Selepas melalui fasa isolasi di wad Covid, sejak 27 Mac lalu, akhirnya keluarga Dr Samsu Ambia Ismail terdiri daripada isteri dan 5 orang anak-anaknya, disahkan bebas daripada virus Covid-19.
Berita gembira ini dikongsikan oleh isteri Dr Samsu, Mazriemi Mohd Zaki di laman facebooknya, Gold Amy Edriena.
Kongsinya,
“Bismillah… Alhamdulilah syukur pada Allah. First of all Amy nak ucapkan jutaan terima kasih jazzak Allahu khairan pada semua ahli keluarga dan sahabat-sahabat seluruh dunia yang mendoakan kami sekeluarga.
Berkat doa semua kami sekeluarga BEBAS COVID… ya Allah tiada apa nak diungkap kan selain syukur pada Ilahi yang sudah menyembuhkan kami semua dari virus ini.
Kami disatukan kembali sebagai sebuah keluarga bebas covid.
Beliau turut merakam rasa terharu dan terima kasih kepada kakitangan hospital yang menjaga keluarganya sepanjang mereka diwadkan di hospital.
“Jutaan terima kasih juga pada semua staf Hospital Ipoh dan staf ward 4B Hospital Teluk Intan jasa mu semua amat amy kenang.. hanya Allah dapat balas jasa kalian semua.”
Dr Samsu Ambia Ismail merupakan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Teluk Intan (HTI) yang kemudiannya disahkan positif Covid-19 bersama isteri dan 5 orang anak-anaknya, Erika Syamim, 18, Elisya Syamim, 15, Edrieda Syamim, 13, Eryna Syamim, 11 dan Eiman Syamim, 8 tahun.
Semasa diwadkan dan mendapat rawatan keluarga ini begitu positif. Sehinggakan anak-anaknya ceria membuat video untuk memberi kegembiraan di hati ibu dan ayah mereka.
Ketika ditemubual dalam sebuah rancangan bual bicara wanita stesyen televisyen swasta, Mazriemi berkongsi serba sedikit bagaimana Covid-19 mengundang panik pada dirinya.
“Mulanya, suami Amy negatif. Selepas test pertama, keadaan suami masih tak sihat; demam, sakit badan.”
Sehinggakan suaminya memaklumkan agar dia menghubungi 999 sekiranya terjadi apa-apa pada dirinya malam itu. Adu suaminya yang tak tahan dengan kesakitan yang dialami melibatkan sakit pinggang dan sesak nafas.
Tentunya pesanan suami itu mengundang panik yang teramat di hati isteri.
“Esoknya baru dapat jawapan suami confirm positif. Masa itu anak-anak semua demam. Ayah, anak kedua malah Erika, dia dah ambil drip dua kali. Dan kita tak expect.. sebab masa itu Hospital Teluk Intan masih clean, belum ada virus Covid lagi, belum ada yang positif.”
Sementara maklum Dr Samsu Ambia sendiri sebelum disahkan positif, dirinya sudah pun alami demam dekat seminggu. Waktu bertugas itu, ada juga rakan sekerjanya yang alami demam.
Apabila malam itu dirinya alami demam sehingga tak boleh tidur dan alami sakit badan, Dr Samsu Ambia mula makan ubat demam.
Baca sini : Dr Wan Azizah doakan doktor tujuh sekeluarga pulih dari Covid-19
Tetapi sampai keesokan hari demam masih juga tak surut. Kebiasaannya, bila makan ubat dua kali dah sembuh. Malah, beliau terpaksa makan ubat setiap 6 jam.
Mula dari situ, selera makan mula hilang. Tekak pun jadi kering dan tiada deria rasa malah tiada deria bau. Kemudian, mulai batuk.
Keadaan anak-anak pun pada waktu itu dah mula sakit-sakit. Tapi masa itu tak ada lagi kes Covid, jadi mereka tak boleh nak buat ujian.
“Saya macam biasa pergi kerja. Pasal masa itu, ada ramai orang sakit.” Tak lama kemudian, kes Covid-19 meledak di hospital tempatnya bertugas.
Daripada ujian yang dilakukan, 8 petugas positif dan dirinya negatif. “Saya terharu.. tapi malam itu saya jadi teruk. Saya minta buat ujian semula.” Ujian kedua itulah Dr Samsu Ambia disahkan positif.
Sukar untuknya melupakan pengalaman dibawa ke hospital dengan ambulan. Fikirannya mula terbayangkan bagaimana jika umurnya tak panjang. Adakah dapat lagi bertemu ahli keluarga. Itulah yang kerap bermain di fikirannya.
Semasa berada di dalam wad, ahli keluarga Dr Samsu Ambia sentiasa positif. Terutama anak-anak beliau yang begitu kuat dan bersemangat melawan virus Covid-19.
Kata ibu mereka, sepanjang perjuangan menentang virus Covid-19 anak-anaknya tidak diberikan ubat. Cuma dirinya dan suami saja yang diberi ubat.
“Anak-anak tak diberi ubat, mereka kena lawan sendiri dengan antibodi yang kuat. Kalau lemau, lemah tak semangat virus boleh merebak
.”Sebab itulah, ibu ayah ini gembira apabila anak-anak dapat menyebarkan semangat positif kepada orang ramai. Dalam masa yang sama, berusaha memberi kegembiraan kepada ibu dan ayah.
Pada yang masih berjuang melawan penyakit ini, “Please.. kuatkan semangat. Jangan lemah, doa dengan Allah dan berserah pada Qada dan Qadarnya.”
Malah, Dr Ambia Samsu sempat menitipkan pesanan ini,
“Saya memohon maaf kerana sebagai ketua tak dapat bersama petugas-petugas di Hospital teluk Intan disaat genting ini. Saya doakan mereka supaya kekal bersemangat, kekal sihat dengan usaha yang murni ini. Yang penting jaga keselamatan diri dan kesihatan diri. Kesan dengan awal jika ada simptom-simptom.”
MW : Semoga semangat positif yang keluarga Dr Samsu Ambia Ismail ini berikan dapat menyuntik kekuatan kepada mana-mana individu yang ketika ini sedang berjuang melawan virus Covid-19.
Sumber/Foto : Gold Amy Edriena