereka makan…sekalipun diberikan separuh epal. Pendek kata, ajar mereka mensyukuri tiap rezeki yang ada.

4. Jangan membazir
Elakkan menjadikan Ramadhan sebagai bulan pembaziran. Sebaiknya rancang menu yang mudah, berkhasiat dan tidak menggunakan bahan yang terlalu banyak. Kurangkan kekerapan ke bazar Ramadhan kerana biasanya kita akan membeli tanpa berfikir panjang terutamanya ketika perut lapar. Inilah masanya anda boleh mengasah skil masakan dengan mengajak anak anda sama-sama menyediakan menu ringkas untuk dinikmati ketika iftar.

5. Sediakan juadah kegemaran anak-anak
Bagi membuatkan mereka rasa dihargai, sesekali hargai usaha mereka belajar berpuasa dengan menyediakan juadah kegemaran mereka. Pastinya mereka akan teruja dan kurang merungut.

6. Waktu puasa ikut kemampuan anak-anak
Jangan terlalu memaksa dan berkeras dengan anak-anak terutamanya yang baru belajar berpuasa. Mulakan dengan puasa separuh hari, kemudian tambahkan masa kepada beberapa jam lagi dan seterusnya berpuasa sehingga waktu iftar.

Lazimnya dalam keadaan tidak bertenaga, anak-anak ini akan merengek dan merayu untuk berbuka puasa lebih awal. Beri mereka ruang untuk berehat ataupun menonton televisyen bagi melekakan mereka seketika. Pesan juga kepada anak-anak,ketika berbuka puasa makanlah dengan tertib. Jangan gelojoh dan makan ikut kemampuan.

7. Jangan skip sahur
Buat permulaan, mungkin ada diantara anak-anak yang akan kembali tidur ataupun merungut apabila dikejutkan untuk bersahur. Maklumkan kepada mereka apa akibatnya jika mereka tidak bersahur. Puasa mereka tidak akan diterima sekiranya tidak disertai dengan niat berpuasa. Bersahur juga merupakan ruang waktu untuk mereka makan bagi membekalkan mereka tenaga sepanjang tempoh berpuasa. Sediakan makanan yang tinggi kandungan karbohidrat bagi memastikan anak-anak ini kekal bertenaga.

8. Puji anak
Sekiranya mereka mampu bertahan dan menyempurnakan puasa sebaiknya. Jangan lokek untuk menghargai usaha anak-anak ini dengan pujian. Ada anak-anak yang walaupun baru berusia enam tahun, sudah mampu berpuasa penuh dalam tempoh sebulan berpuasa.

Nyatakan kepada mereka perasaan bangga anda terhadap usaha mereka. Ingatkan kepada mereka, pentingnya melaksanakan ibadah berpuasa ini sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ada anak-anak yang mengharapkan imbuhan berupa wang raya sebagai saguhati kerana berjaya berpuasa selama 30 hari. Sesekali apa salahnya. Tetapi elakkan menggunakan pendekatan serupa dalam hal lain bagi mengelakkan anak tidak ikhlas melakukannya.

9. Didik mereka ringan tulang
Berpuasa bukan bermakna hanya tidur dan berehat. Sebaiknya didik mereka untuk ringan tulang sejak kecil. Libatkan mereka dengan aktiviti penyediaan memasak. Jika tidak, libatkan mereka ketika sesi menghidangkan makanan. Ajak mereka membantu ibu dan ayah sama-sama menyediakan pinggan, sudu, garfu dan juga cawan sebelum berbuka.

Memang keadaan akan jadi sedikit kusut, tetapi percayalah usaha ini akan membuatkan mereka lebih sabar, teratur dan terbiasa dengan rutin ini. Makanlah bersama-sama dengan dimulakan dengan doa berbuka puasa. Usai makan, ajar anak-anak untuk sama-sama membersihkan meja makan. Jangan jadikan alasan mereka kecil lagi, kerana sejak dari kecillah mereka perlu dididik sebaiknya.

Published by
Mastura Burhanuddin