Allah Bagi Pinjam Hanya 18 Tahun, Ibu Halalkan Air Susu, Redha Ikhlaskan Anak PERGI

Ujian paling berat bagi seorang ibu, kehilangan anak yang dikandung dengan penuh kasih sayang. Walau berbelas tahun kehilangan, ibu ikhlaskan pemergian.. kasih dan rindu tetap sukar dipadamkan dalam hati ibu.

Perkongsian ibu ini, Ella Suria mengenai pemergian satu-satunya anak lelakinya, Allahyarham Hang Jufri yang begitu meruntun hati. Kisahnya menjadi tular di media sosial. Anak baik ini tak sekali pun melawan ibu ayah. Taat dan patuh dengan orang tuanya.

Namun, Allah lebih sayangkan Allahyarham. Dalam usia 18 tahun, anak ini dijemput Ilahi. Tarikh 20.11.2015 merupakan tarikh pemergiannya, di hari Jumaat. Dan pada tarikh 20.11.2020 yang jatuh pada hari Jumaat jugalah ibu ini terkenang kembali kisah pemergian arwah anak, 5 tahun yang lalu. Sebak sekali perkongsian ibu.

Allah Bagi Pinjam 18 Tahun Saja..

“Gambar arwah anak saya Hang Jufri semasa umur 3 tahun dan 18 tahun. Dia seorang anak yang baik taat kepada ibu ayah. Tak pernah melawan kata ibu ayah. Kerana dia tahu kata-kata ibu itu satu doa.

Tak pernah keluar rumah tanpa izin dari saya. Kalau kita tak benarkan dia keluar, dia akur tidak membentak. Hati seorang ibu tu selalu tak sampai hati, kesian pulak.

Bila kita bagi dia pergi, dia tak akan pergi. “Pergi lah, ibu izinkan.”
Dia akan datang dan memeluk saya dan berkata, “tak apa ibu, lain kali Boy boleh pergi.”

Tapi memang tak de dah lain kalinya. Allah bagi pinjam hanya 18 tahun saja. Walau ku genggam erat, Allah pemilik segalanya.

IKLAN

40 hari ibu ini istighfar, redha anak beri tanda akan pergi buat selamanya.

Anak Baik Ini Kemalangan, Koma Masuk ICU

Pada 18.11.2015 kami mendapat berita dia kemalangan dan dikejarkan ke hospital. Dia koma. Di bilik ICU kami dipanggil oleh doktor dan diberitahu anak kami dalam keadaan kritikal dan otaknya tak berfungsi lagi.

Dia hanya dibantu oleh mesin hayat.

Suami terus lari dan hanya saya saja yang mendengar penjelasan doktor. Keluar saja dari sana, suami terus memeluk saya. Dan dia meraung, menangis di bahu saya. Saya hanya mampu berkata, “sabar bang. Redho dan ikhlas.”

IKLAN

Luluhnya hati seorang ayah melihat satu-satunya anak lelaki yang dia ada terbaring kaku tak bermaya. Malam itu juga doktor minta agar kami membuka wayar.

Tapi saya tak mahu kerana ianya akan menghantui hidup saya. Seolah-olah saya yang membunuhnya. Saya kata kalau dia nak pergi, biar lah Allah yang mengambilnya.

Ibu Ikhlaskan, Halalkan Setiap Titis Air Susu

Pada pagi Jumaat 20.11.2015 dalam pukul 4 pagi selepas membaca yasin, saya memberitahu Allah. “Ya Allah, jika Engkau mahu mengambil anakku, Engkau ambil lah, Aku redho dan ikhlas.”

IKLAN

Saya pergi kepada anak dan berbisik di telinganya. “Boy, ibu ampun kan dosa-dosa Boy, ibu halalkan setiap air susu ibu yang Boy minum. Kalau Boy nak pergi, pergilah. Ibu redho dan ikhlas.”

Pada pagi Jumaat yang penuh barokah iaitu 20.11.2015, anakku pergi meninggalkan diriku dan keluarga. Hari ini Jumaat 20.11.2020 genap lah 5 tahun pemergiannya.

Al-Fatihah (dibaca) buatmu anakku.. Semoga Allah mengurniakan syurga tanpa hisab kepada mu yang soleh. Aamiin Ya Robbala’lamin.

 

MW : Semoga roh Allahyarham ditempatkan di taman-taman syurga disamping orang-orang yang beriman. Redha dan ikhlaskan pemergian anak itulah kunci kekuatan hati seorang ibu.

Sumber/Foto : Ella Suria via Grup Peminat Gambar-gambar Lama dan Klasik

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI