Amal Jariah Tak Semestinya Perlukan Modal, Cuci Telekung Surau Awam Sudah Memadai

Share

Melakukan amal jariah bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit. Hulurkan bantuan dengan menggunakan tenaga juga amalan yang baik. Paling penting niat seseorang itu bersih kerana Allah S.W.T.

Kisah cuci telekung persendirian yang dilakukan oleh Puan Zatika Izati Puade ini menarik perhatian apatah lagi tengahari tadi wanita ini dijemput menjadi salah seorang tetamu jemputan untuk Mingguan Wanita Talkshow. Bersesuaian dengan topik yang dibincangkan iaitu Amal Jariah Zaman Moden, Puan Zatika berkongsi serba sedikit tentang #gengcuci dan #wakaftelekung.


.

“Idea cuci telekung di surau awam ini tidak memerlukan modal. Cuma kena cari telekung seperti di surau pusat beli belah, surau sekolah dan surau-surau awam lain. Cara ini lebih mudah bagi saya sebab tak perlu beli telekung baru. Cuma akan cuci atau baiki telekung yang sedia ada itu. Surau-surau awam ini sebenarnya sudah banyak telekung wakaf yang disumbangkan individu, cuma mungkin tidak dijaga betul. Ada yang kotor dek mekap, foundation, maskara, lipstik, ada juga yang masam dek peluh dalam cuaca hangat,” ungkap Puan Zatika.

Minta Izin Terlebih Dahulu

“Sebelum mengambil telekung untuk dicuci, saya akan meminta izin dahulu daripada pihak pengurusan untuk dibawa balik dan dicuci. Perkara ini sangat mudah apatah lagi sekarang ini banyak dobi layan diri dan untuk memcuci telekung ini tidak mengambil masa yang lama.

“Kalau rasa nak berhenti buat perkara baik ini saya akan mendapat inspirasi dari rakan-rakan yang lakukan kerja-kerja amal sebegini. Kerja begini tak ada gaji, saya lakukan secara ikhlas. Sebenarnya sewaktu dijemput untuk program MW Talkshow ini juga saya berasa segan tapi bila saya fikirkan niat utama saya, biarlah lebih ramai orang boleh lakukan kerja yang sama,. Dan apa yang kami buat jadi ikutan kerana kerja amal ini kerja yang baik,” tambah Puan Zatika.

Bagi anda yang berminat dan mahu mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti amal sebegini bolehlah ikuti rancangan ulangan MW Talkshow di Astro Prima dan Astro Prima HD padajam 8 malam ini.

Tip Memulakan Cuci Telekung Surau Awam dari Puan Zatika

1. Bawa beg plastik besar atau kotak supaya senang nak masukkan telekung yang perlu dibasuh. Seelok-eloknya datang waktu awal pagi. Orang tak ramai dan belum nak gunakan surau.
2. Maklumkan orang berkenaan atau kakak cleaner atau guru atau pakcik guard sekolah yang kita ambil telekung untuk dibasuh.
3.Gantung terus telekung yang kita dah basuh. Bawa pulang yang kotor untuk dibasuh. Dengan cara ini pengguna masih ada telekung untuk dipakai berbanding jika kita ambil dan basuh semua.
4.Kalau rajin, bawa wet tisu dan tolong lap rak dan lantai. Atau maklumkan pada pengurusan. Mereka ada pekerja yang akan bersihkan surau.
5.Telekung berwarna gelap mudah dicuci.
6.Masukkan saja dalam mesin dobi, tambah sabun dan pelembut dan set basuhan kepada HOT (panas).
7. Dalam cuaca panas macam ni, basuhan cepat kering.
8.Baru letak sabun dah keluar kotorannya.
9.Saya suka rendam semalaman dan berus sebelum disumbat ke dalam mesin dobi. A theraphy for me looking at clean, fragrant telekungs.
10.Telekung yang siap dibasuh, dilipat dan dibungkus, untuk dipulangkan semula.

Musim cuti sekolah boleh ajak anak-anak sekali lakukan kerja amal ini.

Sumber/Foto : Terima kasih Zatika Izati Puade

Published by
Norhayati Binti Suboh