“Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin.” Lelaki redha jaga isteri lumpuh, empat anak OKU.
Sesungguhnya berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun itulah takdir yang perlu diterima lelaki ini apabila isteri yang disayangi lumpuh dan kini hanya bergantung harap padanya seorang.
“Saya reda dan amanah ini akan dipikul dengan sebaik mungkin,” kata seorang lelaki yang tetap tabah menjaga isteri dan empat anak lelaki orang kurang upaya (OKU).
Jumahir Masun, 52, berkata empat daripada lima anaknya berusia 16 hingga 25 tahun tidak boleh berjalan sejak berusia satu tahun.
“Anak-anak saya tidak membesar seperti kanak-kanak lain, dulu saya dapat berkongsi tugas mencabar ini dengan isteri, Rohayati Abdullah, 50.
“Namun, kini tugas itu digalas sendirian selepas isteri tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun lalu,” katanya di Felda Kertih 6, Dungun, Terengganu.
Menurutnya, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya terlantar di atas katil sepanjang masa.
Katanya, sementara Ahmad Ariffin, 23, Ahmad Zainuddin, 17, dan Ahmad Budiman, 16, pula mengalami masalah sendi tangan serta kaki menyebabkan mereka tidak boleh duduk dengan betul.
“Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital untuk rawatan dan terapi tetapi atas sebab masalah pengangkutan kerana tiada kereta menyebabkan mereka tidak dibawa lagi ke hospital.
“Keempat-empat anak dan isteri terpaksa memakai lampin pakai buang dan itu membuatkan saya terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos berkenaan,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit dan kini terpaksa berhenti kerja sejak isterinya lumpuh.
“Isteri dan anak-anak memang memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuhnya termasuk menguruskan diri mereka.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan dalam hati ini saya menangis memikirkan keadaan saya dan mereka,” katanya.
Artikel Berkaitan:
Jaga Suami Sakit Kena BANYAK SABAR, Sentiasa Beri Sokongan Dan SEMANGAT!
Isteri Berpantang Bersalin, Sakit Letihnya.. Suamilah Kena Jaga, Bukan Lepas Tangan
Masih Ramai Suami Mithali, Sanggup Jaga Isteri Sakit
Jumahir berkata, dia tetap bersyukur apabila setiap anaknya diberi bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan itu saya perlu berjimat-cermat untuk perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.
“Duit bantuan itu juga digunakan untuk anak ketiga, Nor Hanisa, 20, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperolehinya perlu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku-buku pelajaran,” katanya.
Katanya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dengan menghulurkan makanan.
“Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib dan tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya umur saya tidak panjang, “katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mak ayah yang ingin menghulurkan bantuan buat keluarga ini, boleh menghubungi Jumahir di talian 0145401915. Semoga keluarga ini terus tabah dan kuat menharungi dugaan yang berat ini.
Sumber : myMetro
Mingguan Wanita boleh diikuti di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini: https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita