Amalkan tiga perkara yang akan dikongsikan ini. Wahai isteri, memang alam rumah tangga tak seindah yang diimpikan. Banyak liku-liku yang harus ditempoh. Tak semua pasangan ditakdirkan bahagia pada awal perkahwinan, ramai yang terpaksa bersabar. Bahkan pada hari akad nikah sudah pun diuji dengan karenah pasangan atau keluarganya yang menyakitkan hati.
Diuji Sikap Suami
Lebih malang lagi jika suami sendiri berubah hati, ada yang diuji dengan layanan suami yang kurang prihatin. Dalam keadaan mengandung isteri jarang disentuh, abaikan keluhan isteri, tak dipedulikan apabila mengadu sakit. Jika sudah beranak ramai, biasalah kena tengking, dimarah jika meminta itu ini, suami pentingkan kawan, mula berkasar, berkira lagi kedekut dan perangai-perangai yang tak pernah isteri jangkakan.
Bagi para isteri yang masih terkejut dengan alam rumah tangga yang baru dilayari, seelok-eloknya mereka memiliki bekalan yang cukup untuk mengharungi dunia baru ini di sisi suami.
Di antara bekalan-bekalan yang mesti dibawa dalam perjalanan anda setiap hari adalah:
1.SEMANGAT SUBUH
Seorang isteri yang bangun seawal subuh rasa letih tak tertahan kerana beban semalam masih terasa sakitnya, begitulah jihad isteri dalam urusan anak-anak dan suami. Namun begitu ada satu tonik yang akan melonjakkan tenaganya zahir dan batin.
Wanita ini merindui subuh kerana Allah berjanji menjaganya sepanjang hari, sebagaimana sabda Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang solat subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, janganlah menyakiti orang yang solat subuh tanpa jalan yang benar. Jika tidak, Allah akan menyiksanya dengan menelungkupkannya di atas wajahnya dalam neraka jahannam.” (HR. Muslim no. 657)
Jika diuji oleh perangai anak-anak, suami dan rakan-rakan, dia akan cepat beringat untuk mengawal dirinya kerana bekas-bekas solat itu masih melekat dalam minda dan jiwa. Betapa solat subuh itu tonik terbaik bagi seorang isteri mengawali harinya.
2.AMALKAN MENGAMBIL HATI ORANG LAIN, ITU UBAT HATI
Bila hati sakit seolah-olah semua jalan sudah tertutup, hidup jadi sempit, susah nak bersyukur akhirnya tersungkur dalam kemarahan dan tangisan. Nasib baik bila kita cepat bangkit, kembali mengumpulkan kepingan-kepingan hati yang pecah berselerak, kita kutip dan lekatkan semula dengan bacaan Al-Quran, zikir dan istighfar.
Kita sapu debu-debu yang mengotorkan hati dengan melihat kesengsaraan orang lain kemudian cuba bersyukur membandingkan dengan kesedihan kita yang tidak seberapa.
Jalan Terbaik…
Bukan mudah mengubat hati yang sakit, apatah lagi jika puncanya selalu berada di depan mata. Tidak ada jalan lain selain cuba mengubat hati orang itu agar dia tidak menyakiti hati kita lagi. Anak misalnya, mahu tak mahu kita kena hadap karenah mereka hari-hari begitu juga suami. Orang-orang di sekeliling dan mereka yang secara langsung bergaul dengan kita adalah punca masalah dalam hati kita.
Oleh itu kita tak boleh hanya mengubat hati sendiri dan melupakan hati mereka. Jika kita cepat sembuh mereka pula tetap sakit sehinggakan menimbulkan masalah kepada kita. Sebaik-baik jalan adalah bersama-sama mengubat hati, ambil hati mereka dahulu bersamaan dengan itu cuba baiki hati sendiri.
Ads
Memang Tak Mudah
Caranya memang susah; apa yang kita mahu orang lain melayan kita begitulah kita mesti melayan mereka. Kita mahu dihormati mestilah menghormati, mahu didengarkan mesti bersedia mendengarkan, mahu dipujuk harus berani memujuk, mahu dihargai wajiblah menghargai, mahu dipuji jangan pula kedekut memuji, mahu dirindui jangan malu berkata kita merindui.
Memang tak semua orang membalas kebaikan dengan kebaikan juga tetapi sekurang-kurangnya kita cuba dan serahkan kepada Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati. “Dan sesungguhnya kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..” (surah qaf ayat: 16)
Jika kita tanya pada pasangan warga tua, mereka nampak bahagia tapi sebenarnya senyuman itu tercipta setelah berpuluh tahun berjuang bersama!
3.AMALKAN MENUTUP HARI DENGAN JIWA YANG IKHLAS
Wanita yang keletihan dengan amanah yang dipikul sepanjang hari dinasihatkan menutup harinya dengan menyerahkan segala usahanya itu kepada Allah untuk dinilai. Mengapa anda rasa sangat tidak puas hati kepada suami hari ini?
Kerana anda masih mengharapkan ganjaran daripada suami padahal ganjaran dari Allah itu lebih besar. Oleh sebab itu isteri sentiasa berasa tidak reda kepada suami kerana dengan Allah dia belum reda.
Jika di penghujung malam seorang wanita masih menangisi dirinya atas kelemahan suaminya, dia akan terus disiksa oleh keluhannya sendiri kerana dia tidak membuka pintu redanya kepada Allah.
Bulan ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dan anugerah daripada yang Maha Esa. Setiap amalan dapat dilipat gandakan lagi ganjaran yang hanya dapat diperolehi didalam bulan ini. Berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan dapat menghapuskan dosa-dosa terdahulu malah turut diberikan dengan nikmat kebahagiaan yang tiada tandingannya.
Dari Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah (R.A) berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Allah ‘azza wajalla telah berfirman;
“Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang.Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa.’
“Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya.Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi.”
“Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya.”
(HR Muslim No: 1944) Status: Hadis Sahih
Pengajaran daripada Hadis ini;
1. Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.
2. Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta melaksanakan sesuatu yang diperintah.
3. Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kotor, lucah dan buruk serta hina.
4. Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.
5. Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.
6. Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:
a. Gembira ketika berbuka puasa.
b. Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya.
Sementara itu, berpuasa di bulan ramadan yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan juga dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”.
HR Bukhari No: 37. Status: Hadis Sahih
Semoga Perkongsian ini bermanfaat!
MW: Semoga Ramadan pada tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal soleh yang bertambah. Berusahalah dalam melakukan amalan terbaik sepanjang bulan ini dan andaikan bahawa Ramadan tahun ini terakhir buat kita.
Sumber: Telegram Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berpendapat hubungan yang baik dan erat antara ibu bapa dan anak amatlah penting untuk menyempurnakan proses ‘taujih’ (pendidikan), ‘tasbit’ (pengukuhan) dan ‘himayah’ (perlindungan).
“Menurut Imam Al-Ghazali, setiap bentuk pendidikan perlulah melalui 3 fasa utama tersebut. Proses tersebut amat penting supaya ibu bapa tidak melepaskan tanggungjawab sebagai pendidik, penguat dan pelindung anak-anak.
Didik Anak-Anak Menjadi Anak Soleh & Solehah
”Hari ini, ramai ibu bapa yang menuntut hak untuk menghukum anak-anak, termasuk merotan dengan alasan untuk mendidik. Namun tidak ramai yang bermuhasabah sama ada mereka telah menyempurnakan hak anak-anak, iaitu hak untuk dibimbing, diberi pengukuhan dan tempoh masa yang sesuai untuk menjadi anak yang soleh dan solehah sebelum dihukum jika mereka melakukan kesilapan.
“Sebab itulah, jika anak-anak kita mempunyai agama yang hidup, kita tidak perlu bimbang dengan apa jua cabaran dalam dunia hari ini kerana mereka akan dilindungi oleh disiplin agamanya,” katanya.
Ibu Hamil Selalulah Berdoa
Dr. Nik Salida juga menyatakan dari sudut pandang agama, proses pendidikan anak-anak sebenarnya bermula seawal dari mereka berada dalam kandungan ibu.
“Ibu yang hamil mestilah selalu membaca Al-Quran, melakukan ibadah yang fardhu, selalu berdoa dan makan dari rezeki yang halal. Apabila lahir, anak tersebut perlu diperteguhkan akidah (iman) melalui pelbagai teladan dari ibubapa. Setelah mumayyiz, anak perlulah mula diberi pendidikan jasmani dan rohani yang seimbang,” sambungnya.
Suntik Elemen Keimanan Sejak Kecil
Sebagai ibu bapa bagaimana Dr. Nik Salida juga menerangkan penting untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak dari mereka kecil.
“Untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil, ibubapa perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan dan qudwah yang baik. Ibubapa perlu saling berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain. Ibubapa perlu menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan rumahtangga dan tarbiyah. Selain itu, mereka perlu mempunyai ilmu agama asas yang lengkap, iaitu tentang akidah, ibadah, munakahat, jinayat dan tasawuf.
Alihkan Hati Dari Dunia Kepada Akhirat
“Setelah mempunyai ‘bekalan’ tersebut, ibubapa bolehlah memulakan langkah yang seterusnya. Kata Ibnu Qayyim, yang seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim untuk menyembuhkan hatinya ialah melalui Al-Quran.
”Cara yang sama sepatutnya dilakukan untuk mendidik iman manusia. Caranya ialah dengan mengalihkan hati dari dunia kepada akhirat.
“Kedua, menghadapkan semua hati kepada pengertian-pengertian Al-Qur’an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan serta mengamati semua ayat-ayat-Nya.
“Al-Quran dan Sunnah banyak sekali mengungkapkan tentang keagungan Allah SWT. Seseorang Muslim jika dihadapkan dengan keagungan Allah, hati mereka akan bergetar dan jiwanya akan tunduk.
“Ketiga, membekalkan sebanyak mungkin ilmu kepada anak-anak. Allah berfirman dalam surah Al-Fathir ayat 28 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu’.
“Keempat, membiasakan anak-anak memperbanyakkan ibadah, termasuk ibadah sunat. Ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir dan ibadah yang yang menggabungkan semuanya seperti haji sangat bermanfaat untuk menyembuhkan iman yang lemah.
”Banyak melakukan ibadah bukan hanya menambah keimanan tetapi juga menyediakan banyak pintu untuk ke syurga.” terangnya kepada Mingguan Wanita.
Bulan puasa sangatlah digalakkan untuk melakukan amal ibadat dan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Salah satunya dengan membaca Alquran. Namun demikian, baca Al-Quran juga memerlukan cara bacaan dan tajwid yang betul. Salah satu yang perlu diberi perhatian ialah cara bacaan yang tepat bila sesuatu bacaan dimulakan dengan hamzah wasol.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.