MW berjaya mendapatkan kenyataan rasmi daripada Ali yang merupakan bekas vokalis popular Terra Rossa dan juga XPDC mengenai keadaan terkini dirinya. Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail mengalami lecur 30 peratus terutamanya di bahagian muka, tangan dan juga bahagian kakinya.
Menurut Ali, kejadian berlaku pada petang Khamis,2 April baru-baru ini. Memandangkan cuti PKP, Ali mengambil kesempatan itu dengan mengemas bahagian belakang rumahnya dan juga membakar sampah.
“Memandangkan tak ada aktiviti nak buat, saya pergi mengemas dan membersihkan bahagian belakang rumah. Selepas itu saya gunakan minyak petrol untuk membakar sampah. Saya akui itulah kesilapan saya di mana akibat menggunakan petrol, sebaik api dinyalakan…ia terus menyambar saya.
“Ketika itu saya memakai baju T dan juga seluar trek dan api terus menyambar bahagian muka, tangan dan juga kaki. Dengan bantuan anak, saya terus dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. Saya juga dimasukkan ke wad semalaman untuk mendapatkan rawatan,”kongsinya ketika dihubungi.
Ali dalam satu laporan lain menafikan dia ditahan di Hospital Shah Alam kerana ada dakwaan yang mengatakan dirinya dijangkiti Covid-19. Sebaliknya dia ditahan kerana mendapat rawatan lanjut akibat kecederaan melecur yang dialaminya.
Memandangkan sekarang kita semua wajib mematuhi arahan PKP, Ali mengakui agak sukar untuk dia bekerja. Di saat beliau ditimpa kesukaran, beliau memohon jasa baik buat mereka yang prihatin untuk memberi sumbangan kepadanya untuk menampung kos rawatan . Buat masa ini Ali akan ke klinik yang masih beroperasi di sekitar kawasan tempat tinggalnya untuk melakukan cucian luka melecur (wound dressing).
MW mengalu-alukan orang ramai yang prihatin menghulurkan sumbangan anda untuk membantu Ali yang sedang kesulitan. Berikut adalah akaun rasmi miliknya; Maybank 162106484056 (MOHD ALI ISMAIL). Syafakallah buat Ali.