Amal Surah Yusuf Waktu Hamil, Bukan Semata Dapatkan Zuriat Yang Comel

Share

Kata orang, waktu hamil inilah kena banyak baca Surah Yusuf. Sebab nanti anak yang lahir akan cantik, comel rupa parasnya. Kata ustaz pula, itu bukanlah keadah untuk dapatkan zuriat yang comel.

Perkongsian Farhana Muhammad ini menjelaskan apa yang seharusnya ibu hamil lakukan sepanjang menempuh 9 bulan kehamilannya. Bagus untuk dijadikan panduan, semoga ketenangan menjadi milik bakal ibu.

Amal Surah Yusuf, Bukan Kaedah Dapatkan Zuriat Yang Comel

Melihatkan ibu-ibu hamil ghairah berkongsi tentang mengamalkan Surah Yusuf yang mengaitkan dengan usaha untuk mendapatkan anak yang mempunyai rupa paras yang comel, mengingatkan diri tentang nasihat seorang ustaz berkenaan anjuran ibu hamil membaca Surah Yusuf.

Kata Ustaz Abdul Somad, membaca Surah Yusuf ketika hamil bukanlah ‘kaedah’ untuk mendapatkan zuriat yang comel. Kerana rupa paras anak lebih bergantung kepada rupa paras orang tuanya.

Suruh Yusuf dibaca semoga dengan harapan agar anak itu akan memiliki iman seperti Nabi Yusuf yang dapat menghindari daripada godaan zina.

Sambung ustaz lagi, adalah lebih baik ibu hamil berusaha untuk khatam Al Quran sepanjang tempoh 9 bulan 10 hari itu. Ibu hamil perlulah melazimi zikir dan bacaan Al Quran.

Supaya anak yang dilahirkan akan tenang jika diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat Al Quran. Kerana.. sejak dalam kandungan lagi anak tersebut sudah dibiasakan dengan bacaan Al Quran oleh ibunya.

Begitu juga apabila kita menghayati intipati kuliah daripada asatizah yang lain, tidaklah pula para asatizah menekankan surah sekian-sekian yang perlu dibaca oleh ibu-ibu hamil.

 

Lempar belakang gambar anakanda Fathia Haura’ pada April 2017.

Tak Salah Amal Surah Tertentu, Asalkan..

Benar, tidaklah menjadi kesalahan oleh ibu-ibu hamil untuk mengkhususkan bacaan surah-surah tertentu, namun janganlah melupakan terus ayat-ayat Al Quran yang lain.

Kebiasaannya, para asatizah menyarankan beberapa perkara apabila mengetahui si ibu itu hamil:

1) Bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.
2) Ibu hamil memperbanyakkan bacaan Al Quran dan zikir.
3) Meninggalkan maksiat, termasuklah tidak membawa balik rezeki yang haram.
4) Memperbanyakkan doa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang soleh.

Bila Rasa Tak Selesa, Baca Doa Ini

Teringat saranan Ustaz Adi Hidayat dalam salah satu kuliah keibubapaan beliau. Kata ustaz, ibu hamil ini tidak terlepas daripada rasa tidak selesa.

Jika mengalami alahan yang teruk, ucapkanlah, “Ya Allah, Engkau gantikanlah kesusahan yang aku alami ini dengan mengurniakan aku anak yang soleh dan aku bersyukur atas kurniaan itu

.”

Jika melihatkan isteri tidak selesa apabila kandungan sudah makin berat, si suami ucapkanlah, “Ya Allah, Engkau gantikanlah kesusahan yang isteri aku alami ini dengan mengurniakan aku anak yang soleh dan aku bersyukur atas kurniaan itu.”

Semoga dipermudahkan urusan ibu-ibu hamil dalam menempuhi fasa wahnan ‘ala wahnin itu. Semoga dipermudahkan juga urusan buat pasangan yang menanti kehadiran permata hati.

InshaaAllah.
Ummu Haura’

Sumber/Foto : Farhana Muhammad

Published by
NETTY AH HIYER