“Demi anak-anak saudara, saya ambil tanggungjawab ini,”-Kaka Azraff.
Penyanyi Kaka Azraff ternyata masih terkesan dengan pemergian mengejut kakaknya, Noor Afida Noor Azraff, 39, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman empat hari sebelum menjelangnya Ramadan tahun ini.
“Arwah kakak demam lebih daripada dua minggu dan jangkitan kuman telah sampai ke otak. Pemergiannya sangat mengejut.
“Jadi, sekarang saya bersama adik membuat keputusan membesarkan anak saudara bersama-sama kerana bapa mereka sibuk bekerja.
Tambah Kaka, apa yang membuatkan hatinya sayu adalah kakaknya meninggalkan empat orang anak yang masih kecil berusia antara 3 sehingga 14 tahun. Sebagai ibu saudara, Kaka sememangnya rapat dengan anak-anak saudaranya dan memberi sepenuh kasih sayang terhadap mereka yang merindui ibu mereka.
“Alhamdulillah, suami saya pun mengizinkan dan bersama-sama mahu membesarkan mereka. Anak arwah memang rapat dengan saya dan sudah anggap seperti anak sendiri,” Kaka Azraff.
Kehilangan ahli keluarga sememangnya memberi kesan yang mendalam terhadap Kaka apatah lagi emosinya masih belum stabil dengan pemergian ibu tersayang, Redida Aziz yang meninggal dunia pada 7 Mei tahun lalu akibat serangan jantung. Pemergian mengejut kakaknya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik pada 8 Mac lalu turut menambah duka di hatinya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :https://www.mingguanwanita.my/2-helikopter-terhempas-ketika-raptai-di-pangkalan-tldm-lumut/
“Emosi saya masih belum stabil, bila bercakap tentang arwah kakak air mata saya laju keluar saya tidak boleh kawal. Itu antara sebab mengapa saya tidak aktif dalam media sosial sekarang ini. Saya bersyukur saya memiliki sokongan yang kuat daripada keluarga dan orang sekeliling.
Tambah Kaka lagi, dirinya kini bukan sahaja bekerja untuk keperluan diri dan keluarga kecilnya, malah rezeki turut dikongsi untuk anak-anak arwah kakaknya.
“Aturan Allah sangat cantik, sekarang apabila bergerak sendiri rezeki semakin banyak dan ada lebih banyak masa bersama keluarga,” luah Kaka.
“Sejujurnya saya hanya kuat kerana suami, anak-anak dan anak arwah kakak.
“Jadi, suka atau tidak saya paksa diri untuk beraya supaya mereka juga ada kenangan,” kongsi Kaka dengan linangan air mata.
Bercerita mengenai karier seni, Kaka turut terlibat dalam program The Hardest Singing Show. Program berkenaan bakal menyaksikan Kaka akan berentap dengan lapan penyanyi popular tanah air iaitu Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi, De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
The Hardest Singing Show akan mula ditayangkan pada12 Mei, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran 104).
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE