Alat Uji Kehamilan Boleh Kesan Kanser Testis? Ini Jawapan Lengkapnya

Share

Alat uji kehamilan selalu dikaitkan dengan wanita. Tapi berbeza dengan kisah ini. Gurauan seorang lelaki yang sengaja menguji alat kehamilan dengan air kencingnya berjaya menyelamatkan dirinya dari kematian. Kenapa? Dan bagaimana?

Ceritanya suatu hari seorang suami terjumpa alat penguji kehamilan isterinya ketika dia berada dalam bilik air. Dengan sengaja dia membuang air kecil pada alat penguji kehamilan itu.

Tanpa disangka-sangka 2 garisan merah muncul. Logiknya, itu tanda positif kehamilan seorang wanita. Takkanlah dia mengandung? Dengan niat mahu bergurau dia meletakkan status itu pada sebuah laman sosial beserta alat penguji kehamilan.

Selorohnya itu mendapat respons yang pelbagai daripada netizen. Sampailah satu komen bertulis begini “Jika ianya benar, anda perlu membuat pemeriksaan untuk mengesahkan adakah ianya kanser testis.” Dan dia pun segeralah berjumpa dengan doktor.

Syukurlah dengan tindakannya itu, kerana hasil pemeriksaan mendapati dia memang ada kanser testis. Mujurlah ianya masih diawal stage lagi.

Alat Uji Kehamilan Positif Pada Air Kencing Lelaki

Hakikat alat penguji kehamilan boleh mengesan sesetengah kanser testis pada seorang lelaki itu ternyata benar. Kanser testis ini tidak sama dengan kanser prostat. ia sama sekali berbeza. Sebaiknya dapatkan ujian saringan di hospital untuk mengesahkannya.

Menurut Persatuan Kanser Amerika (ACS), cara kerja alat penguji kehamilan ini adalah dengan mengesan hormon Beta-HCG (Human Chrionic Ganodotropin). Hormon ini dihasilkan oleh sel yang ada pada uri wanita semasa hamil. Yang mana, hormon ini juga boleh dihasilkan oleh sesetengah tumor, kanser testis pada organ lelaki.

Walau bagaimanapun, bukan semua penghidap kanser testis ada paras HCG yang tinggi sehingga boleh dikesan oleh alat penguji tersebut. Bermakna ia tidak semestinya kanser. Ada juga keadaan lain yang boleh menyebabkan tanda positif yang salah.

Sebaiknya jika ada tanda positif itu, segeralah ke hospital untuk membuat ujian yang lain, misalnya perlu mengambil darah dan sebagainya. Agar penyakit anda dapat didiagnos dengan tepat oleh doktor pakar.

Ini Satu Lagi Kejutan..

Rupa-rupanya bukan kanser testis saja yang boleh dikesan oleh alat penguji kehamilan ini. Dalam Jurnal perubatan telah didokumentasikan penyakit kanser pankreas, paru-paru, perut malah lain-lain jenis kanser berkemungkinan boleh dikesan dengan tanda positif alat penguji kehamilan.

Itu pun, sekiranya penyakit yang dialami oleh lelaki atau wanita itu mempunyai paras hormon HCG yang tinggi, 2 garis positif boleh kelihatan. Jika lelaki mengesan ada tanda ‘lump’ atau ketulan pada alat kelaminnya segeralah berjumpa dengan doktor untuk tindakan selanjutnya.

Walau bagaimanapun, ACS tak menyarankan anda membuat ujian sendiri di rumah. Lagipun belum ada kajian lengkap yang dapat membuktikan tindakan demikian dapat mengurangkan kadar kanser testis.

 

Published by
Netty Ah Hiyer