Panas di media sosial dengan komen dan status netizen berkenaan beg tangan berjenama termasuk Hermes dan Birkin dan beg macam-macam saiz ditemui dan berisi duit yang dipercayai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dirampas di Pavilion Residence Apartment Kuala Lumpur.
Rata-rata netizen agak terkejut dengan berita penemuan 72 beg pelbagai saiz berisi wang tunai pelbagai mata wang, barang kemas, jam berjenama dan barang-barang berharga serta 284 kotak berisi beg tangan yang dimiliki individu bergelar Tan Sri.
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pemeriksaan dan rampasan itu berkaitan dengan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketika pemeriksaan dibuat, tiada penghuni di dalam kondominium tersebut yang mana melibatkan tiga premis di apartmen terbabit, milik seorang individu bergelar ‘Tan Sri’ dan segala siasatan mempunyai kaitan dengan 1MDB.
“Ini adalah di salah satu dari enam lokasi digeledah iaitu di pejabat perdana menteri dan kediaman rasmi di Putrajaya serta empat lagi di kediaman peribadi beliau (Najib). Tiada butiran terperinci mengenai nilai rampasan kerana terlalu banyak,” kata Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Polis mendapat borang geledah dari mahkamah untuk menjalankan siasatan berhubung kes ini.
Maklumat lanjut mengenai pemeriksaan dan penggeledahan akan dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Sebelum ini lima lori polis digunakan untuk membawa kotak-kotak berwarna oren dan putih dari apartmen yang mana setiap kotak dilabelkan isinya.
Sumber: Sinar Harian