“Amalkan Zikir Ini Setiap Hari, Bantu Kita CEPAT REDA & ‘MOVE ON’”. Bagi mereka yang menghadapi masalah terutamanya rumah tangga Ustazah Asma’ Harun memberi tip agar amalkan zikir ajaran Rasulullah SAW.
Jelasnya seperti mana yang dikongsi di akaun Facebook miliknya, bagi menghilangkan segala resah gelisah, buntu bagaikan tiada arah, jadikan zikir ini sebagai sahabat paling rapat.
InsyaAllah hati kita akan terasa sangat lapang dan tenteram.
“Amalkan Zikir Ini Setiap Hari”
Kita semua pasti pernah mengalami hari yang sukar. Kereta rosak, anak sakit, tiada air berhari-hari, dibebani hutang, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan pelbagai lagi cabaran hidup.
Pada saat itu, emosi pasti terganggu bagaikan mengalami cuaca panas terik. Allah mengajar kita, penyejuknya adalah dengan beristighfar.
Tip dari Ustazah ini sangatlah berguna buat amalan kita semua;
“AMALKAN ZIKIR INI SETIAP HARI UNTUK BANTU KITA CEPAT REDHA & ‘MOVE ON’
“Tiada yang boleh memandu kehidupan kita dengan cara terbaik termasuk diri kita sendiri kecuali Allah SWT. Dialah yang Maha Mengetahui apa yang baik dan buruk, dengan siapa kita patut berjumpa atau tidak berjumpa, peroleh apa yang kita dapat serta apa yang tak dapat. Semua ini kerana Allah Maha Penyayang kepada kita, subhanAllah.
“Kadang sesuatu peristiwa berlaku dalam hidup kita membuatkan hati susah untuk melupakan, memaafkan atau “move on”. Rasa menyesal dengan percakapan atau perbuatan sendiri, disakiti orang lain, hati rasa remuk bagaikan dihenyak tanpa belas kasihan. Kita terus terperangkap dalam masa silam yang akhirnya menyesakkan dada, melemahkan semangat sehingga segala pekerjaan tergendala.
“Memaafkan orang mungkin melegakan hati mereka, tetapi hati yang luka mungkin sukar untuk lupa. Kita tidak memaafkan diri sendiri sampai rasa terseksa, akhirnya dibawa sampai ke tidur pun tak nyenyak sedangkan itulah waktu berehat, makan juga hilang rasa enak sedangkan itulah saat yang penuh nikmat.
“Maka untuk hilangkan segala resah gelisah, buntu bagaikan tiada arah, jadikan zikir ini sebagai sahabat paling rapat, insyaAllah hati kita terasa sangat lapang dan tenteram. Bacalah 3 kali di awal pagi sebagai permulaan hari, 3 kali di waktu petang atau malam sebelum pejamkan mata.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا حِينَ يُمْسِي ثَلَاثًا وَحِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثًا كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُرْضِيَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Siapa yang menyebutkan: “Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad sebagai Nabiku.” Sebanyak tiga kali di waktu petang dan tiga kali di waktu pagi, maka wajib bagi Allah untuk meredhainya pada hari kiamat.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
“Sifat orang mukmin itu sentiasa redha dengan ujian Allah, sekalipun terhadap keburukan dirinya sendiri. Dia tidak jemu meminta maaf, berjaya memaafkan dan move on berkali-kali, sehingga dia dapat menikmati kehidupan sepenuhnya bersama keluarga tercinta.
“Mungkin kita anggap meredhai ketentuan Ilahi itu kecil, tapi sebenarnya tidak sahabat sekalian. Sebab itu Rasulullah SAW ajarkan kepada kita zikir ini supaya lidah yang menyebutkan perkataan “redha” seiring dengan hati yang turut melafazkan, Allahu Akbar.
“Sebenarnya tidak ada yang menghalang kita untuk hafal dan lazimi zikir yang ringkas ini kecuali syaitan terus berbisik kepadanya supaya kita bermalasan dan bertangguh. Akhirnya nafsu yang terus disuap dengan keselesaan membuatkan kita langsung tidak beramal dengannya. Na’uzubillah. Kesungguhan kita beramal itu pasti Allah SWT nilai lalu memberikan kita jalan keluar daripada terus dihimpit masalah.
“Saya doakan semoga semua yang sedang diuji sehingga terasa beban berat di bahu diangkat segala kesulitan dan dikurniakan hati yang tenang tenteram asbab beramal dengan zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW,” kongsi Ustazah Asma’ binti Harun.
Baca Disini : Pilihan Suami Ustazah ASMA HARUN “Peringkat Awal Mak Ayah Tak Setuju”
Sumber / Sumber Foto : Facebook Ustazah Asma’ Harun
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI