Kalau sudah namanya perempuan mestilah merajuk. Itu perkara biasa dalam kehidupan insan yang bergelar golongan Hawa. Jika tidak dengan kekasih, merajuk dengan suami atau pun dengan teman-teman.

Merajuk tanda protes perempuan apabila mereka tidak suka mengenai sesuatu perkara. Ia bantahan secara ‘lembut’ namun menusuk sehingga ke kalbu orang yang dirajuk. Ada pelbagai cara merajuk, ada yang bermasam muka, mendiamkan diri dan tidak kurang juga menangis. Lebih parah, bagi yang tekad mereka membawa diri.

Mahukan Perhatian Suami

Secara personal, dalam kehidupan berumah tangga saya merasakan tidak ada salahnya jika sekali sekala kita merajuk. Bukan sahaja tanda protes malah ia juga sebagai isyarat kepada pasangan agar lebih peka dan mengambil berat. Senang cakap, merajuk seorang isteri kerana mahukan perhatian dan bermanja dengan suami.

Banyak sebab isteri merajuk, antaranya suami pulang lewat dan lupa ulang tahun perkahwinan. Dari sekecil-kecil perkara sampai kepada isu yang besar, biasanya wanita akan merajuk apabila perasaan mereka terluka.

IKLAN

Wajib Pujuk

Dalam situasi ini, encik suami kenalah main peranan. Untuk jernihkan keadaan, jangan cari siapa yang salah. Sebaliknya, buang yang keruh ke tepi. Pujuklah isteri dengan penuh kasih sayang dan paling penting ikhlas.

Si isteri pula jika suami sudah pujuk, jangan pula jual mahal. Suami sudah rendahkan egonya untuk memujuk dan menjaga hati isteri demi kebahagiaan. Jadi isteri berilah tindak balas yang positif.

IKLAN

Makan Hati Muka Cepat Tua

Jangan biarkan rajuk berpanjangan rugi tau. Makan hati, cepat tua. Tidak perlulah sampai berhari-hari hanya kerana tidak berpuas hati. Pujuklah diri memaafkan kesilapan suami. Ingat! Suami pun ada egonya. Jika sudah puas dipujuk, isteri masih lagi keras macam batu. Memang suami boleh hilang sabar dan naik angin. Sudahnya rajuk manja menjadi masalah yang besar dalam rumah tangga.

IKLAN

Jadi fikir-fikirkan lah wahai isteri. Satu lagi, saya nak pesan jika merajuk janganlah kerap sangat dan berpanjangan. Jika sesekali, suami akan memujuk dan menuruti kehendak kita tapi jika keterlaluan suami pun boleh jelak.

Sabar suami ada batasnya, jadi jangan menduga sangat ya. Sekadar berpesan kepada diri dan insan bernama isteri. Semoga coretan ringkas ini menjadi peringatan buat kita.

Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang Semua.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI